suria

Nostalgia Kenduri Kahwin Di Kampung

MENGHADIRI kenduri kahwin di rumah saudara di Bagan Datuk, Perak baru-baru ini, hati bagai dironta-ronta mengimbau betapa meriah dan seronoknya majlis perkahwinan di kampung dahulu, penuh dengan tradisi dan semangat gotong royong.

Namun suasana itu kini hanya tinggal kenangan. Menjelang tahun 1980-an, kemeriahan ini mula pupus.

Dahulu penduduk berganding bahu membuat persiapan untuk majlis, seperti mendirikan bangsal tetamu dan bangsal memasak, membaiki rumah, menghias rumah, membuat pelamin serta membuat kuih. Mereka bergotong royong memasak untuk sajian tetamu pada hari majlis berlangsung.

Majlis perkahwinan pula diadakan siang malam, sesuai untuk meraikan pasangan pengantin yang menjadi ‘raja sehari’.

Senario ini sudah tiada. Tiada lagi gotong royong untuk persiapan majlis atau masak memasak. Semua digantikan dengan khidmat perancang perkahwinan (wedding planner), penyedia makanan (caterer), pembekal kanopi, kerusi dan meja.

Majlis kenduri siang malam yang menjadi ciri unik perkahwinan di kampung juga sudah tiada, sebaliknya hanya beberapa jam di sebelah siang.

Gotong royong kenduri kahwin di kampung dahulu disusun dan diagih secara sistematik melalui mesyuarat. Beberapa jawatankuasa dibentuk sebagai pelaksana.

Antaranya, jawatankuasa persiapan, jawatankuasa masak memasak, pinjam meminjam barangan, `gejobos’ (penanggah) untuk hidang menghidang serta jawatankuasa menghias rumah, membuat pelamin dan membuat kuih.

Gerak kerja bermula sebulan sebelum majlis, sehinggalah hari berlangsung. Dalam tempoh waktu inilah kerja-kerja persiapan dijalankan. Misalnya mencari buluh besar (saiz buluh meriam) dan buluh kecil. Juga batang pinang, daun nipah dan bemban untuk membuat atap nipah. Kesemua ini diperlukan untuk mendirikan bangsal.

Selain itu perlu mencari batang kelapa untuk dipotong dan dijadikan gelegar lantai bangsal makan dan tungku memasak. Kayu api juga mula dicari, dibelah dan disimpan.

Setelah rangka bangsal didirikan menggunakan buluh, atap daun nipah dipasang sebagai bumbung, diikat bersusun satu persatu menggunakan tali guni. Bentuk bumbung bangsal ini adalah seperti huruf V terbalik melebar.

Atap nipah dibuat atau ‘disemat’ oleh mereka yang mahir sahaja. Batang pinang dipotong dan dibelah-belah kecil dengan ukuran tertentu untuk dijadikan kayu ‘mengkawan’ atau pemegang daun nipah. Daun dilipat satu persatu pada ‘mengkawan’ secara tersusun, diikat dengan tali bemban sehingga menjadi sekeping atap.

Tali bemban diperoleh dengan menyiat kulit bemban daripada batangnya. Kerja ini perlu dibuat berhati-hati. Jika tidak kulit putus waktu disiat dan tidak boleh dijadikan pengikat. Selain itu jika lalai, kulit yang disiat boleh melukakan tangan kerana ia tajam bagai sembilu.

Papan lantai bangsal diletakkan atas batang kelapa, kemudian dibentang tikar di atasnya. Para jemputan duduk bersila menikmati hidangan dalam bangsal, dilayan oleh penanggah.

Bangsal biasanya siap sepenuhnya dalam dua hingga tiga hari. Lebih besar bangsal bermakna lebih ramai tetamu boleh menjamu selera pada satu-satu masa. Biasanya ada bangsal berasingan untuk lelaki dan perempuan.

Kaum wanita juga tidak kurang sibuknya, membuat bunga telur, membuat pelamin, menghias bilik pengantin, serta membuat kuih muih kering. Kuih muih basah dibuat menjelang majlis perkahwinan.

Jawatankuasa masak memasak yang dianggotai lelaki dan wanita bertanggung jawab mempastikan pinggan mangkuk, periuk kuali, talam dan gelas serta keperluan lain lengkap sepenuhnya.

Kesemua ini boleh dipinjam daripada penduduk kampung atau kampung berhampiran. Malah ada kampung yang mempunyai syarikat sendiri di mana mereka berkongsi membeli barangan keperluan ini untuk digunakan bersama-sama.

Bunga telur


Barang-barang kering seperti beras, bawang, kentang, minyak sapi, kicap, halia, cili, gula, garam dan sebagainya dibeli lebih awal.

Barangan basah seperti daging, ayam, ikan, sayur dan santan dibeli menjelang hari majlis berlangsung. Bagi yang mampu, akan menumbangkan seekor lembu untuk kenduri. Semua kerja potong memotong daging, ayam dan sayur-sayuran dibuat beramai-ramai.

Jawatankuasa masak memasak juga ada petugas basuh membasuh. Segala pinggan mangkuk, talam, gelas yang telah digunakan dibasuh dan dilap untuk digunakan semula. Mereka juga mencuci periuk kuali selepas majlis berakhir.

Selain itu ada petugas untuk mengambil air bersih daripada paip air tepi jalan besar untuk kegunaan memasak dan membuat minuman. Tiada bekalan air paip ke kampung ketika itu.

Begitu juga, lampu ‘gasoline’ (gambar bawah)yang menggunakan minyak tanah perlu dipinjam untuk kegunaan pada waktu malam. Ketika itu belum ada bekalan letrik ke kampung.

Pada hari kenduri, suasana meriah terasa sejak pagi. Yang paling sibuk ialah para tukang masak, petugas menghidang dan penanggah. Nasi minyak dan nasi putih, lauk pauk dan minuman mesti segera disajikan kepada tetamu yang datang bertali arus mulai tengahari.

Tetamu pula akan mendapat bunga telur sebagai buah tangan. Ada juga tuan rumah menyediakan bungkusan kecil kuih muih kering sebagai tambahan. Tetamu juga tidak terus pulang selepas menjamu selera kerana menunggu pengantin bersanding.

Tiba waktu yang ditunggu, pengantin lelaki diarak dengan pukulan kompang sehingga ke halaman rumah di mana pengantin perempuan menunggu. Kedua-dua mempelai kemudian bersanding di halaman rumah, diserikan dengan pencak silat. Selepas itu, mereka diiring ke atas rumah untuk bersanding di atas pelamin.

Persandingan sebelah siang mengenakan pakaian tradisonal. Pengantin lelaki lengkap berpakaian Melayu, bertengkolok dan berkeris. Pengantin perempuan pula berbaju kurung atau kebaya.

Acara persandingan adalah kemuncak di siang hari. Tetamu kemudian beransur-ansur meninggalkan majlis. Namun mereka diingatkan datang lagi untuk majlis sebelah malam.

Sebaik senja berlabuh, lampu ‘gasoline’ mula dipasang di dalam dan sekeliling rumah. Lampu tersebut sangat terang cahayanya menerangi sekeliling.

Selepas pukul 8 malam, tetamu mula datang. Majlis sebelah malam tidak ada makan nasi, cuma kuih muih dan air minuman dihidangkan. Majlis ada kala diserikan dengan bermain kompang.

Namun yang paling ditunggu ialah persandingan kali kedua dengan berpakaian barat. Pengantin lelaki lengkap dengan kot dan tali leher sementara pengantin perempuan bergaun labuh. Persandingan biasanya dalam pukul 9.30 malam di pelamin atas rumah.

Ketika bersanding ini hadiah-hadiah daripada jemputan dikumpul di hadapan pelamin dan dibaca satu persatu daripada siapa. Seorang pengacara khas melakukan tugas ini. Banyak hadiah bererti lebih lama pengantin kena bersanding!

Jurugambar pula sibuk mengambil gambar. Ketika itu kamera menggunakan flash berbentuk mentol sebesar telur ayam. Sekali ambil gambar satu flash diguna. Flash ini tidak akan ditemui lagi sekarang.

Jamuan kemudian diedarkan untuk tetamu . Ada kuih kering dan ada kuih basah seperti koci atau wajik, dinikmati bersama air teh atau kopi.

Persandingan adalah kemuncak majlis sebelah malam. Itu juga sebagai kemuncak majlis kenduri yang bermula sejak siang. Menjelang tengah malam tetamu mula pulang. Tetapi ramai juga yang tidak balik. Mereka tidur di dalam bangsal sehinggalah pagi esoknya.

Inilah senario majlis perkahwinan di kampung yang kini tinggal kenangan. Semuanya sudah berubah dan beralih tangan. Tiada lagi kenduri siang malam, hanya beberapa jam di sebelah siang.

Tiada lagi persandingan cara barat kerana persandingan hanya sekali di sebelah siang. Tiada lagi gurau senda membuat pelamin atau menghias pengantin kerana ‘wedding planner’ sudah mengambil alih.

Tiada lagi gotong royong membuat bangsal kerana kanopi sewa sudah mengambil alih. Tiada lagi gotong royong masak memasak kerana penyedia makanan (caterer) sudah mengambil alih.

Tiada lagi keseronokan menyalakan lampu ‘gasoline’ dan mengambil air kerana bekala lekrtik dan air kini sudah ada di kampung-kampung.

Konsep gotong royong pada majlis kenduri kahwin dahulu menampakkan kerjasama padu penduduk kampung dan eratnya hubungan mereka. Ia juga sebagai hiburan dan keramaian, medan tempat penduduk berkumpul. Tambahan sumber hiburan seperti TV dan radio waktu itu amat terhad.

Peredaran masa menghakis ini semua, walaupun bukan bermakna ia menghakis semangat kerjasama penduduk kampung. Kini semua tinggal kenangan. Bagi yang pernah merasai majlis perkahwinan era dahulu, termasuk penulis, pasti akan sentiasa ingat betapa indahnya waktu itu. Ia akan tetap tersimpan dalam lipatan hati.

Artikel Sebelum

Kenali Gadis Melayu Pulau Jeju

Artikel Berikut

Artikel Lain