suria

UCAPAN DASAR PRESIDEN MCA DATUK SERI ONG KA TING DI PERHIMPUNAN AGUNG MCA KE55

BAGI pihak Parti MCA, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengerusi Barisan Nasional, kerana sudi sekali lagi bersama kita dan seterusnya merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA yang ke-55 pada pagi yang mulia ini.

Saya juga mengalu-alukan serta mengucapkan ribuan terima kasih kepada Y.A.B. Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Timbalan Pengerusi Barisan Nasional serta semua ketua atau wakil daripada Parti-parti Komponen Barisan Nasional kerana juga sudi menghadiri Perhimpunan Agung Parti MCA pada pagi ini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Kehadiran Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi selaku Pengerusi Barisan Nasional sebagai tetamu kehormat yang akan merasmikan Perhimpunan Agung MCA akan menjadi satu perasmian yang bersejarah kerana ini adalah kali terakhir Y.A.B. Dato’ Seri merasmikan Perhimpunan Agung MCA, dan ini juga adalah Perhimpunan Agung MCA yang terakhir bagi saya sebagai Presiden.

Bagi pihak MCA, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi atas segala bantuan dan sokongan yang telah diberikan kepada Parti MCA selama ini sebagai Perdana Menteri untuk menangani pelbagai cabaran yang dihadapi oleh masyarakat Cina secara khasnya dan masyarakat majmuk Malaysia secara umumnya.

Parti MCA menghargai keikhlasan dan kesungguhan Y.A.B. Perdana Menteri atas komitmennya untuk meneruskan beberapa usaha penting sebelum beliau bersara. Antaranya ialah:-

i. pembaharuan Sistem Kehakiman Negara;

ii. pembaharuan serta memantapkan lagi usaha anti-rasuah dan

iii. pembaharuan Perkhidmatan pasukan Polis di-Raja Malaysia.

Parti MCA mengalu-alukan komitmen Perdana Menteri yang penting ini dan diharap parti-parti komponen akan benar-benar dilibatkan secara berkesan untuk membetulkan segala kelemahan yang sedia wujud dalam ketiga-tiga bidang tersebut agar kita dapat meyakinkan semula rakyat terhadap Barisan Nasional.

Saya pernah mewakili MCA mengemukakan beberapa cadangan di Parlimen pada 30 April tahun ini terhadap ketiga-tiga bidang tersebut:-

i. Parti MCA mencadangkan agar Kerajaan perlu memperkasakan sistem Kehakiman Negara termasuk penubuhan Suruhanjaya Kehakiman yang benar-benar bebas supaya isu perlantikan dan kenaikan pangkat hakim dapat dijalankan dengan telus tanpa mengira kaum atau agama. Seterusnya Kerajaan Barisan Nasional harus memperkasakan sistem kehakiman yang benar-benar meyakinkan semula rakyat.

ii. Parti MCA berharap usaha-usaha membanteras rasuah terutamanya penstrukturan semula Badan Pencegah Rasuah melalui penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang benar-benar berkesan untuk mencegah dan membanteras rasuah. Sudah tiba masanya kita bertindak tegas tanpa mengira siapa dia pihak yang terlibat dalam rasuah sama ada pemimpin politik, orang yang berpengaruh atau mereka yang berjawatan tinggi. Prestasi dan pencapaian seperti ICAC di Hong Kong haruslah diguna sebagai salah satu contoh rujukan dalam usaha untuk penambahbaikan usaha mencegah rasuah.

iii. Masalah keselamatan dan keberkesanan untuk membanteras jenayah adalah berkait rapat dengan kecekapan pasukan polis dan kesedaran orang awam. Kerajaan sepatutnya bersikap lebih terbuka mengenai 125 cadangan Syor-syor Suruhanjaya Polis Diraja tempoh hari bagi mewujudkan sebuah pasukan Polis Diraja yang lebih efisien, telus, tidak mudah disogok, profesional dan adil. Pembaharuan yang benar-benar boleh meyakinkan rakyat adalah mempertimbangkan semula cadangan menubuhkan Suruhanjaya Bebas terhadap Salah Laku dan Aduan terhadap Polis (IPCMC).

Y.A.B. Dato’ Seri Perdana Menteri dan Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri, bertindaklah dengan tegas untuk membawa perubahan dan pembaharuan terhadap ketiga-tiga bidang penting yang disebutkan tadi. Rakyat memang menanti-nantikannya, MCA tetap akan bersama kedua-dua pemimpin kita untuk menjayakan usaha pembaharuan ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Rakyat berbilang kaum telah menghantar isyarat yang kuat kepada kita melalui trend mengundi dalam keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac 2008 lalu. Daripada maklum balas yang diterima oleh MCA, rakyat mempunyai persepsi yang negatif terhadap Kerajaan Barisan Nasional semasa Pilihan Raya Umum tersebut dalam pelbagai aspek. Antaranya ialah:-

i. Mereka tidak berpuas hati tentang masalah rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh ahli politik dan pegawai Kerajaan. Mereka yang memegang amanah ini telah dinampak pecah amanah terhadap rakyat. Terdapat juga persepsi amat negatif tentang ketidaktelusan dalam pemberian kontrak Kerajaan dan terdapat juga banyak kebocoran atau ketirisan dalam penggunaan peruntukan Kerajaan semasa pelaksanaan projek pembangunan, perolehan atau perkhidmatan.

ii. Mereka merasa jijik dan marah terhadap segelintir ahli politik dalam Barisan Nasional yang “arrogant” dan ghairah membuat kenyataan atau ucapan yang berbau perkauman atau mengugut kaum-kaum lain. Terdapat juga ada di antara ahli politik yang nampak kaya raya tidak lama selepas memegang jawatan parti atau Ahli Majlis PBT.

iii. Ramai mereka bimbang tentang keselamatan diri dan ahli-ahli keluarga yang disayangi apabila kerap membaca berita kejadian jenayah seperti kes ragut, rompak, pecah rumah, rogol, kecederaan orang atau pembunuhan secara kejam.

iv. Harga barang naik dan kos kehidupan yang tinggi akibat daripada kenaikan harga minyak sejak sebelum 8 Mac 2008 telah menyusahkan rakyat jelata terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana, dan golongan inilah yang mewakili majoriti daripada jumlah penduduk kita.

v. Cara pengendalian isu-isu keagamaan oleh pihak berkuasa kerap memberi gambaran bahawa kebebasan beragama itu tidak diamal seperti mana yang dinyatakan oleh pemimpin Kerajaan termasuk Y.A.B. Perdana Menteri.

vi. Ramai peniaga, pengusaha, pemaju atau pelabur bukan bumiputera sentiasa berasa “frustrated” kerana mereka rasa tersekat dan tidak dilayan oleh sesetengah Kementerian, Jabatan atau agensi Kerajaan dengan adil dalam hal pemberian lesen, permit, pinjaman atau peluang penyertaan tender. Pihak-pihak berkuasa berkenaan dianggap suka menggunakan alasan dasar ekonomi Kerajaan mengikut intepretasi yang prejudis dan pemikiran yang sempit. Dalam hal ini, MCA pernah membetulkan beberapa perkara di peringkat Kabinet atau dengan berunding dengan Y.A.B. Perdana Menteri atau Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri. Antara contohnya ialah pelonggaran semula dasar perolehan dan perkhidmatan Kerajaan (“Government Procurement and Services Policy”) untuk membolehkan kaum bukan bumiputera menyertai aktiviti tersebut bagi had di bawah RM50,000 per item, menghentikan cubaan pihak berkuasa untuk mengenakan garis panduan menyekat pelaburan asing dalam perdagangan, pengedaran atau “Foreign Investment Guidelines in Distributive Trade”.

Jika kita hendak memastikan ekonomi negara bertumbuh dengan kadar yang memuaskan, haruslah kita memastikan semua peniaga, pengusaha dan pelabur besar atau kecil dapat mengambil bahagian dalam pembangunan ekonomi negara dalam semua sektor.

Pelaksanaan dasar ekonomi yang affirmatif sepatutnya berasaskan kepada prinsip tidak mengetepikan pihak lain, ia sepatutnya dilakukan dengan menjadikan kek ekonomi lebih besar dan juga menggalakkan usahasama antara kaum. Pelaksanaan dasar ini juga tidak sepatutnya menghadkan mana-mana peniaga atau pelabur yang cuba mengembangkan bisnes atau pelaburannya atas kejayaan usaha diri sendiri.

Kerajaan Barisan Nasional perlulah melihat dan menilai semula pelbagai kelemahan atau penyelewengan dalam pelaksanaan dasar ekonomi yang sebenarnya lain daripada apa yang kita janji kepada masyarakat majmuk negara kita. Sudah tibalah masanya Kerajaan meliberalisasikan dasar ekonomi untuk menjadi Malaysia benar-benar kompetitif.

vii. Isu pembangunan SJK(C) baru dan kekurangan peruntukan pembangunan bagi SJK(C), SJK(T) dan sekolah-sekolah mubaligh (mission schools) juga telah ditimbulkan oleh masyarakat Cina dan India selama ini. Sebelum Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008, Kerajaan telah meluluskan pembinaan 6 buah SJK(C) baru dan 13 buah SJK(C) untuk dipindah. Baru-baru ini, MCA telah mencadangkan supaya Kerajaan membiayai kos pembinaan dan seterusnya membina semua SJK(C) tersebut dengan secepat mungkin. Selain itu, MCA juga mencadangkan supaya Kerajaan menginstitusikan pembangunan SJK(C) baru di mana yang wujudnya keperluan dan sentiasa menyediakanlah peruntukan yang secukupnya.

Ada lagi perkara-perkara yang tidak sempat saya bangkit satu demi satu. Sebenarnya semua isu yang saya bangkitkan di atas adalah isu-isu yang mengakibatkan kehilangan undi bagi Barisan Nasional di Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008.

Apa yang membimbangkan Parti MCA ialah walaupun kami sudah banyak membangkitkan perkara tersebut untuk ditangani oleh Kerajaan, tetapi penyelesaiannya adalah tidak sampai tahap yang memuaskan. Situasi bertambah buruk apabila ramai orang mempunyai persepsi bahawa kongsi kuasa Barisan Nasional tidak benar-benar berkesan dan saksama.

Parti UMNO dilihat sebagai parti yang jauh lebih dominan daripada parti-parti komponen yang lain. Pucuk pimpinan Barisan Nasional perlu membetulkan keadaan ini melalui amalan yang benar-benar melibatkan parti-parti komponen dalam membuat segala keputusan yang penting dan bukan dinampak seolah-olah UMNO-lah yang memutuskan dasar penting sementara parti-parti lain diminta mempertahankannya kemudian atas semangat Barisan Nasional. Slogan kongsi kuasa yang kerap dikata itu masih dianggap sebagai slogan cakap mulut sahaja.

Saya telah memimpin MCA hampir 5 tahun 5 bulan. Ahli-ahli Jawatankuasa Pusat MCA telah bersama saya berusaha bersungguh-sungguh dan setiap kali bermesyuarat kita membincangkan isu-isu penting selama 5 hingga 6 jam. Banyak mesyuarat Majlis Presiden MCA juga telah diadakan untuk menumpu perhatian kepada isu-isu yang bukan sahaja berkaitan dengan hak kepentingan isu kaum Cina, bahkan juga berkaitan dengan banyak isu universal yang diberi perhatian oleh kaum bukan Cina. Walaupun kami telah cuba sedaya upaya untuk menangani pelbagai isu tetapi selagi tidak terdapat penyelesaian yang meyakinkan orang ramai, kita memang tidak akan mendapat sokongan mereka.

Y.A.B. Perdana Menteri, saya masih ingat 2 hari selepas saya membuat pengumuman untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden MCA, saya telah berjumpa dengan Y.A.B. Dato’ Seri untuk memaklumkan keputusan saya sebagai satu tanda penghormatan. Pada perjumpaan itu, Y.A.B. telah berkata, apabila saya tidak lagi menjawat jawatan Presiden di MCA, saya akan dapat mendengar banyak maklum balas daripada rakyat biasa dan saya diminta oleh Y.A.B. untuk memberitahu beliau tentang suara rakyat itu. Saya ingin menyatakan di sini bahawa apa yang saya sentuh tadi adalah benar-benar “feedback” yang saya dengar daripada orang ramai. Tidak perlu-pun tunggu sampai saya berhenti menjadi Presiden MCA. Sebenarnya, dalam lebih daripada 7 bulan yang lalu, kehidupan harian saya adalah sama seperti orang biasa, iaitu tanpa sebarang protokol atau diiringi “body guard” atau pengawal keselamatan. Saya sentiasa makan dan minum semeja serta bernafas bersama orang biasa sehingga mereka tidak segan untuk meluahkan perasaan kepada saya.

Kita semua dalam Barisan Nasional tidak kira parti mestilah memandang berat tentang keluhan atau rintihan rakyat dan bertindaklah secara berkesan untuk membawa perubahan sebelum kita diubah atau digantikan (Barisan Nasional must change before Barisan Nasional being changed.)

Selepas Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008 hingga kini, persepsi rakyat memang belum pulih dan pembaharuan Barisan Nasional pun belum menunjukkan hasil yang ketara. Kritikan-kritikan politik yang “half truth” telah mengelirukan rakyat dan menimbulkan banyak tanda soal.

Penggunaan ISA baru-baru ini terhadap mereka yang tidak memudaratkan keselamatan telah mendatangkan kesan amat negatif terhadap Kerajaan. MCA mencadangkan supaya Kerajaan mengkaji semula ISA secara komprehensif. Sementara itu, hentikan penggunaannya yang tidak mengikuti objektif penggubalan akta yang asal. Akta ini sudah ketinggalan zaman. Gantikanlah dengan akta yang tidak mudah disalahguna atau sehingga rakyat tidak rasa selamat.

Krisis kewangan Amerika Syarikat dan kesan ekonominya banyak memberi impak kepada ekonomi sedunia akan mempunyai kesan sampingan kepada kita seterusnya.

Barisan Nasional tidak boleh menunggu atau bertindak dengan lambat. Kita perlu kurangkan pertikaian politik dalam Barisan Nasional atau dalam negara. Rakyat sudah berasa penat dan bosan dengan helahan dan “politicking” yang dibaca dan ditonton dalam media massa setiap hari. Kepimpinan Barisan Nasional haruslah menggembeling tenaga untuk memberi kepimpinan yang fokus dan memberi hala tuju yang jelas serta dilihat tegas dan berkesan untuk mengatasi cabaran ekonomi dan segala kesan sampingannya.

Barisan Nasional perlu melibatkan pakar-pakar atau profesional dan wakil-wakil industri yang berpengalaman untuk bertemu dan mencetuskan idea agar pelan tindakan diatur dengan cepat dan tepat. Kita harus hentikan serta merta pemberian sebarang kontrak dan projek Kerajaan secara rundingan terus (“direct negotiation”) kepada syarikat yang tidak ada “track record” yang kukuh, hentikanlah segala ketirisan atau pembaziran wang Kerajaan, berhematlah semasa Kerajaan menggunakan wang cukai rakyat.

Dasar Ekonomi haruslah diliberalisasikan selanjutnya dan syarat ekuiti yang menghadkan pengembangan haruslah dibatalkan untuk membolehkan syarikat-syarikat di Malaysia menjadi lebih kompetitif dan keadaan ekonomi yang amat mencabar sekarang. Kerajaan haruslah mengkaji semula Dasar Pemberian AP, subsidi dan kawalan harga. Dalam konteks ini, persaingan pasaran terbuka patutlah dibenarkan dan pada masa yang sama Kerajaan perlu menyalurkan sumber yang sesuai kepada kumpulan pendapatan rendah untuk memastikan mereka mendapat manfaat daripada ekonomi yang sedang berkembang dan tidak tercicir daripada kekayaan ekonomi negara.

BUDAYA POLITIK SIHAT

Rakyat Malaysia yang berbilang kaum kini hendak melihat Parti yang memerintah benar-benar bersih dan beramanah. Kerajaan pusat yang dibentuk oleh Parti-parti Barisan Nasional mestilah bukan sahaja dilihat tidak rasuah dan beramanah, ianya mesti betul-betul bersih, jujur ikhlas dalam amalan dan tingkah laku sebenar.

Untuk menjayakan pemulihan imej dan memberi harapan baru kepada rakyat Malaysia, kita perlu mula dengan perubahan dan pembaharuan dalam Parti-parti komponen Barisan Nasional. Terutamanya Parti-parti yang merupakan tonggak kepada Barisan Nasional, iaitu UMNO, MCA dan juga Parti berpengaruh yang lain.

Pucuk kepimpinan MCA dalam beberapa tahun ini telah cuba mengamalkan budaya politik yang sihat dalam parti. Budaya politik sihat yang dimaksudkan ini termasuklah budaya tidak rasuah dan berintegriti. Oleh yang demikian, saya amat menaruh harapan besar, semangat budaya politik yang sihat dan bersih ini akan disokong kuat oleh semua perwakilan MCA.

Saya yakin perwakilan akan sedar bahawa sebarang cara berkempen yang kurang sihat seperti politik wang, memutar belit fakta atau penggunaan taktik kotor dengan menfitnah atau “hit below the belt” adalah cara yang boleh merosakkan parti dan ianya perlu ditolak sama sekali.

Hari ini, semua ahli MCA menaruh harapan kepada para perwakilan untuk memilih satu pasukan kepimpinan yang berintegriti, beramanah, berdedikasi, jujur ikhlas, berkesan dan sentiasa pegang kepada nilai-nilai murni. Pasukan kepimpinan akan dipilih nanti perlu memikul tanggungjawab yang amat berat supaya membawa pembaharuan untuk menghadapi cabaran politik semasa yang begitu kompleks dan tidak mudah. Maka Jawatankuasa Pusat yang akan dibentuk ini perlulah sentiasa bersatu-padu, boleh bekerjasama antara satu sama lain dengan baik. MCA sudah tidak ada masa dan ruang untuk berkonflik secara dalaman dan berbalah dalam parti memandangkan kita sedang berada dalam situasi politik yang amat mencabar.

Y.A.B. Dato’ Seri, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian, untuk meringkas masa supaya saya tidak perlu berucap sekali dalam Bahasa Mandarin selepas perasmian ini, saya seterus akan melengkapi ucapan saya dalam Bahasa Mandarin.

Artikel Berikut

Artikel Lain