suria

Abdullah: Kerajaan yang ada teguh

PUTRAJAYA: Setelah pembangkang gagal untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara hari ini seperti yang digembar-gemburkan, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan yang ada teguh dan masih meneruskan tugas, peranan dan kuasa yang diberikan oleh rakyat.

Sambil meminta rakyat supaya tidak terpesong dengan dakyah pembangkang terutamanya ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya mereka akan mengambil alih tampuk pemerintahan negara, Perdana Menteri berkata kerajaan akan melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat dan menjalankan tanggungjawabnya kepada rakyat.

"Kerajaan akan terus memberi khidmat kepada rakyat dan membangunkan ekonomi negara," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini selepas mengadakan mesyuarat dengan semua Ketua Setiausaha kementerian.

Abdullah berkata rakyat hendaklah menumpukan usaha kepada kerja mereka manakala kerajaan berusaha mengatasi masalah rakyat.

Abdullah berkata rakyat tidak perlu kelamkabut dengan pembohongan Anwar itu sehingga merugikan masa dan semua usaha mereka tergganggu.

Beliau menyifatkan hasrat Anwar hendak mengambil alih pemerintahan negara dan menjadi Perdana Menteri pada hari ini sebagai "suatu impian Anwar" sahaja.

Sebelum ini, Anwar telah beberapa kali berkata bahawa hari ini 16 Sept adalah tarikh untuk Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan negara kerana ramai Anggota Parlimen daripada Barisan Nasional akan menyertai pembangkang.

Pakatan Rakyat yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat, DAP dan PAS kini mempunyai 81 Anggota Parlimen manakala BN pula menguasai 140 kerusi. Seorang lagi adalah wakil Bebas.

Mengenai dakwaan Anwar kononnya pembangkang sudah mempunyai senarai Anggota Parlimen BN yang akan menyertai mereka, Abdullah berkata Anwar boleh bercakap apa sahaja yang dia mahu. "Memang sudah menjadi lumrah Anwar dari dahulu sehingga sekarang suka memperkatakan sesuatu untuk menarik perhatian umum," katanya.

Perdana menteri berkata beliau pasti bahawa selepas ini Anwar akan mengubah pula tarikh mengambil alih tampuk pemerintahan negara setelah gagal hari ini.

Ditanya mengenai kebimbangan rakyat terhadap perkembangan politik semasa negara, beliau berkata tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana semuanya adalah satu pembohongan politik Anwar.

"Akhbar pula terlampau asyik mengutarakan berita-berita politik sehinggakan satu hari sampai 10 muka surat disediakan untuk tujuan itu," katanya.

Mengenai pertemuannya dengan Ketua-ketua Setiausaha itu, Abdullah berkata beliau menekankan tentang pentingnya mereka tidak terganggu dengan perkembangan politik dan ekonomi negara semasa melaksanakan tugas.

"Apa jua keraguan dan gangguan yang timbul boleh menjejaskan prestasi perkhidmatan awam dan seterusnya menjejaskan harapan rakyat terutama terhadap program yang dirancangkan untuk mereka," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain