BUKIT CHANDAN yang terkenal dengan Istana Iskandariah, Masjid Ubudiah dan pemandangan permai Sungai Perak bakal mempunyai tarikan terbaharu tidak lama lagi. Disenaraikan sebagai institusi keagamaan pertama di Malaysia yang menjadikan buluh sebagai tema, sebuah surau yang diperbuat 100 peratus daripada buluh bakal dibina di Chandan Puteri. Mendapat ilham dari seni bina di Yogjakarta, Indonesia, pengasas Islamic Green Village Jamaluddin Ahmad, 55, berkata dia mahu membawa idea itu ke Malaysia. "Saya kagum dengan apa yang saya lihat di sana. Saya fikir kita perlu ada seni bina seperti itu di sini. "Pada zaman dulu, jurubina Melayu Nusantara menggunakan buluh untuk membina tugu atau bangunan. "Kita mempunyai banyak buluh di Malaysia tapi untuk projek ini kami buat keputusan untuk mendapatkan buluh dari Indonesia," kata Jamaluddin. Pandangan dalam reka bentuk surau yang diperbuat daripada buluh. Pengurus projek Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, yang berada di kawasan projek untuk menjelaskan ciri-ciri rekaan surau itu berkata hanya lapan pekerja diperlukan untuk menyiapkan projek. "Mereka adalah pekerja mahir dari Yogjakarta. Selepas kami melawat sebuah kampung di Chandan Puteri, kami buat keputusan untuk membina satu lagi Islamic Green Village dan surau itu sebagai salah satu tarikan. "Kami membawa masuk dua kontena buluh dari Indonesia dan buluh itu terdiri dari buluh betung besar untuk struktur asas surau, buluh betung hitam dan buluh betung kecil untuk membina pelbagai bahagian lain surau" tambahnya. Katanya, jenis buluh betung dipilih untuk sebahagian besar struktur kerana ia boleh tahan lama dan jika surau dijaga dan diselenggara dengan baik, ia boleh bertahan sehingga 100 tahun. "Seorang arkitek dari Bali, Nugro Widhi Nugrohos berkata reka bentuk surau itu merangkumi ruang pengudaraan yang baik selain sumber pencahayaan semula jadi yang mencukupi. Hasnul Zulkarnain menunjukkan buluh yang digunakan untuk membuat bumbung. "Reka bentuknya kelihatan moden walaupun kita menggunakan buluh untuk binaannya," katanya. Dibina berdasarkan konsep Lima Bumbung Perak yang berasal dari Kepulauan Melayu, lebih 4,000 buluh digunakan untuk pembinaannya. Buluh jenis lain yang digunakan adalah 'buluh apus' untuk bumbung dan 'buluh wulung' untuk tiang-tiang di bahagian dalam surau. Skru nat dan bolt digunakan untuk mencantumkan buluh manakala lantai surau diperbuat daripada jubin seramik. Hasnul berkata kos projek itu sebanyak RM650,000 dan dijangka siap Oktober tahun ini. Surau itu akan mampu memuatkan 500 jemaah untuk setiap sesi solat. Pada mulanya, ia dibina untuk penduduk di Chandan Puteri tetapi Hasnul menjangkakan ia akan jadi tarikan pelancong di Kuala Kangsar sebaik projek siap. Hasnul berkata seni buluh adalah seni yang semakin dilupakan dan berharap projek ini dapat menimbulkan semula minat terhadap buluh dalam seni bina. "Saya harap kerajaan Malaysia dapat melihat potensinya. "Kita ada banyak sumber buluh di sini dan pasti menarik jika dapat melihat bangunan-bangunan berkonsep buluh di negara ini," katanya.