suria

Budaya Kutip Raya Boleh Undang Bahaya

Kanak-kanak golongan paling gembira ketika hari raya kerana dapat mengutip duit raya.
Kanak-kanak golongan paling gembira ketika hari raya kerana dapat mengutip duit raya.
Kanak-kanak golongan paling gembira ketika hari raya kerana dapat mengutip duit raya.

MENJELANG Aidilfitri, bagi dewasa terbayang-bayang kampung halaman, rendang dan ketupat, namun bagi si cilik kanak-kanak, dihitung-hitung hasil pendapatan duit raya yang bakal dikumpul buat tandingan.

Aktiviti mengumpul duit raya dalam kalangan kanak-kanak sudah menjadi budaya setiap kali tibanya Aidilfitri.

Namun, budaya itu yang semakin sebati dan menyeronokkan buat kanak-kanak sebenarnya harus dikekang kerana ia boleh mencetus pelbagai unsur negatif, kata Pakar Psikologi Jabatan Psikologi Perkembangan Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya Prof Madya Dr Mariani Mohd Nor kepada Bernama.

Beliau berkata kanak-kanak terutama yang berada di bangku sekolah nalurinya tidak dapat lari dari diburu keterujaan terutama dalam menerima hadiah sama ada berbentuk wang tunai atau kebendaan.

"Kanak-kanak memang suka ganjaran wang, suka hadiah...malahan ada juga sampul duit raya yang tidak diisi duit sebaliknya diisi gula-gula...tetapi kanak-kanak tetap menerimanya kerana mereka suka.

"Namun apa yang menjadi masalahnya apabila ibu bapa terlalu memberi kebebasan kepada anak-anak sehingga menjadi galakan untuk mereka ini mengumpul duit raya dengan apa cara sekalipun termasuk mengenepikan budaya hormat menghormati dan keselamatan diri," katanya.

Dr Mariani berkata kehadiran Aidilfitri menjadikan kebanyakan ibu bapa leka dengan aktiviti sendiri termasuk melayan tetamu sehingga membiarkan anak masing-masing keluar bersama kawan-kawan.

Katanya, ibu bapa tanpa sedar telah membiarkan anak mereka dengan budaya kurang sopan apabila sanggup mengunjungi kediaman yang tidak dikenali hanya semata-mata untuk mengumpul duit raya.

Lebih membimbangkan, katanya, kanak-kanak yang keluar bersendirian dan berkumpulan dengan rakan sebaya juga terdedah dengan ancaman bahaya dan jenayah seperti kemalangan, penculikan dan sebagainya.

Katanya membiarkan anak-anak yang masih di bangku sekolah rendah keluar bersama kawan-kawan tanpa pengawasan ibu bapa ibarat sengaja mengundang padah kerana setiap kemalangan yang berlaku tidak berbau.

"Bukan itu sahaja, ada ibu bapa yang turut sama teruja dan bertanya anak mereka berapa duit raya yang dapat dikumpul, sehinggakan konsep hari raya yang sebenar iaitu untuk kunjung mengunjungi sudah disalahgunakan," katanya.

Justeru Dr Mariani menasihatkan ibu bapa agar tidak terlalu alpa dengan kehadiran Aidilfitri sehingga anak dibiar bebas dengan aktiviti yang akhirnya membawa kerugian kepada diri sendiri.

"Jangan sudah terhantuk baru tengadah. "Semarakkan Aidilfitri dengan silaturrahim...berbalik pada budaya Aidilfitri sekitar tahun 60-an, bawalah anak-anak bersama-sama ziarah menziarahi, ia dapat memupuk sifat mengenali saudara mara dan bukannya sekadar mengutip duit raya," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain