suria

Seni Lukis Abstrak YB Manong

YB Kamil mengisi masa lapang dengan menghasilkan lukisan abstrak bermutu.

APABILA dilihat pada lakaran warnanya mungkin tidak ramai pembaca yang memahami konsep ataupun maksud lukisan Abstrak.

Bagaimanapun lukisan yang sukar untuk difahami ini merupakan satu seni indah bagi mereka yang memahami.

Baru-baru ini, penulis berkesempatan bertemu dengan seorang pelukis seni abstrak di Kuala Kangsar, Perak.  Ketika itu jugalah ilmu tentang lukisan ini mula dipelajari untuk memahami serba sedikit tentang lukisan abstrak ini.

Lelaki yang penulis maksudkan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manong, Mohamad Kamil Shafie atau lebih mesra dengan panggilan YB Kamil di kawasan tersebut (gambar).

Untuk pengetahuan pembaca, Kamil yang mudah didekati dan  ramah orangnya  bukanlah seorang pelukis abstrak biasa.

Beliau merupakan pemegang Ijazah Seni dan Kemanusiaan dari Kolej Augustana, South Dakota, Amerika Syarikat dan Kansas City Art Institute.

Berdasarkan pengalaman dan minatnya itu, Kamil memilih untuk menghasilkan lukisan abstrak menerusi konsep pandangan atas ke bawah atau Exspressionism abstract from above.

Penulis kemudian dibawa ke studio milik beliau yang menjadi tepat Kamil menghabiskan masa lapang dengan berseni atau mengilhamkan sesuatu yang difikirkan.

"Bila ada masa terluang, maka saya akan gunakan untuk melukis di studio sama ada dari sudut kemanusiaan atau kehidupan serta alam semulajadi”, katanya.

Bagi menghasilkan setiap lukisan abstrak,  YB Kamil menggunakan 5 elemen cat iaitu oil and pastel , acrylic, oil painting, oil mixed pastel dan warna air campuran supaya ia dapat menghasilkan lukisan abstrak yang mampu memberi penghayatan.

"Saya mula meminati lukisan abstrak ketika mengikuti pengajian seni di Kolej Agustana dalam bidang Fine Art dan antara mereka ialah Profesor Robert J. Aldern, Profesor Carl Grupp dan Profesor Jay Olsen," jelasnya.

Banyak karya seni abstrak yang dihasilkan Kamil ketika berada di Kolej Agustana tetapi ia diberikan kepada professor dan rakan-rakan untuk dijadikan kenangan.

"Saya memang sayangkan lukisan-lukisan tersebut tetapi perasaan puas apabila dapat memberikannya kepada rakan dan profesor melebihi segalanya, malah mereka juga amat menghargainya," ujarnya.

Menurutnya, antaranya lukisan abstrak termahal yang pernah dijual ialah hasil karya Jackson Pollock pada 1912 (gambar atas). Lukisan abstrak tersebut dijual pada harga $142.7 juta  dan kini nilainya dikatakan telah meningkat.

Bercerita lebih lanjut, Kamil menjelaskan, lukisan abstrak yang dihasilkan olehnya tidak dijual tetapi sekadar koleksi dalam melahirkan sesuatu ilham selain memenuhi tuntutan minat dan hati.

Ketika ditanya mengenai pilihan konsep Expressionism from Above, beliau memberitahu, konsep itu mempunyai nilai dan makna yang cukup kuat, ramai berpendapat  orang atas lebih berkuasa daripada  yang di bawah tetapi sebenarnya yang di bawah itulah yang mewarnai perjalanan kehidupan.

"Tanpa yang di bawah tiada makna bagi orang  di atas,"  pengertian Kamil yang memberi maksud cukup mendalam kepada penulis.

Pengertian itu juga digunakan oleh beliau sebagai wakil rakyat di Manong dalam membela penduduk dan menjalankan tanggungjawab yang digalas.

Selain itu, Kamil turut bercadang untuk mengadakan pameran solo hasil karya seni  abstrak beliau pada 2015 di Ipoh, Perak yang bertemakan 'Exspression from Above'.

Beliau juga dalam perancangan untuk menyiapkan beberapa lukisan abstrak diatas ruang lebih besar selepas Ramadan yang akan datang untuk dibawakan khas pada pameran berkenaan kelak.

Diakhir perbualan kami, Kamil sekali lagi menyatakan bahawa tujuan lukisan abstrak dihasilkan bukanlah kerana wang atau nama tetapi seni dan politik adalah jiwanya.

"Hidup adalah sementara dan lakukan yang terbaik sementara masih hidup," pesan Kamil.




Amerika Syarikat, Manong, Perak

Artikel Lain