suria

Seni Atasi Trauma Perang

ARTIS, Diala Brisly mempunyai 'senjata' kuat di tangannya yang mampu mempengaruhi dunia, namun ia tidak dapat menyakiti sesiapa.

Senjatanya adalah warna.

Beberapa tahun lalu, Diala, 35, tinggal di Damsyik ketika dia mula melukis yang bertujuan untuk membantu kanak-kanak menghadapi trauma perang dan mengatasi kesedihan atas kehilangan ahli keluarga dalam konflik Syria.

Kini, wanita tersebut menetap di Beirut di mana dia menggunakan berus dan warna di dalam khemah pelarian Syria membantu mereka menangani hidup yang sukar dan rasa rindu untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Diala memulakan kerjaya seninya sebagai kartunis di saluran TV tempatan, Spacetoon pada 2001.

Wanita terbabit kemudiannya menyedari seni boleh menjadi 'alat berkuasa' untuk perubahan apabila protes antikerajaan tercetus di seluruh Syria.

"Pada 2011, saya bermula sebagai aktivis dalam sebuah gerakan untuk demokrasi. Pada mulanya, saya menyertai protes dan membuat hasil seni sebelum menyelaras bantuan kemanusiaan dan membekalkan peralatan perubatan kepada hospital yang berada di bawah kepungan," jelasnya.

Tidak lama selepas itu, seorang demi seorang rakan Diala mula diberkas dan dia mula bimbang akan menerima nasib yang sama.

"Ketika itu, saya sedar perlu melarikan diri dari Syria," katanya.

Imej yang dihasilkan adalah mudah difahami kanak-kanak.

Hasil seni terapi sebenar

Selepas melarikan diri ke Ankara, Diala berdepan masalah baharu untuk mendapatkan pekerjaan walaupun sebagai sukarelawan kemanusiaan.

"Saya berasa sangat bersalah kerana melarikan diri sedangkan penduduk Syria terpaksa hidup menderita, kebuluran dan sentiasa dihujani bom," menurutnya dalam nada kesal.

Pada suatu hari, Diala menerima panggilan telefon yang memaklumkan salah seorang ahli keluarganya terkorban di utara Syria.

Diala akhirnya membuat keputusan untuk berpindah ke Beirut pada 2014 dan memulakan hidup baharu menggunakan bakat seninya.

Di ibu negara Lubnan itu, wanita terbabit melibatkan dirinya dengan kumpulan kemanusiaan yang memberi fokus kepada hak asasi wanita dan pendidikan pelarian.

Dia turut melukis mural berkonsepkan 'mencari harapan' pada khemah pelarian sebagai usaha untuk membantu budak pelarian yang berdepan trauma perang.

Kesemua hasil seni Diala ada satu persamaan: imej tersebut adalah ringkas supaya ia lebih mudah difahami golongan budak terbabit.

"Bagi orang lain, ia mungkin kelihatan seperti lukisan biasa. Tetapi, bagi kanak-kanak pelarian tersebut, ia adalah satu terapi sebenar," katanya.

Sebagai contoh, Diala turut mengadakan kelas seni dengan budak pelarian Syria yang tidak mendapat akses sistem sekolah awam di Lubnan.

"Ada seorang kanak-kanak berusia 10 tahun dikenali sebagai Ahmed yang terpaksa bekerja sebagai mekanik untuk menyara keluarganya. Dia menyertai kelas melukis bersama saya selama dua minggu.

"Pada suatu hari, saya meminta nombor telefonnya. Gambar aplikasi WhatsApp budak itu adalah keranda dan statusnya: Anda akan merindui saya apabila saya sudah tiada," jelasnya yang terkejut dengan cara pemikiran kanak-kanak tersebut yang telah bercakap tentang kematian pada usianya.

Menurutnya, dia cuba memberi kata-kata semangat kepada budak itu untuk terus tabah walaupun berdepan pelbagai kesukaran selain turut memintanya menukar gambar dan status WhatsAppnya.

"Dia akur dengan permintaan saya dan kembali bersemangat untuk meneruskan kehidupan. Saya berasa usaha saya akhirnya berhasil," katanya.  

Budak pelarian Syria tiada akses ke sekolah

Menurut Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR), dianggarkan 500,000 budak seperti Ahmed terpaksa melarikan diri ke Lubnan sejak perang saudara tercetus di Syria.

Lebih separuh tidak mempunyai akses ke sekolah walaupun terdapat sesi persekolahan tambahan pada waktu tengah hari dalam usaha untuk menampung kebanjiran golongan terbabit.

Data Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia mendapati lebih 70 peratus keluarga pelarian di Beirut hidup di bawah garis kemiskinan hingga memaksa kanak-kanak bekerja untuk membantu menyara keluarga mereka.  

"Risiko terbesar untuk budak pelarian Syria di Lubnan adalah kekurangan pendidikan. Golongan ini adalah masa depan Syria yang dapat membina semula negara. Tetapi, negara apa yang kita impikan jika melihat kemusnahan kanak-kanak ini tanpa mengambil sebarang tindakan dan hanya berdiam diri," tegas Diala.  

Menurutnya, dia akan terus menggunakan lukisan untuk memberi harapan.

"Saya juga berhasrat untuk membantu kanak-kanak di seluruh dunia. Tetapi, impian terbesar saya adalah untuk terus membantu budak di Syria," katanya. - al-Jazeera

Diala, Damsyik

Artikel Sebelum

Naik Tong Dram Ronda Kampung

Artikel Berikut

Laluan 'Hitam' Gerik-Jeli

Artikel Lain