LAMBAKAN pekerja asing khususnya bagi memenuhi keperluan sektor pembinaan, pembuatan, perkhidmatan dan pembantu rumah diakui penting bagi melicinkan operasi ekonomi di negara ini. Bagaimanapun harus diakui kehadiran mereka dalam jumlah yang besar menimbulkan pelbagai keresahan di kalangan rakyat tempatan khususnya berhubung isi keselamatan dan sosial. Namun pasa masa yang sama, isu kebajikan dan layanan terhadap pekerja asing juga sering menjadi topik hangat yang adakalanya boleh menjejaskan hubungan diplomatik dua hala. Menyedari hakikat itu, Yayasan Rights iaitu sebuah organisasi yang memperjuangkan prinsip tadbir urus yang baik, hak asasi manusia dan keadilan sosial di rantau Asean mengambil inisiatif untuk mempromosikan konsep 'manusiawi' dalam isu pekerja asing. Melihat isu pekerja asing perlu ditangani dengan berhemah, Yayasan Rights yakin aspek kebajikan pekerja merupakan asas paling penting dalam mewujudkan situasi 'menang-menang' antara negara tuan rumah dan negara pengeluar tenaga kerja. Pengasas Yayasan Rights, Yusmadi Yusoff berkata, dasar pekerja asing di kalangan anggota negara Asean khususnya di Malaysia perlu diubah dalam usaha mewujudkan suasana kerja yang baik dan selesa. Sehubungan itu katanya, yayasan pimpinannya yakin penukaran istilah 'perkerja asing' kepada 'pekerja tamu' merupakan permulaan kepada usaha memulihkan pandangan orang ramai kepada tenaga kerja import itu. Yusmadi Yusoff "Istilah pekerja tamu berupaya memberi impak psikologi yang besar kepada orang ramai. Apatah lagi di Asean khususnya Malaysia, istilah yang lebih mesra itu boleh mengubah persepsi majikan terhadap pekerja asing. "Ia juga pada masa sama boleh mengelakkan wujudnya eksploitasi terhadap perkerja asing," katanya kepada mStar Online baru-baru ini. Tambah peguam yang banyak memperjuangkan tentang hak asasi manusia itu, pekerja asing berhak menerima layanan yang baik oleh majikan khususnya berhubung isu kebajikan mereka. Pekerja warga asing memperjuangkan hak mereka kerana tidak berpuas hati dengan layanan majikan. Menurut Yusmadi, selaras dengan peranan Malaysia sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak Asean (Asean Summit) 2015 serta penubuhan Komuniti Ekonomi Asean, usaha akan terus dilakukan untuk mempromosikan konsep 'pekerja tamu' di kalangan ketua-ketua negara anggotanya. "Kami harap inisiatif ini akan diterima baik oleh pemimpin Asean. Malah Yayasan Rights yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sering memperkatakan tentang pentadbiran berorientasikan rakyat juga akan bersetuju dengan konsep ini," katanya. Selain itu, Yusmadi yang juga bekas Ahli Parlimen Balik Pulau berkata, konsep 'pekerja tamu' juga pada masa yang sama dapat mengekalkan dasar dan hubungan serantau yang baik. Ia dapat dibuktikan apabila usaha Yayasan Rights berhubung isu pekerja asing khususnya antara Malaysia-Indonesia turut menerima sokongan tokoh pejuang hak asasi Indonesia, Ifdhal Kasim. Pastinya ia diterima negara jiran itu, lebih-lebih lagi dengan hadiran lebih dua juta rakyatnya mencari rezeki di tanah air ini. "Rakan kita di Indonesia juga bersetuju dengan konsep ini, pengenalan kepada konsep pekerja tamu dilihat sebagai fasa baharu kepada isu pekerja asing antara kedua-dua negara," katanya. Menerusi pelbagai usaha yang dirangka, Yayasan Rights berharap isu penderaan serta eksploitasi terhadap pekerja asing yang menjejaskan hubungan dua hala dapat diselesaikan segera. Malahan, penerapan istilah pekerja tamu dan mengetepikan panggilan pekerja asing yang menjadi budaya selama ini, tentu sekali keakraban dan persefahaman akan lebih kukuh bukan sahaja antara Malaysia dengan Indonesia, tetapi juga negara sumber lain untuk tempoh jangka panjang.