JIKA selama ini hanya mampu melihat dan menggambarkan suasana mengendalikan kapal layar, tanpa disangka angan-angan bertukar realiti apabila mendapat pelawaan Kementerian Belia dan Sukan, baru-baru ini. Justeru, peluang mengendalikan kapal layar bersama rakan media di Kompleks Sukan Putrajaya cukup membuatkan penulis teruja. Berpeluang menjadi skipper (kapten) kapal layar merupakan pengalaman yang tidak mungkin dilupakan. Pelayaran sekitar kawasan tasik dibantu tiupan angin memudahkan pengendalian kapal layar, sungguh menggembirakan terutama kerana ia pengalaman sulung yang pastinya akan terus terpahat dalam memori. Bagaimanapun bagi golongan profesional, ia tentunya sesuatu yang memberi kepuasan terutama jika mampu mengharumkan nama negara menerusi sukan kapal layar. Ternyata kerajaan memberi perhatian terhadap usaha ini dan penganjuran Piala Monsun membuktikannya. Menurut Pengarah Perlumba Kapal Layar Pasukan Piala Monsun, David Mills, pengendalian kapal layar boleh dipelajari dalam tempoh yang singkat. "Dengan teknik serta kaedah pengajaran yang betul, tidak sukar untuk mengendalikan sebuah kapal layar," katanya kepada mStar Online baru-baru ini. Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa dengan pendedahan seperti ini dapat melahirkan lebih ramai skipper bertaraf antarabangsa dan dapat mewakili negara pada kejohanan Piala Monsun kali ini. "Saya yakin dengan pendedahan jangka panjang kita dapat memperbaiki kedudukan pasukan negara pada kejohanan kali ini. "Kami juga akan melakukan sesi latihan untuk memilih skipper terbaik pada sesi latihan antarabangsa khusus untuk sukan kapal layar," katanya. Program Liga Layar Malaysia (LLM) 2014 akan berlangsung di lapan lokasi iaitu Pulau Langkawi, Kedah; Lumut, Perak; Pulau Indah, Selangor; Putrajaya; Port Dickson, Negeri Sembilan; Melaka; Pulau Duyong, Terengganu dan Danga Bay, Johor. LLM yang terkini akan diadakan di Pulau Indah antara 5 hingga 7 September ini. Pemenang akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM6,000, tempat kedua RM4,000 dan ketiga RM3,000, manakala pelayar yang menduduki tangga keempat dan kelima masing-masing menerima RM1,000. Edisi tersebut diadakan secara 'round robin' turut menyaksikan sebanyak sepuluh pasukan berentap. Pemenang keseluruhan akan berpeluang mewakili negara di kejohanan berprestij Piala Monsun yang akan berlangsung hujung tahun ini di Pulau Duyung, Terengganu.