LABUAN: Langit cerah dan membiru indah dek sinaran matahari melengkapkan panorama yang terhidang di Pulau Labuan.Bagi mereka yang kali pertama menjejakkan kaki ke pulau yang terkenal sebagai hab minyak dan gas itu, pastinya akan turut teruja melihat keindahan pulau yang turut menawarkan khazanah alam yang menarik.Antara tarikan di Labuan adalah pulau-pulau sekitarnya - Pulau Kuraman, Pulau Rusukan Kecil dan Pulau Rusukan Besar - yang masih bebas daripada pencemaran dan pembangunan namun agak tersembunyi sebagai destinasi pelancongan.Tiga pulau diwartakan tamat laut Labuan.Ketiga-tiga pulau itu yang diwartakan sebagai Taman Laut Labuan pada 1994 dilihat berpotensi menggamit pelancong.Pulau Kuraman terletak lebih kurang 14 kilometer atau setengah jam pelayaran dengan bot dari Pelabuhan Victoria di Labuan.Berhampiran Pulau Kuraman terletak Pulau Rusukan Kecil dan Pulau Rusukan Besar yang membentuk gugusan pulau berkeluasan kira-kira 10 kilometer persegi di taman laut itu.Pulau Kuraman adalah pulau utama dalam gugusan Taman Laut Labuan yang terkenal dengan beting pasirnya yang panjang dan cantik serta airnya yang bersih.Lebih menarik, pulau yang berkeluasan 5.2 kilometer persegi itu dikelilingi batu karang keras jenis Acropora Tubinaria yang boleh ditemui pada kedalaman laut 8 hingga 13 meter.Pulau Kuraman jadi pilihan pencinta kegiatan fotografi. Selain menjadi syurga bagi pencinta kegiatan fotografi, Pulau Kuraman yang kaya dengan fauna dan floranya termasuk pelbagai sepesis rama-rama dan burung juga menjadi pilihan bagi penggemar kegiatan merentas hutan.Pengunjung juga boleh melawat Rumah Api bersejarah yang dibina pihak British pada 1902 di pulau itu yang bertujuan memudahkan kapal-kapal dagang mengesan kedudukan pelabuhan Labuan terutama di waktu malam.Kedudukan gugusan Taman Laut Labuan yang berhampiran dengan empat lokasi menyelam di kawasan kapal karam mampu menjadi daya tarikan pelancong yang gemarkan aktiviti menyelam.Selain itu, sejak kebelakangan ini, taman laut itu semakin dikenali sebagai pusat penetasan dan pembiakan anak-anak penyu.Pusat penetasan penyu. Pengarah Taman Laut Labuan Mohd Fazli Long berkata, Pusat Penetasan Penyu yang dibina di Pulau Rusukan Besar sejak tiga tahun lalu dengan kerjasama Petronas Carigali merupakan salah satu produk pelancongan baharu di sini.Sebuah pondok yang dijadikan pejabat dan seorang renjer marin ditempatkan di pulau itu bagi menjaga dan memantau kawasan gugusan pulau taman laut itu terutama hidupan marin di situ.Pusat itu turut menyediakan kawasan-kawasan untuk penyu bertelur yang menjadi sebahagian daripada usaha memastikan ketiga-tiga pulau di taman laut itu terus menjadi tapak persinggahan penyu.Antara spesis penyu yang mendarat di pulau-pulau itu adalah penyu agar dan penyu karah.Sepanjang tahun 2012, pusat itu telah melepaskan sebanyak 2,068 ekor anak penyu ke laut selepas menetaskan sebanyak 2,225 telur dan angka itu lebih besar berbanding tahun sebelumnya yang hanya menetaskan sebanyak 1,163 telur penyu dengan 796 anak penyu yang hidup dilepaskan ke laut.Pendaratan penyu di Labuan berlaku dalam dua musim dengan penyu karah kebiasaannya naik ke darat untuk bertelur bermula pada Julai dan penetasan berakhir pada bulan November manakala penyu agar pula naik ke darat pada akhir Disember dan akan habis menetas pada bulan Mei.Kebiasaannya penyu karah mengeluarkan telur antara 180 hingga 200 biji manakala penyu agar sebanyak 100 hingga 160 biji."Selepas bertelur, penyu betina akan berehat selama setahun dengan merantau jauh sehingga ke Jepun dan Vietnam manakala penyu jantan hanya merantau di kawasan yang lebih dekat," kata Mohd Fazli.Ancaman manusia terhadap penyu adalalah cabaran paling besar bagi pusat itu memastikan penyu-penyu itu kembali semula ke kawasan taman laut itu untuk bertelur.Yu berbintik hitam turut huni taman laut Labuan. Pulau Rusukan Besar juga menjadi pilihan kepada mereka yang meminati aktiviti snorkeling terutama di bahagian selatan dan timur pulau itu.Air yang jernih dengan pelbagai jenis hidupan laut yang cantik termasuk terumbu karang seperti karang tanduk rusa dan karang meja yang banyak terdapat perairan pulau itu menawarkan panorama semulajadi dasar laut yang indah.Menurut Mohd Fazli, jika bernasib baik, pengunjung berpeluang melihat kehadiran ikan yu berbintik hitam yang jarang ditemui di tempat lain."Selain itu, di sini juga adalah tempat pembiakan spesis udang kara yang bernilai tinggi. Tugas kami di sini adalah untuk memastikan hidupan marin tidak diganggu atau diancam," katanya.Berpeluang mengelilingi pulau yang berkeluasan 14 hektar itu cukup mengujakan dengan dihidangkan satu pemandangan yang cukup indah bak sekeping lukisan hidup.Selain laut yang jernih, terdapat sebahagian kecil pantainya yang dipenuhi hamparan batu seperti permaidani hitam.Walaupun masih belum dibangunkan sebagai sebuah pusat pelancongan yang lengkap, Pulau Rusukan Besar telah mula menerima ramai pelancong terutama penduduk tempatan."Kebanyakan mereka tidak bermalam kerana di sini tiada hotel mahupun chalet yang dibangunkan. Ada juga yang melakukan aktiviti perkhemahan di sini," katanya.Perancangan membangunkan pulau itu agak sukar kerana tanah di pulau itu adalah milik persendirian. - BERNAMA