suria

Penyu Ikon Pelancongan Baru Pulau Mabul di Sabah

Sebahagian daripada para penyelidik membawa penyu ke darat untuk tujuan kajian dan penyelidikan sebelum dilepaskan semula ke laut. Penyu Hijau dan penyu Sisik, yang kini mula mendarat di Pulau Mabul dekat sini, dilihat berpotensi menjadi ikon pelancongan baru dalam membantu memacu industri pelancongan di Sabah. -Foto BERNAMA
Sebahagian daripada para penyelidik membawa penyu ke darat untuk tujuan kajian dan penyelidikan sebelum dilepaskan semula ke laut. Penyu Hijau dan penyu Sisik, yang kini mula mendarat di Pulau Mabul dekat sini, dilihat berpotensi menjadi ikon pelancongan baru dalam membantu memacu industri pelancongan di Sabah. -Foto BERNAMA
Sebahagian daripada para penyelidik membawa penyu ke darat untuk tujuan kajian dan penyelidikan sebelum dilepaskan semula ke laut. Penyu Hijau dan penyu Sisik, yang kini mula mendarat di Pulau Mabul dekat sini, dilihat berpotensi menjadi ikon pelancongan baru dalam membantu memacu industri pelancongan di Sabah. -Foto BERNAMA

SEMPORNA: Penyu Hijau (Greenback turtle) dan penyu Sisik (Hawksbill turtle), yang kini mula mendarat di Pulau Mabul dekat sini, dilihat berpotensi menjadi ikon pelancongan baru dalam membantu memacu industri pelancongan di Sabah.

Bagi memanfaatkan tarikan ini, pihak yang terbabit bercadang menjadikan Sambutan Hari Penyu Sedunia di pulau itu sebagai acara tahunan.

Pihak yang berkenaan ialah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah dan Lembaga Pelancongan Sabah menerusi kerjasama Taman-Taman Sabah dan Jabatan Hidupan Liar selain Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta resort Uncle Chang's Sipadan Mabul Dive Lodge di Pulau Mabul.

Antara pengisian yang dicadangkan bagi menjayakan visi kerajaan itu adalah menganjurkan program bancian populasi penyu di perairan Pulau Mabul, aktiviti menangkap, mengambil gambar, mengukur dan memasang 'tag' kepada penyu sebelum melepaskannya semula ke laut.

Objektif sambutan ini adalah untuk meningkatkan kesedaran umum di samping meningkatkan pendidikan, penyelidikan dan pemuliharaan populasi penyu laut di perairan Pulau Mabul yang adalah satu daripada syurga aktiviti menyelam terkenal di dunia.

Pulau Mabul, yang terletak kira-kira 45 minit perjalanan bot dari pekan Semporna, memiliki lima tapak menyelam bertaraf antarabangsa termasuk Pulau Sipadan yang terletak berhampiran.

Pelbagai usaha sedang diambil untuk meletakkan Pulau Mabul sebagai destinasi menarik di persada antarabangsa.

Spesies Penyu Jadi Tarikan

Sambil menyatakan keyakinan bahawa spesies penyu itu bakal menjadi tarikan pelancong yang khususnya menggemari hidupan marin selain pencinta alam, Pensyarah Kanan Institut Penyelidikan Marin Borneo UMS, Dr P.Pushpa berkata terdapat keperluan untuk memperhebatkan program terutama pemuliharaan dan pemeliharaan penyu bagi mengelakkan ancaman kepupusan.

"Kerja-kerja konservasi yang dijalankan di Taman-Taman Sabah sejak tahun 1960-an mendapati bilangan penyu yang mendarat pada 2011 adalah tertinggi dalam rekod," kata beliau yang terlibat dalam penyelidikan selama dua tahun sejak 2010 ke atas reptilia itu.

Pushpa berkata peluang pembiakan populasi penyu di Pulau Mabul semakin cerah dengan perubahan mentaliti dan tahap kesedaran masyarakat yang semakin mengambil berat terhadap kelangsungan hidupan spesies-spesies marin.

Menerusi penyelidikannya, beliau mendapati lebih 700 ekor penyu Hijau dan penyu Sisik ditanda di Pulau Mabul dan Pulau Sipadan yang menjadi lokasi pendaratan bagi populasi spesies ini, yang diancam kepupusan.

