1 Ani bina tak bina saja mendengar nasihat ibu.
2 Beberapa orang askar membena jambatan sementara ketika banjir berlaku.
Penggunaan kata bina dalam ayat 1 ternyata salah kerana bina bererti “membangunkan” atau “mendirikan”. Oleh itu, kata bina sesuai digunakan dalam ayat 2. Penggunaan kata bena dalam ayat 2 pula salah kerana bena bererti “acuh”, “peduli”, “endah”, “perhatian”. Jadi, kata bena sesuai digunakan dalam ayat 1 dengan pengertian “acuh tak acuh”. Makna kata bena yang lain ialah “ombak”, “pasang”, dan “banjir”.
Contoh lain bagaimana kedua-dua patah kata itu patut digunakan dengan betul adalah seperti yang berikut ini:
A
1 Janganlah berbuat tidak bena ketika menghadapi kesusahan.
2 Tidak patut kamu bersikap tidak bena terhadap orang tuamu.
3 Hatinya keras sekali; tidak dibenakannya amaran itu.
4 Perlu sangat kita mengambil bena kepada kepentingan orang lain.
5 Air bena menyebabkan beberapa perahu hanyut.
B
1 Tugas kita sekarang ialah membina suatu negara yang kukuh.
2 Jambatan yang dibina oleh orang kampung musnah dilanda banjir.
3 Pemuda pembina bangsa.
4 Pembinaan bangunan sekolah hampir selesai.
5 Binaan ahli-ahli seni bina Islam tinggi mutunya.
Sekarang perhatikanlah contoh-contoh lain penggunaan kata bena dan bina.
1 Semakin lama semakin banyak lebuh raya yang dibina.
2 Piramid dibina dengan mengorbankan entah berapa banyak jiwa.
3 Jika anda bersikap tidak bena terhadap kejadian sekeliling, akan jadilah anda seekor katak di bawah tempurung.
4 Bahan binaan selalu sahaja sukar didapat.
5 Sifat bena tak bena salah satu punca kegagalan dalam kehidupan.
> Ruangan ini diselenggarakan dengan kerjasama Ibu Pejabat Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur