SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang wanita dan sepupu lelakinya membela diri terhadap tuduhan membunuh suaminya dengan memasukkan ubat tidur ke dalam kari hidangan berbuka puasa lelaki itu empat tahun lepas.Hakim Datuk Zaharah Ibrahim membuat keputusan itu di akhir kes pendakwaan setelah mendapati pihak pendakwa berjaya membuktikan kes prima facie terhadap keduadua tertuduh, Shamim Bano Mohammed Farooque, 41, dan sepupunya, Javeed Akhtar Abdul Waheed, 38, kedua-duanya berasal dari India. Mahkamah menetapkan selama dua hari bermula 19 Mac tahun depan untuk kedua-dua tertuduh membela diri dengan tiga pilihan sama ada untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi, memberi keterangan dari kandang tertuduh atau memilih untuk berdiam diri.Terdahulu, Zaharah meminda tuduhan asal kedua-dua tertuduh mengikut Seksyen 158 Kanun Prosedur Jenayah iaitu membabitkan pertukaran masa dan alamat tempat kejadian.Mahkamah turut bertanya pihak pendakwa dan pembela sama ada mereka ingin memanggil semula saksi pendakwaan selepas pertuduhan pindaan dikemukakan dan Timbalan Pendakwa Raya Samihah Rhazali kemudian memaklumkan bahawa mereka tidak bercadang untuk memanggil semula saksi.Tuduhan pindaan itu menyebut, Shamim dan Javeed didakwa bersama-sama membunuh Reyaz Ahamed Maruf, 39, pengarah urusan sebuah syarikat kitar semula plastik, dengan membubuh ubat tidur dalam kari hidangan berbuka puasa lelaki itu.Selepas lelaki itu tidak sedarkan diri, tertuduh bersama Javeed dikatakan mencekik Reyaz sebelum mayatnya ditanam di belakang rumah pasangan suami isteri itu.Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di rumah No: 20, Jalan 4/12 G, Seksyen 4 Tambahan, Bandar Baru Bangi dekat sini, antara pukul 10 malam 7 Nov 2004 dan pukul 3 pagi pada 8 Nov 2004 dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.Sepanjang perbicaraan, seramai 16 saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberi keterangan.Shamim diwakili peguam Kartar Singh sementara Javeed diwakili peguam J.Kuldeep Kumar. BERNAMA