suria

Dakwaan Teresa ditahan kerana 'ahli MCA', Tee Keat cabar Kit Siang

SEREMBAN: Menteri Pengangkutan, Datuk Ong Tee Keat hari ini mencabar Penasihat DAP, Lim Kit Siang membuktikan dan mendedahkan individu yang didakwa Lim bahawa penahanan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu kononnya disebabkan laporan polis oleh anggota MCA. Tee Keat, yang juga Pengerusi MCA Selangor, berkata, Lim hendaklah menamakan individu berkenaan bagi membuktikan sama ada orang itu adalah anggota MCA dan mendedahkan isi laporan polis yang didakwanya.

Lim, dalam blognya, mendakwa satu daripada alasan penahanan Kok adalah kerana laporan polis oleh "seorang pemimpin utama" di Puchong, Selangor.

"Ini kalaulah beliau betul-betul menganggap dirinya sebagai seorang tokoh politik yang berintegriti dan bukannya 'melemparkan batu, sembunyi tangan'," katanya kepada pemberita selepas perasmian perhimpunan agung MCA Negeri Sembilan 2008 oleh Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting.

Tee Keat berkata, semakannya dengan MCA Selangor dan MCA Bahagian Puchong dan mendapati tuduhan yang dimaksudkan itu tidak berasas sama sekali.

Kok ditahan mengikut ISA pada 12 September dan dibebaskan semalam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain