KEUNIKAN sebuah restoran tidak hanya terletak keenakan makanannya semata-mata. Lebih-lebih lagi apabila ia dibuka sejak era sebelum negara mencapai kemerdekaan dan menyimpan sejarahnya yang tersendiri. Terletak di tengah ibu kota, Kafe Old Market Square ini dibuka semula selepas ditutup tahun lalu. Menyingkap sejarah pembukaannya, restoran yang berkonsepkan kedai kopi ini dibuka sejak 1928 dengan nama Restoran Sin Seng Nam. Ia dimiliki oleh imigran Hainan Choong Yoo Ying dan dua adiknya. Mengetengahkan menu masakan Hainan, dalam sedikit masa sahaja kedai kopi ini menjadi popular. Kedai kopi ini bukan hanya menjadi tempat makan, malah ia menjadi medan lepak bertemu kawan dan rakan perniagaan bagi mereka yang gemarkan suasana santai. Pembangunan pesat di sekeliling restoran ini tidak sedikit pun mengubah identiti kedai kopi yang terus popular dengan identiti masakan Hainan. Yong Tau Fu antara masakan istimewa di sini. Oleh kerana lokasinya yang terletak dihadapan pejabat Majlis Peguam Malaysia, restoran tersebut turut dikunjungi oleh hakim dan peguam. Bagaimanapun selepas 85 tahun ia beroperasi, kedai ini terpaksa ditutup kerana tiada waris keluarga yang ingin meneruskan perniagaan tersebut. Namun dek kerana minat yang mendalam terhadap suasana kedai kopi yang santai, syarikat Old Market Square Sdn Bhd, akhirnya membuat keputusan membeli kedai berkenaan dengan membuat sedikit pengubahsuaian. Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Abdullah berkata kedai berkenaan merupakan satu-satunya bangunan yang masih mengekalkan reka bentuk asalnya dan kini ia berusia lebih 100 tahun. "Saya selalu lepak di sini ketika saya berkhidmat sebagai seorang peguam. Orang Melayu, Cina dan India sering datang ke sini. "Ada juga hakim, peguam, pekerja bank dan pegawai kerajaan datang ke sini untuk minum kopi dan lepak bersama rakan-rakan mereka," katanya. Teh tarik, roti bakar dan telur setengah masak antara menu popular di kafe ini. Terdapat pelbagai pilihan menu yang boleh anda cuba apabila berkunjung ke sini, antaranya kopi Hailam, Hailam Cham, teh tarik, telur setengah masak, popiah, yong tau fu, mee rebus, mee hailam, rojak dan roti bakar. Paling utama harga yang ditawarkan sangat berpatutan. Galeri sejarah yang terdapat di Kafe Old Market Square. Bagi mereka yang meminati sejarah, pemilik kedai turut menyediakan galeri sejarah di tingkat atas kedai kopi ini. Galeri ini memaparkan sejarah penubuhan Kuala Lumpur sejak era sebelum merdeka lagi. Waktu operasi Kafe Old Market Square: Dibuka setiap hari bermula pukul 7 pagi hingga 6 petang. Ditutup pada Ahad.