suria

Anwar dakwa polis diperalat tangani isu pembangkang

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pihak polis telah diperalat terutamanya dalam menangani kes-kes yang berkaitan dengan parti pembangkang.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai tindakan polis menyuraikan perhimpuan mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) anjuran Gerakan Mansuh ISA (GMI), yang diadakan di Dataran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), kelmarin.

"Perkembangan terakhir ini pihak polis diperalat untuk bertindak terlalu keras terhadap orang-orang yang yang protes ISA.

"Tapi kalau perhimpunan yang ditaja oleh UMNO dan rakan-rakannya...dibiarkan," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen semalam.

Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat dijadualkan hadir sekitar kira-kira pukul 10 malam semalam bagi melancarkan perhimpunan tersebut.

Bagaimanapun beliu tidak hadir setelah dimaklumkan perhimpunan itu disuraikan oleh polis kerana diadakan tanpa permit.

"Saya, ustaz Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dan Lim Kit Siang dijemput untuk hadir, namun kita dapat laporan lebih kurang pukul 9 malam perhimpunan itu diserbu," katanya.

Dalam perhimpunan semalam, polis menahan sembilan yang hadir termasuk ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, Ketua Pemuda PAS Wilayah Pesekutuan (WP), Kamaruzzaman Mohamad, Ketua Penerangan Pemuda PAS Selangor, Mohd Sany Hamdan, Ketua Unit Amal PAS WP, Saifuddin Abdullah dan empat lagi penyokong yang difahamkan enggan bersurai setelah diarahkan pihak polis.

"Ini satu perkembangan yang amat mendukacitakan, kita pandang serius perkara ini, kalau benar salah...boleh diadakan rundingan dengan baik," katanya.

Anwar berkata, beliau tidak faham mengapa perhimpuan seumpama itu sentiasa disifatkan boleh mengancam keselamatan negara sedangkan lebih banyak isu lain yang ditimbulkan menjurus kearah tersebut.

"Tindakan menghasut orang dengan mengatakan kita (Pakatan Rakyat) anti bahasa Melayu itu tak ancam keselamatan negara?

"Seperti yang dilaporkan akhbar Utusan Melayu kononya bahasa Melayu diganti dengan bahasa Cina, tidakkah itu bohong?" katanya.

Menurut beliau isu-isu sedemikian lebih dianggap serius dan sebenarnya mampu mengancam keselamatan negara.

Artikel Lain