suria

Little Caliphs Semai Amalan Cintai Islam

SUDAH menjadi tanggungjawab setiap ibu bapa untuk mendidik anak-anak terutama hal-hal berkaitan agama sebagai bekalan hidup dengan amalan dan akhlak yang disegani.

Bagaimanapun, perubahan zaman mendorong pihak lain untuk turut sama melaksanakan tugas penting itu pada usia awal kanak-kanak.

Walaupun ia sesuatu yang tidak mudah, terutama pada usia seawal empat tahun, namun ada pihak yang mencabar keupayaan diri untuk memastikan anak-anak itu mula memahami agama dan seterusnya mempraktikkan amalan murni itu.

Namun, inisiatif yang dijalankan The Little Caliphs Program ini adalah langkah yang bijak dalam memupuk semangat cintakan Islam.

Pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Litte Caliphs International Sdn Bhd, Roslan Nordin dan pengasas bersama yang juga isterinya, Sabariah Jamaluddin berkata, pada mulanya mereka berhasrat untuk buka tadika yang berkonsepkan islamik.

"Hasrat kami tercapai selepas membuka tadika di rumah sendiri di Seksyen 7, Shah Alam pada 2003," kata Sabariah yang juga Ketua Pegawai Akademik Little Caliphs International Sdn Bhd.

The Little Caliphs Program menawarkan tujuh modul pembelajaran yang berkesan dan senang difahami bagi kanak-kanak seawal usia empat tahun.

Antara modul-modul itu ialah Pendidikan Islam, Teknik Membaca, Kosa Kata, Kemahiran Bahasa Inggeris, Matematik, dan juga Sains.

"Di sini, kami terapkan kaedah pembelajaran yang berlandaskan Islam," ujar pasangan usahawan berusia 51 tahun ini.

The Little Caliphs Program ini mula mendapat sambutan ramai ibu bapa setelah melihat kejayaan anak mereka dalam akademik dan juga agama.

"Saya terima banyak respon positif daripada ibu bapa yang lihat perubahan anak mereka selepas dihantar ke tadika ini.

"Mereka tidak sangka anak-anak mereka mampu untuk membaca dan mengaji dengan lancar. Ada juga sudah pandai bersolat tanpa disuruh," katanya sambil menambah pihaknya berhasrat memperluaskan operasi ke negara jiran, Indonesia tahun depan.

Program yang diterapkan di lebih 260 cawangan tadikanya di seluruh negara sebagai persediaan awal untuk melatih kanak-kanak mempraktikkan pendidikan Islam dalam kehidupan harian.




Artikel Berikut

Artikel Lain