suria

Labu Sayong 'Kuale' Bakal Ke Persada Dunia

KUALA KANGSAR: Jika singgah ke Kuala Kangsar pasti tidak sah jika tidak membeli kraftangan kebanggaan Bandar Diraja ini iaitu labu sayong.

Labu sayong menjadi antara perusahaan kraf yang mendapat perhatian bukan hanya penduduk tempatan tetapi daripada masyarakat di seluruh negara selain daripada pelancong antarabangsa.

Lebih membanggakan, produk berkenaan mengalami revolusi seiring zaman dan dipelbagaikan dalam pelbagai bentuk tidak sebagai hanya bekas penyimpan air atau hiasan semata-mata.

Menurut Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi terdapat 128 pengusaha labu sayong di Kuala Kangsar yang berdaftar dengan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan) dan kira-kira 90 daripadanya adalah pengusaha aktif. 

"Mereka mengusahakan labu sayong sama ada secara bersendirian atau melalui koperasi yang telah kita bangunkan iaitu di Kampung Kepala Bendang, Sayong.

"Labu sayong yang diusahakan adalah bagi memenuhi permintaan sebagai cenderamata, kegunaan harian atau diimport ke luar negara," katanya kepada Bernama di sini.

Pengusaha tembikar labusayong Shahizol Alang Othman, 38, tekun mengukir corak ukiran bunga pada labu sayong di bengkelnya di Kampung Kuala Dal, Kuala Kangsar.

Bertitik-tolak daripada potensi produk tersebut yang dilihat akan mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi untuk rakyat setempat, kerajaan negeri telah pun mengadakan beberapa siri bengkel bagi menaik taraf tahap pemprosesan nilai estetika produk tersebut.

Katanya usaha itu bukan hanya bagi menerokai peluang untuk mengeksport produk tersebut ke luar negara, tetapi juga untuk mewujudkan satu pusat kecemerlangan untuk kraftangan labu sayong di persisiran Sayong sendiri. 

"Kerajaan negeri bersama agensi kerajaan seperti Sirim (Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia) dan Kraftangan sedang memohon untuk dana tersebut diluluskan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Katanya, melalui Kraftangan juga, terdapat pengusaha labu sayong yang diberi bantuan seperti peralatan mesin pembakar yang bernilai RM50,000 hingga RM200,000 untuk mereka yang agresif menghasilkan produk labu sayong. 

Sirim pula sedang mengadakan kajian dari segi kesihatan mengenai khasiat air yang disimpan di dalam labu sayong memandangkan ianya dibuat daripada tanah liat yang bermutu tinggi.

Seorang pengusaha, Shahizol Alang Othman yang telah 22 tahun mengusahakan labu sayong berkata sejak beliau mendapat bantuan mesin pembakar, pengeluaran produk meningkat sehingga 40 peratus sebulan berbanding sebelum ini.

Shahizol, 38, berasal dari Kampung Kepala Bendang berkata, beliau dapat menjual 100 hingga 200 biji labu sayong sebulan mengikut musim.

"Selain menghasilkan labu sayong sebagai cenderamata dan bekas menyimpan air, saya juga menghasilkannya dalam bentuk lampu tidur dan tabung serta perhiasan comel mengikut watak animasi," katanya. 

Shahizol yang mengusahakan labu sayong dibantu oleh isterinya kini mempunyai dua bengkel dan sebuah 'showroom' di Sayong dan Padang Rengas.

Beliau menjual produk labu sayongnya serendah RM1.20 hingga RM200 mengikut saiz dan jenis.

Shahizol yang mewarisi pembuatan labu sayong daripada neneknya berkata labu sayong yang bermutu tinggi adalah apabila dibakar pada suhu melebihi 1,000 darjah Celcius pada tempoh yang cukup.

"Bagi mengelak ia pecah dan tidak tahan lama, saya mengekalkan pembakaran pada suhu sesuai dalam tempoh yang sepatutnya, dengan bantuan 'oven' daripada Kraftangan, saya boleh membakar sehingga 70 biji labu sayong bersaiz sederhana pada satu-satu masa," katanya.

Katanya, pemilihan labu sayong berkualiti dan hasil pembuatan yang unik menjadi pilihan pembeli dan pelancong selain sebagai usaha bersaing dengan pengusaha yang semakin ramai.

Air yang disimpan di dalam labu sayong dikatakan lebih segar, sejuk serta enak diminum selain berkhasiat.-- Bernama


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain