KUALA LUMPUR: Penentuan senarai calon dan pembahagian kerusi Barisan Nasional (BN) di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (BN) akan diumumkan dalam masa terdekat, kata Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak."Pembahagian kerusi belum selesai lagi. Kita akan umum dalam beberapa hari lagi," katanya pada sidang media selepas perjumpaan khas bersama lebih 2,000 pimpinan tertinggi BN melibatkan 220 parlimen.Najib berkata, proses terakhir dalam persediaan pilihan raya iaitu penentuan pembahagian kerusi dan calon adalah perkara yang kompleks serta perlu diberi penelitian serius sebelum pengumuman rasmi dibuat."Saya telah ambil kesempatan untuk menerangkan beberapa faktor yang perlu diambil kira dalam proses tersebut supaya mereka (pimpinan tertinggi BN) faham proses tersebut merupakan proses yang kompleks dan rumit."Tidak mungkin parti dapat memenuhi kehendak semua pihak atau memberi kepuasan kepada semua individu. Oleh itu, amat penting bagi kita sebagai anggota parti untuk memahami hakikat ini."Kita terpaksa ambil pertimbangan secara keseluruhan sebab kita ada pelbagai parti komponen, yakni kita ada parti-parti utama, wanita, pemuda dan puteri yang masing-masing ada kehendaknya," katanya.Jelas beliau, pembahagian kerusi masih lagi berdasarkan acuan pilihan raya umum (PRU) 2008 tetapi terdapat sedikit penyesuaian kerusi yang akan dilakukan di beberapa kawasan."Ada pertukaran kerusi, mungkin ada satu dua kerusi yang ada pertukaran."Kita ambil sedikit perkiraan keputusan pada PRU 2008 dan demografi hari ini supaya keputusan beri harapan kepada BN," katanya.Najib berkata, faktor pemilihan calon dibuat dengan mengambil kira kebolehan diri sendiri pemimpin tersebut dan penerimaan masyarakat di kawasan yang bakal diwakili pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)."Objektif utama adalah menubuhkan kerajaan dan bukannya tumpuan untuk menjadi calon."Kalau ada yang tidak terpilih itu...kalau pun dia merajuk cukup setakat 24 jam sajalah. Lepas itu turun membantu jentera parti," katanya.