suria

10 bahagian Wanita Umno PPinang tolak pelan peralihan kuasa pergerakan

PULAU PINANG: Sebanyak 10 dari 13 Ketua Wanita Umno bahagian di Pulau Pinang hari ini sebulat suara menolak pelan peralihan kuasa dalam pergerakan itu yang ditetapkan pada Jun tahun depan.

Ketua Wanita Umno bahagian Tanjong, Norjan Hamid, selaku jurucakap kumpulan 10 itu berkata sebaik-baiknya Wanita Umno mengikut jejak langkah badan induk parti itu yang akan melakukan peralihan kuasa pada Mac depan.

"Adalah baik jika peralihan kuasa diadakan awal. Alang-alang menunggu tiga bulan dan dalam jangkamasa yang pendek itu apa yang boleh dibuat oleh Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafizah Aziz serta tidak rasional beliau memerlukan tempoh tersebut.

"Jika naibnya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil memangku jawatan pada Jun tahun depan, secara automatik jawatan naib ketua akan kosong. Kalau tidak ada naib, kuranglah tenaga kepimpinan dalam Wanita Umno," kata Norjan pada sidang akhbar yang turut dihadiri tujuh ketua Wanita Umno bahagian itu, di sini hari ini.

Norjan berkata 10 bahagian itu adalah Kepala Batas, Bukit Mertajam, Permatang Pauh, Batu Kawan, Nibong Tebal, Tanjong, Bukit Bendara, Jelutong, Bagan dan Nibong Tebal.

Nibong Tebal pada mesyuarat pemilihan lepasnya mencalonkan Rafidah sebagai Ketua pergerakan itu tetapi kini mengubah pendiriannya menyertai kumpulan 10.

"Kami mencalonkan Shahrizat untuk jawatan ketua pergerakan manakala tiga bahagian selebihnya Balik Pulau, Tasek Gelugor dan Bayan Baru mencalonkan Rafidah," katanya.

Norjan berkata paparan di akhbar setiap hari melalui kenyataankenyataan yang dibuat oleh Wanita negeri juga jelas menunjukkan sudah ada banyak pepecahan dan secara tidak langsung telah wujud dua kumpulan.

"Jika Rafidah lebih menyayangi parti dari dirinya, maka haruslah beliau memberi laluan dengan cara terhormat dan dengan cara beginilah Wanita Umno dapat disatukan semula. Kami juga merayu serta berharap agar beliau dapat memberi laluan kepada Shahrizat untuk jawatan Ketua Wanita pada pemilihan ini," katanya.

Beliau berkata keputusan Exco Wanita Malaysia bukanlah keputusan yang mesti digunapakai tetapi akar umbi yang menentukan jawatanjawatan tertentu di pemilihan itu.

"Tetapi jika pelan peralihan kuasa itu masih diteruskan dan jika Shahrizat bertanding untuk jawatan Ketua Wanita Umno, tidak mustahil beliau boleh menang berikutan sokongan daripada akar umbi yang mahukan beliau menerajui pergerakan ini," kata Norjan.

Sementara itu, Norjan turut menyelar tindakan Ketua Wanita Umno Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid yang menyatakan Pergerakan Wanita Umno negeri itu berpendapat pertandingan bagi jawatan tertinggi pergerakan itu perlu dielakkan dan semua pihak perlu menghormati keputusan berhubung pelan peralihan kuasa dalam pergerakan itu yang ditetapkan Jun tahun depan.

"Kami tidak pernah dipanggil untuk bermesyuarat berhubung perkara itu dan keputusan itu hanya dari beliau (Jahara)," kata Norjan.

Kemelut dalam Pergerakan Wanita UMNO timbul selepas salah seorang anggota Exconya, Datuk Kamilia Ibrahim menyatakan hasrat untuk bertanding bagi jawatan Naib Ketua Wanita, manakala penyandang Shahrizat kini dalam dilema sama ada kekal dengan jawatannya sekarang sehingga Jun 2009 atau bertanding jawatan Ketua Wanita.

Shahrizat mendapat 73 pencalonan untuk bertanding jawatan Ketua Wanita dan 113 pencalonan untuk jawatan Naib Ketua Wanita.

Baru-baru ini Shahrizat gagal meyakinkan Ketua Wanita Umno, Rafidah dan sebilangan anggota Exco untuk mempercepatkan pelan peralihan kuasa ke Mac. BERNAMA

Artikel Lain