SERAMAI 115,516 masyarakat Orang Asli telahpun divaksin menerusi Program Vaksinasi Kebangsaan dan mencapai jumlah sebanyak 67 peratus. Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, jumlah itu berdasarkan data terkini sehingga petang semalam. “Ada lagi yang belum mendapat vaksin ni dalam lebih kurang 56,000 jadi kita sedang berusaha dengan pelbagai caralah. ARTIKEL BERKAITAN: Lagi 16 juta dos vaksin bakal diterima, pendaftaran automatik antara komitmen kerajaan pastikan PICK berjaya - PM "Salah satu yang kita buat diperingkat kementerian ini adalah kita buat melalui outreach iaitu kita yang pergi cari, melalui Mara kita ada bas Mara Liner, kita tukar bas Mara Liner tu jadi macam PPV bergerak,” katanya pada sidang media selepas perasmian Hari Sukan Negara 2021 Peringkat Kementerian Pembangunan Luar Bandar pada Sabtu. Bagaimanapun, katanya, terdapat 56,639 Orang Asli yang masih belum divaksin disebabkan mereka tinggal di kawasan pedalaman dan bukan kerana menolak program tersebut “Mereka belum dapat vaksin, bukan menolak, sebab nak sampai mereka ni tinggal jauh di pedalaman, jadi kita sedang usahakan, pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sedang berusaha untuk membuatnya, ada tempat yang nak pergi sehingga empat jam, ada Timbalan Menteri terpaksa pergi dengan helikopter," katanya. Mengenai bekalan vaksin pula, Mahdzir berkata, bekalan untuk keseluruhan Orang Asli yang layak divaksin sudah mencukupi termasuk vaksin jenis Cansino yang digunakan untuk penerima satu dos di kawasan jauh di pedalaman dan sukar dimasuki. Tambahnya, tumpuan program vaksinasi di bawah JAKOA itu adalah di negeri-negeri seperti Perak, Pahang dan Kelantan yang mempunyai bilangan Orang Asli yang ramai. Secara keseluruhannya, 172,155 Orang Asli layak divaksin. Ia membabitkan golongan dewasa seramai 144,180 orang dan 27,975 golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun. Jelas Mahdzir, Program Vaksinasi Orang Asli ditetapkan mencapai 100 peratus pada akhir bulan November tahun ini. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI