Pulau Sipadan mula berperanan sebagai tapak penetasan penyu sejak 1995 diikuti Pulau Mabul pada 2012.
Menurut Pensyarah Kanan Institut Penyelidikan Marin Borneo Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr P Pushpa, terdapat dua jenis penyu yang sering menetas di kedua-dua pulau ini, iaitu penyu sisik dan hijau.
Dr P. Pushpa
"Faktor geografi di Pulau Mabul dan Pulau Sipadan sesuai untuk aktiviti penyu bertelur kerana kedua-dua pulau ini mempunyai kawasan pantai berpasir yang luas dan mampu menampung populasi penyu yang banyak pada satu-satu masa.
"Kawasan pantai yang agak landai ini memudahkan penyu untuk mendarat, mengorek pasir untuk bertelur, " katanya kepada mStar Online dalam temubual melalui kiriman e-mel baru-baru ini.
"Kajian tersebut dijalankan selama dua tahun, bermula pada Mac 2010 hingga Februari 2012. Ia dijalankan untuk melihat kehidupan spesies penyu di Mabul dan Sipadan serta tempoh jangka hayat mereka..
"Pada 2013, satu lagi projek jangka panjang telah dilancarkan, projek ini bagi memantau spesies penyu di Pulau Mabul. Program tersebut diadakan dengan kerjasama Resort Mabul Uncle Chang.
"Program ini diadakan sebanyak dua kali, setahun. Program pertama dikenali sebagai 'Sambutan Hari Penyu Sedunia Mabul ' yang diadakan pada 23 Mei setiap tahun sementara program 'Sambutan Hari Penyu bagi Penyelam Borneo Mabul' merupakan anjuran Borneo Divers and Sea Sports (Sabah) Sdn Bhd diadakan pada November setiap tahun," katanya.
Menurutnya, program tersebut diadakan bertujuan untuk menimbulkan kesedaran serta mendidik masyarakat tempatan dan pelancong asing mengenai spesies penyu yang singgah untuk bertelur di Pulau Mabul, malahan data saintifik turut diambil untuk menjalankan kajian lanjut mengenai penyu di sini.
"Daripada pelaksanaan program berkenaan apa yang dapat dikenal pasti ialah, populasi penyu hijau dan penyu sisik, semakin bertambah terutamanya di dua pulau ini.
"Sejak projek ini dijalankan kami berjaya meletakkan penanda kepada 494 penyu hijau dan 21 penyu sisik di Pulau Sipadan dan 260 penyu hijau serta 21 penyu sisik di Pulau Mabul. Namun masih banyak lagi penyu yang belum dapat diletakkan penanda kerana hanya sebahagian kecil sahaja yang mendarat untuk bertelur di pantai," katanya.
"Telur penyu sering menjadi sasaran haiwan pemangsa seperti burung, ketam, semut dan ikan. Suhu pengeraman turut mempengaruhi kualiti telur yang dihasilkan oleh penyu betina. Justeru, tempat pengeraman yang sedikit terlindung daripada cuaca panas dapat mengelakkan daripada telur terkena jangkitan bakteria dan rosak sebelum proses penetasan," katanya.
Bukan itu sahaja, Pushpa berkata, aktiviti menjual telur penyu sedikit sebanyak memberi kesan populasi penyu di negeri itu.
"Di Sabah tindakan menjual telur penyu adalah salah di sisi undang-undang, ini kerana kadar kematian penyu laut sangat tinggi. Setiap telur penyu yang dieram dalam tanah perlu dibiarkan menetas dengan selamat bagi menambah populasi penyu sedia ada.
Tegasnya, masyarakat perlu tahu sekiranya aktiviti menjual telur penyu ini tidak dibendung, penyu akan pupus tidak lama lagi.
"Contoh yang jelas ialah penyu belimbing di Rantau Abang, akibat aktiviti menjual telur penyu yang berlebihan, ditambah pula dengan kematian penyu betina dewasa menyebabkan penyu spesies itu pupus.
"Penyu laut merupakan spesies yang mempunyai kadar pertumbuhan yang perlahan, ia mengambil masa 15 hingga 20 tahun untuk mencapai tempoh matang. Setakat ini juga kita belum dapat pastikan, sama ada anak-anak penyu yang dilepaskan di laut akan kembali bertelur semula di kedua-dua pulau ini, katanya.
Mengulas lanjut, Pushpa berkata, penyu hijau akan bertelur sekali dalam tempoh dua hingga tujuh tahun.
"Apabila penyu betina ingin bertelur ia tidak boleh makan ketika proses berkenaan. Ia telah mempunyai bekalan makanan yang mencukupi melalui lemak terkumpul di bawah kulitnya.
"Ketika proses pengeraman juga penyu betina akan mencari lokasi yang sesuai dan bertelur sebanyak 6 hingga 7 kali (kira-kira 100 biji dalam tempoh 10 hingga 14 hari) dapat dihasilkan setiap kali ia mendarat. Selepas itu barulah ia akan makan semula sebelum kembali ke laut," katanya.
Justeru, beliau berharap dengan penganjuran program mendekati penyu dapat memupuk semangat masyarakat dalam menghargai fauna yang semakin sukar untuk ditemui.
"Penyu adalah haiwan yang berkarisma, orang ramai mudah sayang kepadanya. Oleh itu, usaha mewujudkan lebih banyak pusat penetasan penyu wajar diwujudkan oleh pengusaha resort atau Jabatan Taman Laut di kawasan pantai yang sesuai," katanya.