PELUANG menemubual penulis Lauren Oliver berhubung pengalamannya menyiapkan buku Requiem, yang merupakan koleksi terakhir novel trilogi Delirium cukup mengujakan. Dalam temubual yang dalam satu kiriman e-mel, Oliver berkata karya trilogi berkenaan memberi kesan yang cukup mendalam terhadap kehidupan peribadinya. Penulis sendiri tidak menyangka apabila beliau turut berkongsi cerita mengenai kisah pertunangannya yang terputus di tengah jalan. Namun Oliver sangat tenang, sedia berkongsi kisah suka dan dukanya. "Saya merasakan itulah tindakan paling tepat yang harus diambil. Walaupun hubungan kami sebagai kekasih terlerai, saya masih lagi berkawan rapat dengannya. Saya juga dalam proses mengenali seorang lelaki lain dan sangat baik terhadap saya,” katanya. Biarpun pada mulanya Oliver menafikan kisah dukanya itu memberi kesan terhadap penulisannya, namun akhirnya dia mengakui perkara tersebut. "Saya pasti kisah suka duka yang saya lalui bersama beberapa lelaki yang muncul dalam hidup saya memberi kesan sedikit sebanyak terhadap penulisan saya. "Hampir semua yang berlaku dalam hidup ini saya terjemahkan dalam penulisan novel saya dalam pelbagai cara. Namun saya menapisnya dengan kaedah penulisan berbentuk fiksyen,” ujarnya. Namun dia mengakui pengalamanya itu hanyalah salah satu pendekatan yang digunakan Oliver untuk mendapatkan idea. Penulis buku fiskyen, Five Young Adult (YA) ini turut mempraktikkan kaedah berimaginasi dalam penulisannya. "Pada kebiasannya saya melakukannya tanpa sedar, dan ketika itulah idea datang mencurah-curah," katanya. Menurutnya, dia memperoleh idea daripada buku, muzik, surat khabar serta pengalaman yang diceritakan kepadanya. Bukan itu sahaja, Oliver turut mendapatkan nasihat daripada ayahnya dua untuk mendapatkan inspirasi mengenai novel YA yang terbaru. Ayah Oliver, Howard Schecter, juga merupakan seorang penulis novel yang mempunyai genre seram, jenayah sebenar serta misteri. Nama sebenar Oliver, ialah Laura Schecter. Walaupun kedua beranak ini menulis dalam genre yang berbeza, buat pertama kalinya mereka akan berkolaborasi dalam menghasilkan satu siri buku untuk generasi muda. "Saya sedang menulisnya, ayah pula sedang membuat plot novel berkenaan. Ia langsung tidak ada kena-mengena dengan kisah jenayah sebenar," kata Oliver. Novel trilogi, Curiosity House dijangka akan dipasarkan pada pertengahan tahun hadapan. Novel ini memberi fokus kepada 'kisah pelik yang berlaku dalam sebuah muzium. Ia memaparkan eleme keajaiban empat kanak-kanak yang mempunyai kemahiran luar biasa di sana. Karya terbaru tulisanya Panic telah pun berada di pasaran, sejak 4 Mac lalu. Novel tersebut tersenarai sebagai siri buku YA yang terlaris di New York Times. Kini dia juga sedang menyiapkan dua buah novel lagi. Selain daripada itu, novel Panic juga akan diadaptasi kepada filem oleh Universal Pictures. "Kami sedang menunggu skrip (untuk disiapkan) tidak lama lagi," ujar Oliver. Ini bukan kali pertama karya beliau dijadikan filem. Novel pertama tulisannya, Before I Fall dan Delirium juga pernah diangkat ke layar perak oleh syarikat 20th Century Fox. Delirium juga diubah suai dan dijadikan siri televisyen. Siri tersebut menampilkan Emma Roberts sebagai heroin, Leena Halloway. Ditanya mengenai potensi novel Panic dijadikan filem: "Saya cuba untuk tidak membiarkan diri saya terlalu berfantasi kerana ia tidak perlu. “Saya mendapat sokongan daripada banyak pihak memang penting. Pada masa yang sama banyak novel yang boleh diangkat ke layar perak namun ada kekangan yang dihadapi yang menyebabkan ia tidak boleh dijadikan filem,” katanya.