SATU klip video memaparkan dua lelaki bersikap biadab mengutuk penyerang Terengganu FC, Ivan Mamut, ketika pemain itu sedang membeli-belah di sebuah pasar raya, mengundang kecaman ramai. Menerusi video berdurasi 13 saat yang kini tular di media sosial, mereka yang merupakan pekerja pasar raya dan dipecayai penyokong pasukan tersebut, mengutuk Ivan di dalam loghat Terengganu sebelum ketawa. Salah seorang daripadanya melayan Ivan yang sedang membeli barang basah, manakala rakannya pula membuat rakaman di mana mereka kemudiannya mentertawakan Ivan. Kelihatan pemain import berusia 26 tahun kelahiran Croatia itu hanya tersenyum di dalam video berkenaan. Difahamkan, kutukan tersebut disasarkan ekoran prestasi kurang memberangsangkan Terengganu FC bagi musim Liga Super 2023. Sementara itu, video berkenaan turut mendapat perhatian Bola Sepak Terengganu. ARTIKEL BERKAITAN: Marah pengadil sampai tersembur gigi palsu! Penyokong Terengganu kena sakat senyum nampak gusi... “Kutip bang walaupun perit” "Hanya sebab dia dok (tak) berape (berapa) 'jaddi' lagi atas padang bukang leseng (lesen) untuk mu buat kurang ajor (ajar gitu dengan kata-kata sini yang die dok (tak) pahang (faham). Bodo molek, don't deserve to be Terengganu FC fans (tak layak jadi penyokong Terengganu FC)," demikian tulis Bola Sepak Terengganu di Twitter. Tambah pentadbir akaun tersebut, bukan mudah untuk seseorang pemain import untuk membiasakan diri dengan suasana baharu. "Kita sebagai fans patutnya kena bagi semangat lagi untuk mereka berjaya, ya faham nak kritik tapi bukan dengan cara biadab atau kurang ajar macam ni," tulisnya lagi. Seorang pengguna Facebook tampil sebagai wakil kedua-dua lelaki berkenaan untuk membuat permohonan maaf. Susulan penularan video berkenaan, seorang pengguna Facebook menggunakan nama Mohd Hussin mewakili dua lelaki di dalam video tersebut memohon maaf atas keterlanjuran perbuatan mereka. Dia menjelaskan bahawa pekerja pasar raya tersebut hanya memuat naik rakaman di status WhatsApp sebelum individu lain memuat naik semula rakaman berkenaan di TikTok. "Ambe (saya) wakil budak dua orang ni. Harap tak ada yang mencari atau sebagainya. Ambe 'basuh' dah... budak-budak biasalah. Harap dimaafkan dan ambe jamin tak akan berulang dah," katanya lagi. Sebagai maklum balas kepada penjelasan pengguna Facebook tersebut, Bola Sepak Terengganu bagaimanapun mendesak agar kedua-dua lelaki di dalam video berkenaan memohon maaf secara peribadi kepada Ivan. "Minta rakan anda untuk mencari Ivan Mamut dan meminta maaf kepadanya. Rakam dan hantar semula kepada kami, kami akan berkongsi permintaan maaf anda," tulisnya. Menjengah ruangan komen, rata-rata warga maya turut mengecam perbuatan biadab kedua-dua lelaki tersebut. "Bila dengar ayat 'natang' tu. Eeeei budak ni nak kene sepak rasanya. "Molek kena buang kerja. Baru reti bahasa nak jaga adab. "Mentaliti fans pun masih low class. Saat genting gini, player kena ada sokongan fans bukan makian," demikian antara komen netizen. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube