PETALING JAYA: Universiti Putra Malaysia (UPM) terus menjadi peneraju pendidikan pertanian negara apabila bakal melahirkan seramai 6,944 graduan baharu pada istiadat konvokesyennya bermula Sabtu ini. Daripada jumlah itu seramai 465 bakal menerima ijazah doktor falsafah (PhD), 1,815 penerima ijazah sarjana, ijazah sarjana muda (4,234) dan diploma (430). Konvokesyen yang bertemakan ‘Mendepani Pertanian’ sesuai dengan status dan pencapaian cemerlang UPM dalam melonjakkan bidang pertanian negara akan berlangsung bermula 31 Oktober hingga 3 November depan. Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan berkata, sejak awal penubuhannya pada Mei 1931, universiti itu menerima pelbagai pengiktirafan termasuk di peringkat antarabangsa. Terbaharu, UPM memperbaharui kedudukannya apabila subjek Sains Pertanian disenaraikan pada ranking ke-45 terbaik dunia dalam Best Global Universities Ranking 2016 yang dikeluarkan oleh U.S.News & World Report pada awal bulan lalu. Kedudukan penarafan subjek Sains Pertanian itu meningkat sembilan anak tangga kepada berbanding kedudukan ke-54 di dunia pada 2014. "Komitmen, semangat dan dedikasi komuniti UPM dalam memperkasakan bidang pertanian telah diiktiraf oleh penarafan global dan sekali gus membuktikan kebitaraan UPM dalam bidang Sains Pertanian. "Kami berasa bangga atas pencapaian cemerlang ini kerana kesungguhan dan komitmen memartabatkan ilmu bidang tersebut meletakkan universiti kami antara terbaik di dunia,” katanya.