SEBUAH dokumentari terbitan syarikat penerbitan tempatan sempena Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2014 yang memaparkan sukan sebagai jambatan perpaduan antara agama dicalonkan untuk anugerah antarabangsa - Sport Media Pearl Awards. Dokumentari bertajuk "Salam Dari Brazil" atau "Peace From Brazil" itu bersaing dengan sembilan dokumentari lain dalam kategori itu yang dihasilkan penerbit seluruh dunia. "Salam Dari Brazil" diterbitkan pengulas sukan, Jasni Shafie melalui syarikatnya RESB Studio yang memaparkan bagaimana masyarakat Islam minoriti di Brazil telah menjadikan Kejohanan Bolasepak Piala Dunia FIFA 2014 untuk mendekatkan masyarakat dari kalangan agama lain untuk mengenai Islam. Jasni yang merakamkan dokumentari itu ketika temasya Piala Dunia 2014 tidak menyangka hasil karyanya menarik perhatian juri untuk mencalonkannya sebagai finalis kategori dokumentari video. Sport Media Pearl Awards adalah anugerah tertinggi hasil karya sukan di peringkat antarabangsa anjuran bersama AIPS (International Sports Press Association) dan Abu Dhabi Media yang menilai lebih daripada 700 hasil karya dari seluruh dunia yang merangkumi kategori fotografi, web sukan, penulisan dan audio visual (TV). Dilancarkan di Muzium Louvre, Paris Mac lalu, Sport Media Pearl Awards adalah anugerah pertama di peringkat antarabangsa yang mengiktiraf hasil karya industri media sukan. Sebelum pengumuman mengenai senarai calon yang berjaya ke peringkat akhir anugerah ini telah melengkapkan jelajah promosinya di seluruh dunia ke empat benua, 14 negara dan 15 acara sukan utama dunia termasuk UEFA Champions League Final di Berlin, Special Olympics di Los Angeles dan European Games Baku. Jasni yang tidak menyangka karyanya mampu dipilih ke peringkat akhir kerana saingan adalah hebat dengan dokumentari yang dihasilkan syarikat atau stesyen TV terkemuka dunia seperti Australia Broadcasting Corporation (ABC) dari Australia, Peranchis dan Itali. Menceritakan mengenai "Salam Dari Brazil" yang ditayangkan di TV AlHijrah, kata Jasni, antara keistimewaan program itu yang menambat hati juri ialah dasar kesederhanaan yang ditonjolkan di mana ia telah membongkar bagaimana kehidupan segelintir kecil masyarakat Islam di Brazil yang jumlahnya tidak sampai 10,000 orang, tetapi telah bersama-sama memainkan peranan untuk menjayakan Piala Dunia 2014 di mana Brazil telah menjadi tuan rumah. Sembilan karya lain yang dipilih ke peringkat akhir ialah "Heysel" yang diterbitkan oleh Audisio Emanuela dari La Repubblica, Itali; "Sunakali" (Bhat Bhojraj, Good Neighbors, Nepal); "Expect the unexpected" oleh Carlin Brian, Volvo Ocean Race, Ireland; "Pitch Battle" oleh Goldberg Dan, Australian Broadcasting Corporation; "Il Luce" oleh Graur Dumitru, Dolce Sport TV, Romania; "Back to South Africa" oleh Pensivy Benoit, SuperSport France; "Doping – Top secret: The shadowy world of athletics" oleh Seppelt Hajo, ARD Germany; "The first jump" oleh Zhu He, China Central Television, China; "Baseball in Meru" oleh Wachira Geoffrey, Mediamax Network Limited, Kenya. Sembilan kategori dipertandingkan dan pemenang setiap kategori akan memenangi hadiah wang tunai ASD10,000 dan pemenang kedua dan ketiga menerima ASD5,000. Anugerah akan dilangsungkan di sebuah hotel mewah di Abu Dhabi dan dijangka disertai oleh beberapa personaliti sukan antarabangsa. "Saya berdoa dimurahkan rezeki untuk berada dalam tiga tempat teratas. Jika tidak berjaya, ia tidak akan mematahkan semangat kerana ini adalah pengiktirafan tertinggi peringkat dunia terhadap hasil karya dari Malaysia. Layak ke peringkat akhir pun sudah satu rahmat tidak terhingga," kata Jasni. Seramai 12 panel juri dipilih penganjur bersama iaitu AIPS dan Abu Dhabi Media. Mereka ialah Gianni Merlo, Presiden dan 11 tokoh profesional media antarabangsa termasuk legenda bolakeranjang NBA, Yao Ming. Juri-juri yang lain ialah President Persatuan Media Sukan Arab, Jamil Mohamed Abd Al-Qader;Ketua Sukan Global AFP; Vincent Amalvy; Ketua Pengarang Sukan De Telegraaf, Jaap de Groot; President of Damar Inc, Donna de Varona; Pengulas sukan saluran SuperSport, Mark Gleeson; President European Sport Media and penerbit majalah sukan Kicker, Rainer Holzschuh; Perunding IOC, Gary Kemper; Ketua Pengarang Berita Sukan Kyodo News, Shinsuke Kobayashi dan Koresponden olahraga dan Olympic The Daily Mail sejak 25 tahun lalu, Neil Wilson.