suria

Pendekatan Lemah Calon Kuala Balah Resahkan PKR

Zamri Ahmad
Zamri Ahmad
Zamri Ahmad

KOTA BARU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) meramalkan peluang tipis bagi parti itu untuk merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Balah di bawah Parlimen Jeli berikutan calonnya, Ramlan Mat didakwa mempunyai masalah dalam menjalankan kempen pilihan raya.

Pengarah Pilihan Raya PKR Cabang Jeli, Zamri Ahmad berkata, kelemahan Ramlan sejak hari penamaan calon tidak menampakkan hasil gerak kerja yang membanggakan untuk memperoleh kemenangan pada parti di DUN berkenaan.

"Pendekatan yang diamalkan oleh calon (Ramlan) begitu lemah. Beliau gagal menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik ketika berkempen.

"Dengan keadaan sekarang, peluang untuk menang hanyalah 40 peratus. Bagaimanapun, kita masih lagi dalam ruang untuk bertempur," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Zamri yang juga Naib Ketua III Cabang Jeli mendakwa, Ramlan berkempen dengan sambil lewa dan tidak mahu mendengar nasihat daripada rakan seperjuangan yang berpengalaman.

Katanya, ini menyebabkan jentera pilihan raya dan anggota parti seolah-olah hilang semangat bagi membantu memperoleh kemenangan untuk parti.

"Kesan bagi PKR-DUN Kuala Balah (ialah) seolah-olah calon yang ada 'menikam kerajaan negeri dari belakang', seolah-olah menjalankan tugas untuk mengalahkan kerusi DUN Kuala Balah," katanya.

Menurut Zamri, ketika ini jentera PKR-DUN Kuala Balah gagal untuk menjalankan tugas berkempen dengan baik ekoran mereka sangsi terhadap pendekatan yang diamalkan calon.

Katanya, jika pendekatan yang sama masih berterusan, adalah tidak mustahil kerusi DUN Kuala Balah gagal untuk dirampas semula oleh kerajaan negeri daripada Barisan Nasional (BN).

"Langkah-langkah ini memberi ruang kepada Barisan Nasional untuk menawan (kerusi) dengan mudah.

"Kemungkinan juga akan berlaku protes di kalangan anggota parti pada hari pengundian (5 Mei ini)," katanya.

Sehubungan itu, Zamri meminta Jawatankuasa Pilihan Raya negeri agar mengambil tindakan segera berhubung kelemahan calon.

Kerusi DUN Kuala Balah menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Ramlan dengan penyandang kerusi tersebut, Datuk Abdul Aziz Derashid daripada BN.

Artikel Lain