suria

Menyingkap Agenda Ekstremis

Imam Feisal Abdul Rauf
Imam Feisal Abdul Rauf
Imam Feisal Abdul Rauf

BERLAWANAN dengan pendapat umum di Amerika, Islam sebenarnya adalah agama yang menganjurkan perdamaian.

Sebahagian orang bertanya, mengapa saya berkata begitu? Kerana lihat serangan 9/11 dan pembunuhan yang berlaku dalam dunia ini. Muslim sedang membunuh Kristian.

Muslim sedang membunuh Yahudi. Muslim sedang membunuh Muslim. Benar. Tetapi Islam bukan agama yang ganas. Malah, asas bagi semua agama – Islam, Kristian, Yahudi, Buddha dan Hindu – adalah damai.

Sebenarnya yang ganas adalah segolongan individu. Kelompok ekstremis yang menyalahtafsirkan agama menurut ketaksuban mereka serta demi kepentingan diri telah melakukan keganasan sehingga menimbulkan reaksi yang juga ganas.

Lalu bermulalah kitaran keganasan dan kebencian. Orang sebegini menggunakan doktrin-doktrin keagamaan yang palsu sebagai topeng bagi agenda politik dan kekuasan mereka. Kita mesti membezakan antara kedua-duanya – antara agama dan golongan yang kemaruk kuasa – serta memerangi ekstremis.

Sejak berkurun-kurun yang lalu, keganasan diamalkan atas nama agama, selain atas nama kebebasan, keselamatan negara dan apa saja nilai yang kita anuti.

Namun, kita tidak seharusnya merasa seperti sedang memerangi agama. Langkah itu hanya akan menjebakkan kita dalam permainan ekstremis dan menyebabkan kita melihat permasalahan dari sudut yang tidak tepat – dan akhirnya mendorong kita untuk mencari penyelesaian pada tempat yang salah dan menyasarkan kita sehingga menuduh agama yang sebenarnya tidak bersalah.

Seandainya keganasan antara Protestan dan Katolik di Ireland ditanggapi sebagai masalah keagamaan dan bukannya masalah politik dan ekonomi, nescaya ketegangan itu tidak mungkin dapat dirungkaikan.

Dalam Richmond Forum yang dianjurkan baru-baru ini, topik beralih kepada persoalan mengapa Muslim nampaknya menindas kaum wanita.

Sebahagian peserta bertanya mengapa Muslim menggalakkan amalan sunat pada kemaluan wanita. Apakah ini sesuatu yang diwajibkan untuk menjadi Muslim?

Perkara itu tidak benar sama sekali.

Nabi Muhammad memperjuangkan hak wanita, dan banyak lelaki dan wanita Muslim yang sedang meneruskan perjuangan baginda itu. Amalan sunat pada kemaluan wanita merupakan tradisi kebudayaan Afrika, kerana itulah banyak Muslim dan Kristian Mesir mengamalkannya.

Amalan tersebut tidak dibuat di tanah Arab, tempat Islam bermula. Ia tidak pula diamalkan secara sejagat oleh Muslim dan tentunya tidak dianjurkan oleh Quran.

Kebudayaan sering mengatasi agama, dan ini adalah punca bagi amalan sunat kemaluan wanita dan penindasan terhadap mereka. Di mana keadilannya apabila agama dibohongi? Ekstremis seperti Taliban, Hezbollah, dan al-Qaeda telah menyelewengkan Islam untuk menyesuaikannya dengan matlamat mereka. Kata ekstremis, mereka memperjuangkan Islam murni, tetapi mereka salah.

Mereka dibantu – barangkali secara tidak sedar – oleh ekstremis Kristian dan Yahudi yang terus menegaskan Islam itu sendiri bermasalah.

Ekstremis, apa saja belang mereka – keagamaan, kebudayaan, sosial atau politik –mahu mencetuskan pertelingkahan.

Maka, jika ekstremis tidak saling memerangi, siapa sebenarnya sasaran mereka? Golongan moderat – majoriti penduduk dunia yang mahu melihat permasalahan mereka diselesaikan agar mereka mampu membina kehidupan dan ekonomi untuk menyara keluarga mereka. Golongan inilah yang menderita dalam pertempuran antara ekstremis.

Golongan moderat seperti kita perlu bergabung menentang ekstremis.

Justeru itulah pertubuhan saya, Cordoba Initiative, sedang berusaha untuk membentuk pakatan moderat sedunia yang akan bekerjasama untuk menumpaskan suara ekstremis secara strategik.

Malala Yousufzai, gadis Pakistan yang telah ditembak oleh ekstremis Taliban kerana memperjuangkan pendidikan untuk anak-anak perempuan, adalah simbol tentang kesederhanaan.

Agama apa sekali pun mengeji pembunuhan kanak-kanak. Selain itu, Quran amat menghargai pendidikan. Kitab Al-Quran menyebut bahawa mukmin terbaik adalah mereka yang mempunyai pengetahuan.

"Mencari ilmu adalah kewajipan buat mukmin sejak dalam buaian sampai sebelum masuk kubur,” sabda Rasulullah. "Tinta para sarjana adalah lebih berharga daripada darah para syuhada."

Mengembangkan akal manusia adalah salah satu daripada enam matlamat utama perundangan Islam.

Jika tindakan menyekat wanita, atau siapa saja, daripada mendapatkan pendidikan tidak dianjurkan Quran, malah bertentangan dengan ajaran kitab itu, maka mengapa kita harus menerima dakwaan pihak yang ingin membunuh Malala atas alasan mereka melakukan sesuatu yang Islami?

Kita perlu mencabar mereka berasaskan kefahaman yang tulen terhadap syariat Islam.

Di masa lalu, Muslim moderat telah disalah-anggap sebagai golongan yang tunduk di bawah kuasa Barat dan diktator Muslim. Sedangkan tuduhan itu tidak benar.

Muslim sebenar adalah rasional, moden, merasa tenteram dengan keyakinan mereka, sanggup mempertahankan ideal mereka serta bersaing secara setara di persada antarabangsa.

Kini telah tiba masanya untuk kaum moderat semua agama dan bangsa bangkit dan menentang ekstremisme pada bila-bila masa saja ia menunjukkan belangnya.

Kita terhutang budi pada Malala dan orang lain seperti beliau yang berjuang demi keadilan dan kesetaraan peluang. Dan kita berhutang dengan Tuhan yang menghendaki kedamaian untuk semua bangsa manusia.

> Imam Feisal Abdul Rauf, adalah pengasas Cordoba Initiative – sebuah pertubuhan berbilang bangsa dan penganut agama yang berusaha untuk memperbaiki hubungan Muslim dengan Barat. Beliau baru-baru ini tampil dalam Richmond Forum. Pandangan yang diungkapkan di sini adalah sepenuhnya milik beliau.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain