MANA mungkin dapat dirawat lagi ‘parut’ dan ‘kesan luka’ Gunung Kinabalu akibat gempa bumi 5.9 skala Richter yang menggegarkan daerah Ranau 5 Jun lalu. Tidak hanya hilang seri, seluruh warga Sabah terutama masyarakat di kaki gunung turut bersedih dengan tragedi alam itu. Mereka bagai merasai ‘kesakitan’ gunung kebanggaan mereka yang telah ‘memuntahkan’ bongkah dan serpihan batu, tanpa ada siapa atau kudrat manusia yang dapat menahannya. Jika mereka yang pernah menakluk Kinabalu sedih melihat ikon gunung ‘Donkey’s Ear’ cacat, pilu lagi malim gunung dan porter yang sering berulang-alik ke gunung itu yang boleh diibaratkan sebagai pejabat mereka. Andai ada yang tersentuh hati melihat satu lagi ikon, 'Tunku Abdul Rahman Peak' telah lompong, sebak lagi penduduk sekitar gunung yang setiap pagi akan menguak jendela dan mengucapkan ‘selamat pagi’ kepada Kinabalu sebelum memulakan rutin harian mereka. Kesan runtuhan di Tunku Abdul Rahman Peak. 5 Disember ini, genap enam bulan tragedi itu meninggalkan kita. Pengurusan Taman-Taman Sabah (TTS) tidak hanya berdiam diri, malim gunung tidak berterusan meratapi tragedi itu. Pasukan yang terlibat dalam pembinaan trail baharu ke puncak Kinabalu. Setelah membuat kajian terperinci, trail baharu segera dibina pada September dan bermula 1 Disember lalu, Kinabalu kini dibuka semula untuk aktiviti pendakian dan tetamu pencinta alamnya. Pulih Semangat Dan Positif Pembukaan semula Gunung Kinabalu dengan trail baharu (trail Ranau) untuk ke puncak telah membantu memulihkan semangat komuniti Kinabalu. Trail lama bermula dari Gunting Lagadan sudah tidak boleh digunakan akibat gempa bumi. Mereka mula sedar parut Kinabalu akan kekal, tetapi sekurang-kurangnya mereka masih boleh tersenyum kerana ia masih di situ. Mana-mana penduduk yang terjejas pendapatan susulan gempa bumi, terutamanya malim gunung dan porter kebanyakannya sudah dapat mencari rezeki seperti biasa. Situasi ini dapat dilihat ketika penulis ditugaskan membuat liputan pembukaan trail baharu yang telah siap dibina dan diberi peluang menjadi salah seorang pendaki kumpulan pertama menggunakan laluan ini. Syukur, kami berjaya! Kejayaan menawan puncak Kinabalu membuatkan penulis terdetik bahawa ia tidak harus dilihat sebagai kejayaan semata-mata. Ia perlu dilihat lebih dari itu, dari sudut pandangan yang lebih luas! Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun (dua, kiri) bergambar bersama malim gunung dan porter ketika merasmikan trail baharu ke puncak Kinabalu 1 Disember lalu. Turut serta dalam pendakian pertama itu adalah pendaki Everest solo pertama negara T.Ravichandran (kanan). Mahu atau tidak, apa yang telah berlaku wajar dilihat dari sudut yang amat positif, atau bagi mereka yang beragama Islam sebagai satu hikmah dan pengajaran. Tidak dinafikan sukar menerima hakikat tragedi gempa bumi telah menjejaskan Gunung Kinabalu, tetapi perlu disedari secara tak langsung ia telah memberi rahmat dan manfaat kepada banyak pihak, terutamanya malim gunung dan porter selaku orang yang paling dekat dengan gunung. Dan, merekalah orang yang paling gembira dan teruja apabila Kinabalu dibuka semula! Malim dan ‘Teksi Gunung' Berbicara tentang malim gunung, tidak lengkap jika penulis tidak berkongsi pengalaman menaiki ‘teksi gunung’, satu pengalaman yang tidak akan dilupakan penulis sampai bila-bila. ‘Teksi gunung' ini dinaiki apabila kaki penulis tercedera ketika menuruni puncak Kinabalu. Malang sedikit kerana ubat dan suntikan kecemasan tidak banyak membantu penulis. Di puncak gunung yang maha luas permukaannya dan manusia menjadi begitu kerdil, siapa lagi yang boleh diharapkan untuk membantu penulis yang cedera dan tidak dapat berjalan, kalau bukan malim gunung. Dari sinilah penulis bertemu dengan Zainuddin Mahali atau Jingkung, yang rela hati mendukung dan membawa turun penulis melalui laluan berbatu curam menggunakan tali. Melihat penulis berjalan terhencot-hencot, setapak demi setapak Jingkung bimbang angin bertiup lebih kencang dan suhu menurun mendadak, lantas dia terus menawarkan khidmat ‘teksi gunungnya’, yang digerakkan dengan otot-ototnya, bukan dengan enjin. Penulis ketika didukung Jingkung. Selesai laluan batu curam, penulis sekali berasa serba salah dan serba tak kena apabila Jingkung dengan sukarela mahu membantu mendukung penulis, kali ini menuruni tangga yang juga curam pula. Jasa baik malim gunung tidak akan dilupakan oleh penulis dan mana-mana pendaki. “Tak apa, saya anggap ini khidmat saya kepada pendaki. Lagipun saya agak lama tak mendaki sejak gempa bumi, jadi saya anggap ini satu training untuk masuk kerja semula. "Kamu jangan bimbang, pegang saya kuat-kuat, pastikan kamu selesa. Saya bawa kamu perlahan-lahan, kalau saya letih kita berehat, yang penting selamat sampai,” kata-kata Jingkung masih terngiang-ngiang di telinga penulis apabila penulis meminta maaf berulang kali kerana terpaksa menyusahkan dirinya. Pengiktirafan setimpal Kini barulah penulis sedar mengapa malim gunung yang selama ini dianggap memegang peranan amat kecil di sebalik kebesaran gunung itu perlu diiktiraf. Penulis ada membaca kisah mereka yang sanggup bergadai nyawa menyelamatkan nyawa mangsa gempa bumi yang masih hidup ketika kejadian tempoh hari, tetapi emosinya sudah tentu tidak sama dengan pengalaman sendiri. Itu belum lagi cerita tentang malim gunung yang sabar melayan kerenah pendaki, sering memberi semangat kepada pendaki yang berputus asa dan tidak lokek berkongsi tip pendakian. Hakikatnya si malim gunung telah menjadi orang paling penting untuk tugas mencari dan menyelamat mangsa serta membawa turun mangsa ke kaki bukit dalam kejadian sama, sekali gus pengorbanan mereka ini telah membuka mata pihak berkuasa tentang pentingnya mereka ini dihargai dan diberi tambah nilai. Dan kini, selepas gempa pada Jun, malim Gunung Kinabalu bukan lagi ‘wira tak didendang’. Mereka kini secara rasmi menjadi sebahagian daripada Gunung Kinabalu. Jadual kerja mereka lebih sistematik. Akan ada hasil setimpal untuk setiap khidmat dan keringat yang mereka curahkan. Berkuatkuasa 1 Disember 2015, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun telah mengumumkan kadar baharu untuk khidmat malim gunung. Datuk Seri Masidi Manjun (empat, kiri) ketika mengumumkan kadar baharu untuk perkhidmatan malim gunung. Turut hadir Pengarah TTS Dr Jamili Nais (dua, kanan). Kebajikan mereka juga terjamin. Tiada lagi istilah ‘mati katak’ jika berlaku kemalangan atau perkara tak diingini ketika mereka sedang bertugas. Mereka kini dilindungi insurans sepanjang tahun, itulah jaminan yang diberi TTS. Tiada cabaran, tiada ganjaran! Kinabalu dengan trail baharu juga telah meluaskan lagi pandangan dan pemandangan pendaki. Diakui sendiri ia lebih mencabar dan jauh jaraknya berbanding trail lama oleh Pengarah TTS Dr Jamili Nais, namun penat lelah pendaki ‘akan dibayar’ dengan panorama memukau yang belum pernah dilihat mana-mana manusia atau pendaki sebelum trail baharu ini dibina. Tinggalkan seketika tentang pemandangan indah yang dapat dinikmati pendaki sepanjang pendakian enam kilometer bermula dari Timpohon Gate ke Laban Rata yang masih menggunakan trail lama. Keindahannya sudah pun diketahui ramai dan tidak dapat dipertikai. Pemandangan indah sebelum tiba di Laban Rata. Apa yang perlu diketahui mereka yang sedang berkira-kira mahu menawan puncak Kinabalu selepas ini adalah pemandangan di sepanjang laluan baharu iaitu di KM6.5 hingga KM7, bermula dari Laban Rata ke Sayat-Sayat. Foto FB Sharween AS Sebagai pendaki tidak profesional tetapi menjadi pendaki terawal yang mencuba trail ini, penulis yang memulakan pendakian pukul 2.30 pagi selepas bermalam di Laban Rata (KM6) mengakui ia begitu sukar dihadapi. Dalam suasana gelap, penulis terpaksa 'bergelut' dengan trail yang tinggi dan curam sebelum sampai ke puncak, ditambah lagi dengan kekurangan oksigen, cuaca sejuk dan angin kuat yang tidak pernah dirasai di mana-mana tempat sebelum ini. Hanya semangat dan kata-kata motivasi ahli keluarga dan rakan-rakan yang berjaya membawa penulis ke puncak. Namun, saat 'dicabar' oleh trail itu sebelum sampai ke puncak, sesekali sempat juga penulis memandang ke bawah dan ketika itu dapat dilihat lampu-lampu sekecil semut menghiasi alam. Foto: Harian Metro Keinginan untuk sampai ke puncak lebih dirasai saat melihat langit berwarna merah-kekuningan saat matahari terbit. Tidak lama selepas itu cuaca beransur terang, dan gugusan awan pula dapat dilihat. Keindahannya sukar diungkapkan! Dari trail ini, jika cuaca baik, pendaki akan dapat melihat pekan Kundasang, pekan Ranau dan Kota Kinabalu dengan jelas semasa perjalanan turun kerana pada waktu itu hari sudah cerah. Di sebalik keterujaan melihat pemandangan indah ketika mendaki dan semasa turun, satu perkara yang cukup membuatkan hati tersentuh apabila penulis melihat kesan runtuhan akibat gempa bumi. Bongkah batu sebesar rumah dan kereta dapat dilihat, begitu juga serpihan batuan yang jatuh bergolek. Melewati kawasan itu, semua pendaki kelihatan sayu dan sebak tanpa dapat mengungkapkan sebarang kata. Masing-masing diam, barangkali membayangkan bagaimana keadaan ketika berlakunya runtuhan dahsyat itu. Kini dapat dikatakan segala-galanya telah pulih seperti sediakala. Malim dan porter telah dilindungi dan boleh mencari rezeki seperti biasa. Pendaki yang turun dari puncak akan membawa turun satu kepuasan dan pengalaman baharu. Dan yang pasti, kerajaan juga akan mendapat manfaat daripada pembukaan semula kawasan pertama yang diangkat sebagai kawasan warisan dunia di Malaysia ini dengan kemasukan pelancong dari dalam dan luar negara.