"Setakat Mei lepas, sebanyak 150 ekor penyu telah ditanda di Pulau Mabul dan 535 ekor di Pulau Sipadan yang dianggar berumur lapan hingga 20 tahun.

"Semasa acara pra-sambutan Hari Penyu Sedunia pada Mac lepas, sejumlah 18 ekor penyu daripada spesies penyu Hijau dan penyu Sisik ditanda," katanya.

Puspha berkata hasil penyelidikan beliau mendapati Pulau Mabul dan Pulau Sipadan sesuai sebagai persekitaran hidup spesies itu kerana kawasan laut berkenaan amat luas dan mampu menampung populasi penyu yang banyak pada satu-satu masa.

Selain keunikan spesies penyu di pulau itu, terdapat tarikan lain di sekeliling perairan pulau itu termasuk suku kaum Bajau Laut yang dikenali sebagai 'Pela'uh' yang mengamalkan kehidupan nomad di laut.

Mereka juga dikenali sebagai 'Gipsi Laut' dan boleh ditemui di pesisir pantai Semporna selain di sekitar laut Tawau dan Lahad Datu.

Kemudahan Penginapan

Bagi pengasas, yang juga pemilik Sipadan Mabul Dive Lodge di Pulau Mabul, yang dikenali mesra sebagai 'Uncle Chang' berkata, beliau mewujudkan pusat peranginan itu untuk menyokong usaha kerajaan menjadikan Semporna, khususnya Pulau Mabul sebagai antara destinasi utama tarikan pelancong di Sabah.

Sipadan Mabul Dive Lodge menyediakan penginapan pada harga berpatutan selain menawarkan persekitaran yang bersih serta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas termasuk pengangkutan bot.

"Pasukan kami dan saya sendiri adalah komited untuk melindungi alam sekitar dan menggalakkan kelangsungan eko-pelancongan. Ini bermakna mengendalikan sebuah pusat menyelam yang menggunakan sumber yang minimum dan meninggalkan kesan minimum ke atas alam persekitaran," kata Uncle Chang. Beliau berkata pihaknya menyediakan tenaga pengajar menyelam atau 'dive masters' yang berpengalaman.

Dianggarkan kira-kira 1,000 hingga 3,000 orang terutama penyelam scuba dan pencinta alam sekitar mengunjungi resort itu setiap bulan untuk melihat keindahan dasar laut dan hidupan marin di sekitar pulau berhampiran.

Beliau bercadang mengadakan program membersih dasar laut bermula dari jeti Semporna, kampung-kampung berhampiran hingga ke Pulau Mabul-Kapalai dan Sipadan yang bermula pada akhir tahun ini. "Mereka yang membantu dalam usaha itu akan menerima penginapan dan pengangkutan secara percuma di resort itu," katanya yang juga pencinta alam sekitar dan hidupan marin.

Usaha Kerajaan Jamin Keselamatan Menerusi Esscom

ESSCOM Sejak kejadian pencerobohan militan Sulu dari selatan Filipina awal tahun ini, para pengusaha pelancongan melihat inisiatif penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sebagai satu elemen penting dalam menjayakan sektor pelancongan di pantai timur Sabah.

Kini, ESSCOM yang merangkumi kawasan sepanjang 1,400km persisir pantai timur Sabah termasuk daerah Semporna akan menempatkan kabin balai polis di Pulau Mabul, sekaligus menjamin bahawa kawasan pelancongan di pantai timur Sabah terus menjadi destinasi yang selamat untuk dikunjungi.

Selaras dengan itu Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah bertekad untuk menggiatkan usaha mempromosi produk pelancongan yang berpotensi memikat pelancong ke pantai timur Sabah.

Pembantu Menteri kementerian itu Datuk Pang Yuk Ming, yang merasmikan sambutan Hari Penyu Sedunia 2013 di Pulau Mabul baru-baru ini, berkata program seperti pemuliharaan penyu adalah antara produk kecil yang dilihat mampu menjadi daya tarikan pelancong terutama di Semporna, Tawau, Kunak dan Lahad Datu.

Pang, yang menyambut baik inisiatif program Sambutan Hari Penyu Sedunia, turut berkata para penyelam skuba dari seluruh dunia memilih pulau-pulau di Sabah, khasnya Pulau Sipadan dan Pulau Mabul, sebagai tempat beriadah paling popular. -BERNAMA

Artikel Lain