KULIM: Tibanya 1 Ramadan umat Islam akan mula menunaikan tanggungjawab rukun Islam yang ketiga iaitu berpuasa dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Perkara ini juga turut dilakukan seorang peniaga, Tan Khim Pheng, 52 yang tidak ketinggalan untuk bersama meneruskan aktiviti berpuasa di bulan Ramadan yang dilakukan sejak tiga tahun lalu. Menurutnya, aktiviti berpuasa dapat membantunya menjaga kesihatan dan mencabar diri menahan lapar serta dahaga seperti umat Islam lain. “Walaupun saya belum lagi seorang Muslim, namun setiap kali tiba Ramadan saya antara orang paling tidak sabar mahu berpuasa. “Saya telah lakukannya selama tiga tahun, sepanjang sebulan berpuasa hanya beberapa kali sahaja saya tidak dapat teruskan kerana beberapa faktor. “Saya dapat rasakan bila tak makan dan minum, badan akan jadi sihat walaupun sepanjang hari itu agak letih,” katanya kepada Sinar Harian. Pernah menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah itu pada tahun 2001, Khim Pheng berkata, walaupun tidak bersahur namun dia akan mengambil lebih nasi pada sebelah malam untuk bertahan sepanjang hari. “Saya tak bangun sahur. Tapi untuk pastikan saya bertahan saya makan waktu malam lebih sedikit,” katanya. Menurutnya, aktiviti berpuasa ini akan diteruskannya pada tahun akan datang kerana sudah menjadi kebiasaan. “Saya akan teruskan pada masa akan datang saya seronok bila berpuasa dan berjaya, bila tiba waktu berbuka ia seperti kemenangan pada diri,” katanya. Menurutnya, dia juga tidak akan menolak sekiranya rakan Islam lain mempelawanya berbuka bersama sepanjang Ramadan ini. “Selalu saya akan beli juadah berbuka di bazar Ramadan, tapi kalau ada kawan-kawan ajak berbuka sekali saya tak akan menolak, ia lebih menyeronokkan,” katanya.