suria

K-Pop Bukan Sekadar 'Lelaki Jambu'

Kumpulan Big Bang antara kumpulan K-Pop yang menjadi kegilaan ramai peminat di seluruh dunia.

SATU hakikat yang harus diterima, tindakan tiga gadis memeluk dan mencium anggota kumpulan B1A4 secara tak langsung telah mempromosi dan mengangkat lagi populariti K-Pop yang dibawa dari Korea Selatan ke negara ini.

Biarpun tindakan itu tidak putus-putus menerima kritikan dan kecaman  pelbagai pihak, ia sedikit pun tidak melunturkan minat dan kegilaan peminat hiburan genre ini di Malaysia, yang kebanyakannya terdiri daripada golongan gadis.

Nyata, fenomena K-Pop yang pada mulanya melanda Korea telah merebak ke Malaysia, menyuntik 'virus luar biasa' khususnya ke dalam diri peminat-peminat mereka di sini.

Menyedari besarnya pengaruh K-Pop di sini, mStar Online cuba menyelami pandangan dan perasaan mereka terhadap selebriti yang begitu diminati ramai hingga terdorong untuk melakukan sesuatu pada tahap yang boleh disifatkan keterlaluan.

Seorang peminat K-Pop yang hanya mahu dikenali sebagai Farah mengakui agak sukar untuk menyatakan dengan jelas mengapa K-Pop menjadi kegilaan ramai.

Katanya, K-Pop mempunyai banyak cabang, bukan sekadar irama dan artisnya sahaja, tetapi merangkumi gaya hidup, tarian, fesyen, termasuklah kisah realiti hidup artisnya yang dirasakan menjadi salah satu faktor mengapa K-Pop dapat diterima ramai dan dekat dengan dengan peminat.

"K-Pop bukan semata-mata lelaki jambu. Hanya mereka yang minat K-Pop dan mengikuti perkembangannya sahaja yang dapat memahaminya dengan jelas.

"Ada yang fanatik K-Pop sebab lelakinya comel dan kacak, tapi saya lebih menjurus kepada muzik dan tariannya," katanya kepada mStar Online.

Meminati kumpulan Big Bang sejak awal kemunculannya, katanya bukan lagi rahsia adanya ramai peminat fanatik K-Pop di Malaysia, terutama yang berbangsa Melayu dan Cina.

Beliau berpandangan, karektor dan kejujuran lelaki dari Korea, khususnya yang terlibat dengan K-Pop dalam berkarya dan menghargai peminatnya juga menyebabkan mereka mampu menawan hati peminat.

"Di kalangan peminat, mereka sering bertukar-tukar informasi atau perkembangan artis K-Pop sesama sendiri, berbincang tentangnya, malah ada juga yang berlumba-lumba mendapatkan perkembangan terkini artis kesayangan mereka itu," katanya.

Tidak terkecuali, ada yang menyimpan angan-angan untuk berkahwin dengan artis-artis kesayangan mereka.

Tambahnya, adalah perkara biasa apabila peminat artis K-Pop mengikuti perkembangan artis kesayangannya setiap hari, dan beliau percaya di Malaysia, ia masih terkawal dan dilakukan sekadar 'suka-suka'.

"Saya tak pasti sama ada saya fanatik atau tak. Apa yang saya tahu, memang ramai peminat yang obses dengan K-Pop, mereka tahu serba-serbi, apa sahaja tentang artis-artis dan perkembangan K-Pop.

"Saya memang minat tapi masih realistik, tak sampai tahap berangan nak kahwin dengan lelaki K-Pop.

"Tapi ada ciri-ciri lelaki K-Pop termasuk dalam lelaki idaman saya iaitu yang nampak macam lelaki Cina dan yang comel-comel, dan saya berharap jodoh saya dengan lelaki yang ada ciri seperti itu," katanya.

Kerana minatnya itu juga, dia dan beberapa rakannya telah beberapa kali terbang ke Korea untuk bercuti dan jika ada rezeki, dapatlah mereka bertemu artis-artis yang diminati.

Farah memberi pandangan, terbang ke Korea hanya kerana terpengaruh dengan K-Pop atau drama-drama Korea tidak boleh lagi dianggap sebagai kegilaan kerana terlalu ramai yang sudah berbuat demikian.

"Artis-artis di sana suka buka kafe, jadi kami lepak di situ selepas pergi ke pejabat pengurusan salah seorang artis K-Pop untuk beli cenderamata. Tak disangka-sangka salah seorang artis yang saya minat lalu di depan kami.

