suria

Usahlah Pandang Hina Kecacatan Adik Damia

Rosnaini tetap tabah membesarkan Damia dan memberikannya pelajaran.
Rosnaini tetap tabah membesarkan Damia dan memberikannya pelajaran.
Rosnaini tetap tabah membesarkan Damia dan memberikannya pelajaran.

HULU TERENGGANU: Tanggal 31 Ogos yang lepas mencatat sejarah tersendiri kepada sepasang suami isteri Rosnaini Mohamad dan Dr Daeng Malis Ab Kahar apabila dapat bertemu dengan pakar motivasi terkenal dari Australia, Nick Vujicic.

Bukanlah kerana personaliti hebat itu seorang yang terkenal di seluruh dunia, namun pertemuan itu disifatkan Rosnaini sebagai hadiah daripada Allah yang mahu beliau terus tabah dalam membesarkan insan teristimewa dalam kehidupan mereka sekeluarga iaitu Nur Damia Irsalina.

Anak ketiga daripada empat beradik yang berusia enam tahun itu lahir tanpa kaki dan tangan, sama seperti pakar motivasi itu.

"Enam tahun saya menunggu, memasang impian, tak berhenti berdoa agar kami dapat bersua dengan Nick Vujicic dan memperoleh kekuatan berganda untuk terus membimbing anak saya seorang yang mampu memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara apabila beliau dewasa kelak.

"Setiap hari, tanpa jemu saya tontonkan kepada anak saya video pakar motivasi itu yang dapat menjalani kehidupan sama seperti manusia normal lain agar dia terus kuat dan tabah," katanya memulakan bicara ketika dikunjungi Bernama di rumahnya di Kampung Lubuk Batu, kira-kira 30 kilometer dari Bandar raya Kuala Terengganu.

Mengimbas semula kenangan manis sewaktu melahirkan Kak Nik (nama timangan Nur Damia Irsalina) pada 30 Jun, 2007, Rosnaini berkata semuanya berjalan lancar sepanjang kehamilan.

Mimpi lahir anak istimewa

Cuma saya perasan, pergerakan bayi dalam kandungan ketika itu agak perlahan, tiada tendangan yang kuat seperti ketika saya mengandungkan dua lagi kakaknya sebelum itu, kata jururawat itu.

"Malah, dua malam sebelum kelahiran Kak Nik, saya bermimpi mendengar suara yang menyatakan saya akan melahirkan anak istimewa, namun bila saya tanya apa dan bagaimana, suara misteri itu hanya menyuruh saya melihat bayi itu sendiri selepas dilahirkan.

"Hampir waktu bersalin, doktor memaklumkan saya perlu dibedah kerana kedudukan bayi yang masih songsang, namun sebaik tiba di bilik pembedahan, saya terus berasa sakit dan mampu melahirkan Kak Nik secara normal dengan mudah", katanya tersenyum apabila mengingati semula detik penuh bermakna dalam kehidupan seorang wanita.

"Doktor, bagaimanapun menunggu kehadiran seorang lagi doktor pakar sebelum menyerahkan Kak Nik kepada saya dan apabila disuruh bersabar dan bersyukur terpilih sebagai insan bertanggungjawab memelihara anak istimewa, saya mula berdebar-debar.

"Saya tergamam apabila melihat bayi saya ketika itu, namun entah bagaimana datangnya kekuatan, tiada setitik air mata yang berlinang, sebaliknya saya terus mendakap Kak Nik dan mencium wajah comelnya, sama seperti anak lain," katanya yang hanya mula menangis kesedihan apabila memikirkan masa depan puteri ketiganya itu yang terpaksa hidup sebagai insan kurang upaya.

Ketika wanita lain yang menjalani proses berpantang ceria bersama bayi mereka, Rosnaini terus dirundung duka memikirkan masa depan bayinya itu yang terpaksa mengharungi pelbagai cabaran hidup sebagai insan istimewa.

Kehadiran si suami yang sentiasa memberi kata-kata semangat dan nasihat sedikit sebanyak mampu merawat duka yang terpendam sehinggalah pada Disember 2007, ketika Kak Nik berusia empat bulan, pasangan ini menonton video mengenai Nick Vujicic yang memaparkan kemampuannya berdikari.

Vujicic turut dilahirkan tanpa kaki dan tangan tetapi aktif menjalani kehidupan seperti biasa dan sehinggakan beliau memberi motivasi kepada mereka yang lain.

Video itu menunjukkan betapa gembiranya Vujicic mempamerkan kehebatannya berenang, meluncur ombak dan bermain segala bentuk jenis sukan dan menikmati hidup sama seperti insan normal lain.

"Hanya Tuhan yang tahu betapa gembiranya saya ketika itu dan saya menangis keriangan kerana buat pertama kalinya saya melihat masih ada sinar untuk anak saya di dunia ini.

"Sejak itu, saya mula mengikuti perkembangan Vujicic, termasuk kisah peribadinya, kerjayanya dan kecemerlangannya yang menjadi sumber inspirasi kepada kami sekeluarga," katanya tersenyum. Seiring tumbesaran Kak Nik, saya sentiasa mengingatkan kepadanya agar bersyukur kerana dipilih Allah untuk diuji sebegini.

Walaupun ada kalanya Rosnaini yang hampir berputus asa dan setiap kali melihat beliau menangis, Kak Nik pula yang memujuknya agar jangan bersedih dan berjanji akan menjadi insan terbaik dalam hidup ini.

Apabila mengetahui Vujicic datang ke Kuala Lumpur pada Ogos lepas, pasangan ini terus ke ibu negara untuk bertemu sendiri dengan idola mereka selama ini.

Walau dalam kesamaran, tidak mahir selok-belok jalan raya di ibu kota, dengan berpandukan GPS mereka menghala ke tempat Vujicic menyampaikan ceramahnya.

"Malangnya kami tidak dibenarkan masuk ke gereja tempat Vujicic berceramah atas alasan kami orang Islam, namun kami terus menunggu kelibatnya di luar dan berhasrat mahu mengekorinya hingga ke hotel penginapan agar dapat memenuhi hajat kami yang mahu bertentang mata dengannya.

"Memang rezeki kami, sebaik Vujicic keluar, kami terus mengekori rapat van yang dinaikinya sehingga van itu berhenti di sebuah stesen minyak dan di situlah kami sekeluarga berlari ke arah van itu untuk menyatakan hasrat kami kepada Vujicic," katanya yang gembira apabila selebriti itu meluangkan masa untuk meraikan mereka dengan makan malam di hotel.

Vujicic banyak bercerita tentang pengorbanan ibunya kepada Rosnaini di mana segala cabaran yang dilalui adalah sama seperti pengalaman jururawat ini yang akhirnya berjaya menyuntik semangat luar biasa untuk beliau terus melakukan yang terbaik buat Kak Nik.

"Mata Kak Nik bersinar-sinar sepanjang pertemuan itu dan kelihatan beliau sangat teruja melihat sendiri idolanya berada di depan mata, umpama mimpi menjadi kenyataan.

"Vujicic juga sempat memberi kata-kata semangat untuk Kak Nik yang direkod dalam video dan beliau pesan agar kami menayangkan video itu kepada Kak Nik apabila beliau dewasa kelak," katanya yang sangat gembira apabila Kak Nik mula menunjukkan perubahan ketara selepas pertemuan itu.

Terkilan pandangan negatif masyarakat

Mengakui membesarkan Kak Nik sebagai pengalaman paling manis dalam hidupnya, ibu kepada empat cahaya mata ini bagaimanapun masih terkilan dengan pandangan negatif masyarakat terhadap insan OKU.

Masih terdapat diskriminasi terhadap OKU dan jika dibandingkan penerimaan orang Barat dengan masyarakat kita, umpama langit dengan bumi, keluh Rosnaini apabila teringat kembali kegagalannya mendapatkan peruntukan khas untuk OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan alasan beliau dan suaminya bekerja.

Suaminya, Dr Daeng Malis yang juga seorang doktor perubatan di klinik Universiti Malaysia Terengganu pula berharap masyarakat tidak terus memandang serong kepada OKU seolah-olah kehadiran golongan ini membebankan mereka.

"Lain pula, dengan masyarakat luar negara yang begitu prihatin dengan kebajikan OKU dan sanggup mendahulukan keselesaan mereka dalam apa juga perkara," katanya.

Ketika ini, Kak Nik bersekolah di Tadika Kemas Kampung Kuala Telemong dan dia mampu mengenal abjad, menulis nama sendiri menggunakan tangan atau kaki serta menghafaz ayat Kursi dan beberapa surah lazim yang lain.

Bagaimanapun, kecerdasan Kak Nik seakan tidak bermakna apabila permohonannya untuk memasuki sebuah sekolah di tempat tinggalnya seolah-olah dipandang acuh tidak acuh oleh pihak pengurusan sekolah berkenaan.

"Anak kami tidak boleh belajar di sekolah khas kerana ia hanya khusus untuk anak istimewa yang melibatkan masalah lembam pembelajaran sedangkan Kak Nik telah disahkan doktor pakar sebagai seorang yang mampu belajar seperti kanak-kanak normal lain.

"Ini yang sangat saya risaukan kerana penggal persekolahan 2014 akan bermula dua bulan lagi sedangkan permohonan kami untuk menghantar Kak Nik ke sekolah itu hanya dilayan hambar umpama melepaskan batuk di tangga," katanya. Lebih menghairankan Rosnaini apabila beliau membaca berita ada sekolah-sekolah yang sanggup menerima OKU, cuma komitmen guru yang menjadi penghalang ketika ini.

"Ada yang menyarankan kami agar mengupah guru datang mengajar di rumah, itu bukan yang kami mahukan kerana Kak Nik perlu bergaul dengan kawan-kawan di sekolah, malah kami akan menyediakan pembantu untuk membantu pergerakan Kak Nik di sekolah untuk ke tandas dan kantin," katanya yang jelas kecewa dengan layanan pihak sekolah terbabit.

Mahu jadi pendidik

Anak kecil itu pula apabila ditanya cita-citanya, pantas menjawab mahu menjadi seorang pendidik apabila dewasa nanti. "Kak Nik pun nak jadi macam Nick Vujicic, pandai...suka nasihat orang," katanya malu malu.

Walaupun sedar dengan kekurangan diri, anak kecil ini ternyata kuat semangat dalam meneruskan hidup dengan berdikari dan ramah dengan kawan-kawan di sekolah. "Jika Australia ada Vujicic, kami mahu Malaysia juga berbangga dengan Kak Nik yang akan kami beri didikan sempurna untuknya," kata Rosnaini dengan penuh harapan.

Harapan ibu bapa Kak Nik hanya satu, agar tiada diskriminasi terhadap puteri kesayangan mereka dalam menimba ilmu di sekolah dan harapan itu masih utuh dalam titipan doa mereka sehingga kini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain