UMAT Islam di seantero dunia akan menyambut Ramadan esok. Apabila memasuki Ramadan, umat Islam yang cukup syaratnya diwajibkan untuk berpuasa selama sebulan. Perintah ini telah dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kamu bertakwa” (Surah al-Baqarah ayat 183). Imam Ibnu Katsir ketika mentafsirkan ayat ini mengatakan bahawa firman Allah SWT ini ditujukan kepada orang-orang yang beriman dari umat manusia dan ini merupakan perintah untuk melaksanakan ibadah puasa. Namun, persoalannya adakah kita sudah melakukan beberapa persediaan untuk menghadapi kedatangan bulan tersebut? Paling tidak terdapat empat persediaan yang dapat dilakukan bagi menggambarkan kegembiraan kita selaku umat Islam menyambut kehadiran Ramadan. Pertama, persiapan ruhiyah. Melalui persiapan ini, seseorang individu akan membersihkan hati daripada penyakit aqidah sehingga melahirkan niat yang ikhlas untuk menjalani ibadah puasa. Oleh kerana manusia tidak dapat lari daripada dosa dan kesalahan, maka diperintahkan untuk mereka yang telah melakukan dosa dan maksiat agar bertaubat kepada Allah SWT sebagaimana yang tercatat dalam al-Quran “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung” (Surah An Nur ayat 31). Antara kaedah yang boleh diamalkan untuk membersihkan hati adalah berusaha menghapuskan nafsu jahat seperti nafsu amarah, lawwamah dan menggantikannya dengan nafsu yang baik (mahmudah) seperti nafsu mutmainnah, rahiyah, mardhiyah dan kamilah. Apabila manusia menemui Ramadan dalam keadaan hatinya yang bersih, maka mudahlah untuk melakukan segala amal soleh secara optimum seperti memperbanyakkan bersedekah, membaca al-Quran, menghidupkan malam dengan beribadah, menuntut ilmu dan sentiasa berakhlak baik. Kedua, melalui persiapan fikriyah. Menuntut manusia agar membekali diri dengan ilmu agama yang berkait dengan puasa antaranya syarat dan rukun puasa, perkara-perkara yang membatalkan puasa, perkara-perkara yang disunatkan ketika berpuasa, kelebihan puasa Ramadan dan sebagainya. Ia dapat dilakukan dengan menghadiri majlis-majlis ilmu, membaca bahan-bahan ilmiah berkaitan puasa dan merujuk kepada mereka yang berautoriti untuk menjawab persoalan berkaitan ibadah puasa. Alasan seperti sibuk bekerja tidak lagi relevan pada masa kini kerana pelbagai medium dapat digunakan seperti siaran langsung di media sosial, elektronik dan cetak untuk mendalami ilmu agama. Amatlah rugi jika kita menyambut Ramadan tanpa mempunyai ilmu tentang kelebihan bulan tersebut yang menyebabkan kita mensia-siakan kelebihan yang terdapat sepanjang kewajipan puasa berlansung. Didiklah diri untuk mendalami ilmu agama agar ibadah puasa yang kita lakukan dengan penuh keyakinan sebagaimana pesanan Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis “Barang siapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan dan keampunan ALLAH SWT semata-mata, maka akan diampunkan segala dosa-dosanya yang telah lalu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Ketiga, persiapan jasadiyah. Seseorang individu Muslim juga haruslah menjaga kesihatan tubuh badan mereka dengan baik seperti bersenam, tidak mengambil makanan dalam kuantiti banyak serta sentiasa melakukan pemeriksaan kesihatan agar tubuh badan sentiasa aktif dan bertenaga sepanjang pesta ibadah Ramadan berlangsung. Rasulullah SAW bersabda: “Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah” (Riwayat Muslim). Persiapan yang terakhir adalah maliyah. Persiapan ini bukan hanya berkisar untuk menyediakan sejumlah peruntukan kewangan bagi membeli pakaian baharu dan kelengkapan menyambut hari lebaran, namun dengan merancang kewangan bagi memperuntukkan sejumlah dana bagi bersedekah, memberi makan kepada orang berbuka, memberi sumbangan bagi aktiviti Ramadan di masjid dan surau serta mengeluarkan zakat fitrah. Melalui ibadah puasa, kita secara tidak langsung akan merasai kelaparan yang kebiasaannya dirasai oleh mereka yang tidak berkemampuan. Itulah antara hikmah pensyariatan berpuasa, agar melatih manusia mengenangkan nasib saudara seagama yang hidup dalam serba kekurangan dan kedaifan. Selain itu, Islam juga mendidik umatnya agar tidak membazir dan bersifat boros semasa berbelanja. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan berikanlah kepada keluarga yang terdekat akan haknya kepada orang Muslim dan orang yang dalam perjalanan; dan janganlah kamu membelanjakan (hartamu) secara membazir (boros)”. Rumusannya, dengan terzahirnya keempat-empat persediaan ini bagi menghadapi kedatangan Ramadan, sedikit sebanyak akan melahirkan kegembiraan kepada diri kita untuk bertemu bulan yang terkandung di dalamnya keampunan, rahmat, kemurahan dan kasih sayang ALLAH SWT yang sama sekali tidak menyamai dengan bulan-bulan yang lain. Marilah kita berazam dan berdoa agar Ramadan yang bakal kita tempuhi nanti akan lebih baik daripada sebelumnya. * Penulis merupakan penuntut PhD Pengajian Islam (Syariah), Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia -SinarHarian