"Walaupun saya minat sangat dengannya, tapi pada waktu itu apa yang saya boleh lakukan hanya sekadar memandang wajahnya, saya terkejut dan terpegun, tak bergambar pun dengannya," katanya.

Walaupun amat meminati K-Pop, Farah bagaimanapun tidak bersetuju dengan perlakuan beberapa gadis yang bertindak di luar batasan ketika berlangsungnya konsert baru-baru ini.

Pada masa sama, beliau meminta masyarakat dan pihak kerajaan supaya tidak mengaitkan perlakuan sumbang itu dengan jutaan peminat K-Pop lain di negara ini yang menjaga adab ketika menonton artis pujaan mereka beraksi.

Bersin Pun Nampak Comel

Lain pula cerita Faiezan Salleh apabila mengakui kegilaannya terhadap artis K-Pop, tetapi bukan terhadap artis K-Pop lelaki kerana pada pandangannya tidak mempunyai ciri-ciri lelaki sejati.

Sebaliknya, wanita berusia 30 tahun yang bertugas sebagai pakar sistem bahagian Sumber Manusia di sebuah syarikat di Bangsar ini obses terhadap kumpulan K-Pop yang anggotanya terdiri daripada gadis-gadis Korea yang menamakan kumpulan mereka sebagai Girls Generation.

Girls' Generation

Beliau menyifatkan artis yang diminatinya ini sebagai comel dan gila-gila.

"Punyalah minat, kalau mereka bersin pun nampak comel. Suara penyanyi utamanya tersangatlah merdu.

"Setiap hari saya pasti akan tengok video mereka di YouTube dan dengar lagu-lagu mereka," katanya.

Gambar kenangan Faiezan ketika melancong ke Korea.

Katanya, seorang rakannya telah memperkenalkan kumpulan ini ketika dia bosan menunggu seseorang dan sejak itu dia 'jatuh cinta' dengan gelagat sembilan anggotanya dan lagu-lagu yang disampaikan.

"Mula-mula saya nampak mereka semua hampir sama, tapi bila sudah kenal, tengok kaki mereka pun saya sudah tahu siapa.

"Saya juga tahu tarikh lahir mereka, nama dan latar belakang keluarga mereka...apa yang mereka cakap di YouTube pun saya boleh hafal hampir kesemuanya," katanya yang turut mempunyai CD kumpulan ini.

Sudah beberapa kali berkunjung ke Korea, Faiezan bagaimanapun tidak berhasrat untuk bertemu dengan kumpulan yang diminatinya ini kerana beliau mempunyai alasannya sendiri.

"Saya tak mahu jumpa mereka sebab takut bila sudah jumpa, mereka sebenarnya sombong, tak seperti yang saya tengok dalam video.

"Mesti lepas jumpa nanti saya minat mereka 'gila-gila', lebih baik minat macam ni saja tak payah jumpa," katanya.

Kekasih Lelaki Korea

Bagi pekerja bank yang hanya mahu dikenali sebagai Sha, tidak disangka-sangka, bermula daripada suka melihat gelagat lelaki-lelaki Korea akhirnya membawa kepada pertemuannya dengan kekasihnya yang berasal dari negara itu.

Berusia 29 tahun, wanita yang berkerja di salah sebuah bank di ibu kota ini berkata, beliau sering mengimpikan seorang kekasih yang romantik dan kelakar seperti yang dilihat di internet atau televisyen dan kini impiannya sudah menjadi kenyataan.

"Itulah bezanya lelaki Korea dan lelaki Melayu.

"Saya pernah ada teman lelaki Melayu dan saya dapat katakan mereka (lelaki Korea) lebih lembut, romantik, kelakar dan berfikiran terbuka," katanya.

Sha berkenalan dengan teman lelakinya yang sedang bertugas sebagai akauntan di Singapura melalui media sosial dan mereka sering bertemu.

"Kami masih mengenali hati budi dan setakat ini saya senang dengannya.

"Wajahnya, bagi saya 'boleh tahan' sebab saya memang suka tengok lelaki Korea dan dia sangat menghormati perempuan, itu yang paling utama sebenarnya, bukan sebab dia lelaki K-Pop atau sebagainya," katanya.

Malahan, buat pertama kali, beliau akan pergi ke Korea bersama teman lelakinya itu pada cuti Tahun Baru Cina tahun ini.


K-Pop, Korea Selatan, B1A4, obses

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain