suria

Pelan Amanita Dibawa Ke Peringkat Seterusnya

Sasikala menunjukkan logo Amanita pada sidang media, Khamis. Foto RICKY LAI/THESTAR
Sasikala menunjukkan logo Amanita pada sidang media, Khamis. Foto RICKY LAI/THESTAR
Sasikala menunjukkan logo Amanita pada sidang media, Khamis. Foto RICKY LAI/THESTAR

KUALA LUMPUR: Didorong dengan kejayaan awal program Amanita, konsep 'wanita yang cintakan keamanan' yang dilancarkan Oktober lalu untuk menggalakkan wanita dan suri rumah di kawasan perumahan menjadi mata dan telinga pihak berkuasa, polis berhasrat membawa program itu ke peringkat seterusnya.

Polis wanita terlatih akan ditempatkan di setiap 169 balai polis daerah di negara ini untuk menjadi individu yang boleh dihubungi golongan suri rumah yang akan membuat laporan apabila ada orang meragukan atau berlaku jenayah di kawasan kejiranan mereka.

Ketua Inisiatif Amanita, Asisten Komisioner S.Sasikala Devi yang mengumumkan perkara itu berkata, sehingga kini 41 pegawai polis telah dilatih di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.

Beberapa pegawai di negeri lain akan menerima latihan mereka bermula bulan depan.

"Kami menjangkakan pegawai-pegawai itu akan menerima latihan sepenuhnya pada Januari," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, khamis.

Sasikala berkata, selepas menghadiri seminar dan ceramah yang dianjurkan di bawah inisiatif itu, ramai peserta memberi maklum balas positif.

Seminar dan ceramah itu menyentuh isu berkaitan narkotik, jenayah seksual dan jenayah komersial.

"Kami juga mempunyai acara lain seperti sukan dan pendidikan supaya kami mengenali kawasan itu," katanya.

Sasikala berkata program itu akan membantu mewujudkan kesedaran dan memberi tip-tip keselamatan dan maklumat untuk mencegah jenayah kepada suri rumah.

Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Ayub Yaakob berkata anggota polis wanita dilatih untuk berhubung dengan suri rumah dan mengetahui isu-isu tempatan yang melanda masyarakat.

Dengan melabelkan inisiatif terbaru Bukit Aman itu sebagai 'pendekatan lembut' untuk mencegah jenayah, Ayub berkata pegawai-pegawai tersebut akan berinteraksi dengan suri rumah menerusi aktiviti kasual, seperti bermain bola jaring, tai chi dan lain-lain program komuniti.

"Sepanjang bulan Ramadan lalu, pegawai Amanita mengadakan aktiviti memasak bubur lambuk bersama golongan suri rumah di Selangor," katanya.

Beliau berkata maklum balas orang ramai amat menggalakkan kerana ramai suri rumah mengalu-alukan inisiatif itu dan berpeluang untuk terlibat secara aktif dalam membanteras jenayah.

Ayub yang juga merupakan bekas pengerusi sekretariat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) sebelum ini dilaporkan berkata, Amanita mengiktiraf golongan suri rumah yang mengetahui isu dan maklumat yang dikongsi sesama mereka melalui 'mesyuarat tingkap'.

Pendekatan itu adalah untuk mendapatkan maklumat kegiatan jenayah yang tidak dilapor dalam kalangan masyarakat atas sebab-sebab tertentu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain