suria

Mampukah Umno Bertahan 70 Tahun Lagi?

KEMAMAN: Mampukah Umno kekal 70 tahun lagi untuk diwariskan kepada generasi akan datang atau hanya mengenang sejarah 70 tahun yang boleh hilang ditelan zaman.

Veteran Umno, Datuk Abu Bakar Ali berkata, mengekalkan apa yang telah ada tentunya sukar namun jika tidak diingatkan, parti ini boleh lenyap dan menghampakan nenek moyang yang telah bertungkus lumus membina dan mengukuhkannya.

Beliau yang berkecimpung dalam politik sejak 1970 berkata perjuangan Umno dahulu dan sekarang tentunya jauh berbeza namun semua pihak tidak boleh menidakkan bahawa pemimpin terdahulu telah berjuang habis-habisan bagi memastikan Umno dapat diwarisi seperti hari ini.

"Kita kena ingat perjuangan nenek moyang kita dari 1946, begitu tinggi semangat perjuangannya dan mereka berikrar pada masa itu untuk mewariskan perjuangan Umno ketika itu untuk anak cucu akan datang. 

"Kita takut 70 tahun dahulu nenek moyang kita tinggalkan dengan keadaan yang begitu baik dan Umno yang comel...tetapi bolehkah kita simpan perjuangan Umno ini dan kita wariskan pula kepada anak cucu kita 70 tahun akan datang?" katanya dalam nada sebak ketika wawancara eksklusif bersama Bernama sempena ulang tahun Umno ke-70 esok.

Abu Bakar, 70, yang pernah menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri Kemasik selama empat penggal bermula 1990 hingga 2008 berkata dahulu hubungan sesama anggota Umno begitu erat dan perpaduan yang utuh.

"Dulu perpaduan sangat kukuh sebab ketika itu masing-masing berjuang untuk mendapatkan kemudahan asas di kampung, sebab sekitar tahun 1966 hingga awal  70-an keadaan kampung masih kekurangan dari segi kemudahan asas, jadi mereka berjuang di peringkat cawangan dan bahagian untuk mendapatkan kemudahan asas hingga membuatkan Umno bertambah kuat.

Abu Bakar yang menganggap ulang tahun Umno kali ini sangat istimewa kerana seiring dengan usianya, berkata dahulu, dalam mesyuarat agung pemilihan cawangan dan bahagian, masing-masing akan menolak untuk menjadi anggota jawatankuasa tetapi kini ramai yang berebut untuk memegang jawatan kerana ada kepentingan diri.

Katanya, anggota Umno perlu kembali bangkit dari 'tidur yang lena' dan meneruskan perjuangan parti sebagaimana yang telah diwarisi dari nenek moyang dahulu.

Ditanya sama ada Umno akan kekal diwarisi dalam tempoh 70 tahun akan datang atau tidak, Abu Bakar berkata sekiranya Umno masih berada ditakuk sekarang dan tidak diubah ia agak sukar untuk dipertahankan.

"Kalau begini keadaannya, agak sukar...kita kena baiki, perbetulkan Umno hari ini supaya kita dapat mewariskan Umno ini kepada anak cucu kita akan datang kalau tidak...anak cucu kita akan merempat di tanah air sendiri sekiranya Umno hilang kuasa.

"Nak perbaiki Umno, pertama sekali perpaduan dan imej pemimpin Umno perlu dipulihkan, tolak ansur antara satu sama lain perlu ada, pemimpin perlu rapat dan berbakti kepada masyarakat supaya mereka kenal siapa Umno dan terhutang budi dengan Umno, ini cara yang terbaik," katanya.

Tambah Abu Bakar anggota Umno juga perlu bersatu dan membantu presiden parti untuk memberi keyakinan kepada rakyat dalam menangkis segala tohmahan tidak benar termasuk isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Inilah masanya untuk pemimpin di pelbagai peringkat termasuk cawangan, bahagian, negeri dan pusat memainkan peranan. Kita kena beri keyakinan kepada rakyat dengan menerangkan apa yang dilemparkan tak betul kerana mereka masih  ragu-ragu dan masih belum dapat penjelasan sebenar mengenai isu-isu yang sengaja ditimbulkan.

Beliau berkata perpaduan dalam kalangan anggota Umno amat penting  terutamanya di peringkat kepimpinan pusat dan negeri yang menjadi tunjang utama bagi pengukuhan parti. 

"Bersatu perlulah bermula dari atas (pucuk pimpinan), kalau atas tak bersatu macam mana bawah (rakyat) nak bersatu? Kalau nak mula dari bawah memang agak susah. Kalau rakyat tengok atas elok, mereka pun akan rasa lega," katanya.

Ditanya kedudukan Umno dalam pilihan raya akan datang, Abu Bakar berkata beliau yakin kedudukan Umno akan dapat dipulihkan sebelum pilihan raya ke-14 (PRU14).

"Bagaimanapun, jangan ada lagi perkara (konflik) lain yang berlaku di peringkat pusat selepas ini. Kalau ada perkara besar lagi berlaku di peringkat pusat, saya tak yakin dalam masa terdekat ia boleh diselesaikan sebab PRU14  dah tak lama lagi," katanya.

Abu Bakar berkata PRU14 akan menjadi PRU paling kritikal memandangkan pada PRU13 bilangan majoriti undian dan bilangan kerusi di pusat dan negeri dilihat terjejas.

"Kalau dulu di Terengganu, kita boleh menang 28 kerusi, orang yang sama juga mengundi. Kenapa sekarang 17? Itu bermakna pengundi lari, inilah masanya wakil rakyat dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung untuk menawan semula hati mereka.

Abu Bakar yang kini masih bergiat dalam politik dengan memegang jawatan Ketua Umno Cawangan Kerteh sejak 1986 berkata beliau berharap Umno akan bertambah kukuh dan keadaan akan kembali berubah seperti Umno dahulu.-- Bernama

Umno, Abu Bakar Ali

Artikel Sebelum

Artikel Lain