suria

Kehilangan Pesawat MH370 Uji Kemampuan Malaysia

Datuk Ibrahim Abdul Rahman (gambar fail)
KUALA LUMPUR: Peristiwa kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 sejak 8 Mac lepas, menguji kemampuan Malaysia dalam menguruskan media tempatan dan antarabangsa mendapatkan bahan liputan berita yang benar, tepat serta disahkan. 

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Datuk Ibrahim Abdul Rahman berkata meskipun insiden itu menyatupadukan banyak agensi, namun beliau mengakui aspek prosedur operasi standard (SOP) di setiap agensi, termasuk Jabatan Penerangan, perlu diteliti semula agar dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik pada masa depan seiring cabaran yang dihadapi.
 
"Semua agensi memainkan peranan dengan baik, mempunyai SOP tersendiri, namun melihat kepada besarnya permasalahan ini (insiden MH370) dan apa yang kita dapat daripada peristiwa ini, kita perlu meningkatkan dan menambah baik SOP dalam menguruskan pusat media," katanya kepada Bernama.

Menyentuh cabaran yang perlu dihadapi Jabatan Penerangan, Ibrahim berkata sebagai pusat rujukan utama seluruh dunia bagi mendapatkan maklumat berhubung MH370, ketiadaan maklumat tambahan untuk disalur kepada wartawan adalah antara kesukaran yang dihadapi memandangkan hanya maklumat disahkan dibenar untuk disalur kepada mereka.
 
"Proses penyampaian maklumat secara rasminya melalui beberapa peringkat, bermula dengan jawatankuasa teknikal yang akan melaksanakan penyiasatan, tapisan dan pengesahan maklumat, kemudian disalurkan kepada pasukan komunikasi yang akan merangka teks dan susunan maklumat sebelum dihebahkan di sidang media yang mana maklumat itu telah disahkan, sahih dan tepat," katanya. 
Wujudnya Pusat Media 

Ibrahim berkata pihaknya berperanan mengendalikan pusat media setelah menerima arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengkoordinasi penyampaian maklumat dan membantu media melaksanakan liputan serta mendapatkan maklumat yang betul. 
 
"Selepas kita mendapat maklum balas daripada MKN mengenai krisis ini (MH370), kita terus menetapkan pusat media di Hotel Sama-Sama berdekatan KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang) yang kemudian berpindah ke PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra) untuk membantu media dari segi penghebahan maklumat melalui kenyataan akhbar dan e-mel selain mengadakan sidang media," katanya. 

Beliau berkata pihaknya juga menyediakan transkrip asal yang penuh dan terjemahan selain rakaman video penuh pada setiap sidang media di pusat berkenaan selain memuat naik ke laman sesawang rasmi, Facebook dan Twitter yang dikendali Jabatan Penerangan bagi mempertingkat kefahaman mereka tentang misi mencari dan menyelamat (SAR) serta memudahkan tugas media menyampaikan berita.
 
"Bagi wartawan, khususnya dari negara China, yang mungkin tidak begitu memahami isi kandungan terjemahan dalam Bahasa Inggeris, pegawai kita juga cuba membantu dan memberi gambaran terbaik selain dibantu media Cina tempatan dari segi khidmat terjemahan," katanya.

Ibrahim berkata jabatan itu juga berperanan memantau berita seluruh dunia dari peringkat permulaan kehilangan pesawat MH370 sehingga hari ini. 
 
"Kami mengumpul sejumlah 170,000 'tajuk utama global' daripada setiap media cetak dan portal dari seluruh dunia sehingga kini berkaitan dengan berita MH370 dengan 'kata kunci' #MH370 menjadi keutamaan," katanya. 

Spekulasi Dan Pengaruh Media Sosial 

Mengulas tahap dinamik media tempatan dalam melaporkan isu kehilangan pesawat MH370, Ibrahim berkata mereka memainkan peranan yang baik dalam memberikan fakta tepat serta tidak menokok tambah sehingga mewujudkan spekulasi.

Beliau berkata walaupun media tempatan diberi kebebasan memperoleh pandangan berkaitan isu ini daripada pakar namun mereka tidak sampai melangkaui batas dan etika kewartawanan seperti dilakukan segelintir media asing yang hanya ingin mengejar 'rating'.
 
"Ada berita daripada media asing yang menyatakan kononnya pesawat MH370 dirampas, namun setelah diteliti ia hanyalah dipetik daripada pandangan peribadi individu tertentu dan ternyata pihak yang menghasilkan berita itu mempunyai agenda mereka tersendiri untuk menarik perhatian umum.
 
"Lebih melampau apabila mereka melaporkan bahawa maklumat itu disampaikan oleh individu tertentu tetapi sebenarnya mereka tidak menemuramah sendiri individu itu malah mereka-reka cerita menjadikan berita itu sensasi dan seolah-olah benar," katanya. 

Beliau juga menegaskan dalam menetapkan hala tuju editorial, media tempatan diminta memainkan peranan mempertahankan negara dalam menangkis sebarang maklumat salah, spekulasi, khabar angin, kecaman serta tuduhan tidak berasas pihak yang sengaja ingin mengeruhkan keadaan.
 
"Hal ini bukan sahaja menimbulkan perasaan tidak puas hati terhadap keluarga penumpang dan anak kapal MH370 malah menjejaskan nama baik Malaysia dan para pemimpin yang terus komited dalam misi SAR," katanya. 

Penutupan Pusat Media MH370 

Ibrahim berkata walaupun pusat media bakal menamatkan operasinya pada 8 April, namun pihaknya akan tetap meneruskan peranannya menyalurkan maklumat kepada media menerusi e-mel dan kenyataan media.

"Kami juga akan menghantar notis kepada media sekiranya sesuatu sidang media perlu diadakan.

"Sepanjang pusat media beroperasi selama 24 jam, sebanyak 19 sidang media telah diadakan setakat ini dengan lokasi pertama di Hotel Sama-Sama bermula 8 Mac hingga 22 Mac, serta PWTC pada 23 Mac hingga 5 April," katanya. 

Sejumlah 50 pegawai penerangan ditugaskan setiap hari melalui pembahagian tiga syif bagi menguruskan pusat media itu. 

"Sejumlah 281 agensi berita serta 620 petugas media dari dalam dan luar negara menggunakan perkhidmatan pusat media yang disediakan oleh Jabatan Penerangan, dengan 76 agensi berita tempatan melibatkan 203 petugas media dari arus perdana dan portal serta 205 agensi berita asing melibatkan 417 petugas media dari 33 negara," katanya. 

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA pada 12.41 tengah malam.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi hari yang sama.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, pada 24 Mac lepas, mengumumkan bahawa penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi", pada hari ke-17 pesawat jenis Boeing 777-200ER itu hilang. 

 


Artikel Lain