Pemprotes anti-kerajaan meletakkan penghadang di hadapan lapangan terbang Don Mueang di Bangkok.[DIKEMAS KINI] BANGKOK: Hampir 100,000 warga asing terkandas di Thailand manakala antara 40,000 dan 50,000 rakyat Thai pula mengalami nasib sama di luar negara selepas lebih 700 penerbangan dibatalkan ekoran penutupan Lapangan Terbang Suvarnabhumi dan Don Muang di bandar raya ini sejak lima hari lepas, kata Menteri Luar Thai Sompong Amornvivat hari ini.Beliau berkata kerajaan Thai berusaha sedaya upaya untuk membantu penumpang yang terjejas, menyediakan peruntukan sehingga satu bilion baht untuk penginapan dan makanan berjumlah 2,000 baht sehari bagi setiap penumpang, termasuk rakyat Thai yang terkandas di luar negara. "Kami sedang berusaha mempermudahkan kepulangan mereka dengan membuka lapangan terbang Utapao sebagai pintu masuk utama sekarang, selain menyediakan lebih banyak penerbangan tambahan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket dan Chiang Mai. Ini akan membantu pelancong dan pengembara pergi ke Hong Kong, Kuala Lumpur dan Singapura untuk menaiki penerbangan sambungan di sana," katanya pada sidang akhbar di Kementerian Luar.Bercakap selepas mengadakan pertemuan dengan Olarn Chaipravat, Timbalan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal ekonomi dan Menteri Pelancongan dan Sukan Weerasak Kowsurat, Sompong berkata terdapat 26 lapangan terbang di seluruh Thailand namun bukan semuanya mempunyai standard antarabangsa.Memberikan gambaran muram terhadap industri pelancongan yang menguntungkan, Sompong, yang pada mulanya turut terkandas di Jerman, berkata jumlah pelancong ke Thailand boleh menurun sebanyak 50 peratus pada 2009 berbanding anggaran 13.5 juta orang tahun ini.Lapangan Terbang Suvarnabhumi mengendalikan kira-kira 100 syarikat yang melakukan penerbangan ke 184 bandar raya di 68 negara, mengendalikan 100,000 penumpang sehari, manakala Don Muang pula mengendalikan laluan domestik.Krisis yang mengejutkan negara dan memeranjatkan dunia itu nampaknya akan berterusan selepas beratus-ratus penunjuk perasaan mengusir sekumpulan polis anti rusuhan yang menghalang laluan ke Lapangan Terbang Suvarnabhumi pagi ini, dan mencekup seorang anggota polis yang kemudiannya diculik.Nasibnya masih belum diketahui manakala Perikatan Rakyat Untuk Demokrasi (PAD) berikrar untuk berjuang sehingga ke titisan darah terakhir, meletakkan pagar berduri, lori dan troli bagasi lapangan terbang untuk menyekat laluan menuju kedua-dua lapangan terbang berkenaan.Sompong berkata jika penutupan lapangan terbang itu berterusan, ia akan mengakibatkan kira-kira sejuta pekerja dalam sektor pelancongan dan industri yang berkaitan akan kehilangan pekerjaan.Mengenai kesesakan di Lapangan Terbang Utapao, iaitu pangkalan tentera laut yang terletak 140km dari sini, Sompong berkata usaha sedang dijalankan untuk menukar enam hotel dan sebuah pusat pameran di ibu negara ini sebagai terminal bandar raya bagi membolehkan penumpang mendaftar masuk.Mengenai kedudukan Sidang Kemuncak Asean yang dijadual dari 13 hingga 18 Dis ini, beliau berkata Kabinet akan memutuskan sama ada untuk menangguhkan atau meneruskan sidang kemuncak itu dalam mesyuaratnya pada Selasa, sambil mengakui bahawa Laos, Kemboja dan Vietnam meminta supaya Sekretariat Asean menangguhkan perhimpunan tahunan perkumpulan serantau 10 anggota itu dan rakan dialognya. BERNAMABERITA TERDAHULUBANGKOK: Penunjuk-penunjuk perasaan anti-kerajaan di Bangkok mengepung salah sebuah lapangan terbang paling sibuk Asia untuk hari keempat pada hari ini hingga menyebabkan polis rusuhan diperintahkan membuat satu serangan segera bagi menamatkan rusuhan.Penunjuk perasaan daripada People's Alliance for Democracy (PAD) berniat untuk mengusir Perdana Menteri Thai Somchai Wongsawat dalam peningkatan terkini berhubung satu krisis politik memakan masa yang lama.Sehari selepas Ketua Polis Negara Phatcharawat Wongsuwan dipecat kerana salah mengendalikan bantahan, komander-komander yang bertugas berkata mereka belum lagi cuba mengusir beribu penunjuk perasaan di Bandaraya Suvarnabhumi dan kebanyakan lapangan terbang Don Muang dengan menggunakan kekerasan."Malam ini, kita tinggal di sini," kata Polis Colonel Sutin Meekajit di tempat letak kereta hotel itu, lapangan terbang Suvarnabhumi $4 bilion, yang menjadi tumpuan hampir 15 juta pelancong tahun lepas.Dalam satu siaran televisyen, Perdana Menteri Somchai berkata ahli-ahli PAD yang membantah di lapangan terbang telah melakukan kerosakan besar pada ekonomi, tetapi beliau sebolehnya mengelak keganasan bagi menamatkan bantahan tersebut."Jangan bimbang. Pegawai akan menggunakan cara lembut untuk berurusan dengan mereka," kata Somchai, ketika melawat pihak-pihak berkuasa dan wartawan-wartawan untuk memantau pengenaan perintah darurat di dua lapangan terbang tersebut.Somchai mengambil satu dasar yang lebih kuat dengan ketua polisnya dengan memecat jawatan Jeneral Patcharawat Wongsuwan semalam. REUTERSBERITA TERDAHULUBANGKOK: Kerajaan Thailand telah menukar Ketua Polis Negara Phatcharawat Wongsuwan kepada jawatan tidak aktif sekaligus menandakan ketegangan yang semakin memuncak antara kerajaan dan pasukan keselamatan.Dia akan digantikan oleh Polis Jeneral Prateep Tanprasert yang diberi tanggungjawab mengalihkan ribuan penunjuk perasaan anti-kerajaan yang menduduki lapangan terbang Suvarnabhumi dan Don Muang sejak Isnin lalu.Kelmarin, Perdana Menteri Somchai Wongsawat telah mengisytiharkan perintah daurat di kawasan sekitar kedua-dua lapangan terbang terbabit tetapi perintah itu tidak dapat dikuatkuasakan tanpa kerjasama polis dan tentera.Somchai masih berada di bandar raya utara Chiang Mai sejak kembali dari mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Lima, Peru, dua hari lepas, dengan spekulasi bahawa pihak tentera bercadang merampas kuasa.Di Lapangan Terbangan Utapao, dekat Pattaya, kira-kira 140km dari sini, wujud keadaan kelam kabut selepas ratusan penumpang yang terkandas tiba.Jabatan Penerbangan Awam Thailand telah membenarkan penggunaan lapangan terbang tersebut milik Tentera Laut Diraja Thailand tetapi menghadkan jumlah penerbangan kerana kekurangan kemudahan.Penumpang terpaksa mengambil masa hampir tiga jam perjalanan dari Bangkok ke Lapangan Terbang Utapo dan dua jam lagi untuk proses mendaftar masuk dengan hanya sebilangan kecil kakitangan mengendalikan proses penerbangan.Antara syarikat penerbangan yang melakukan pendaratan hari ini ialah Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dari Kuala Lumpur, Eva Air dari Taiwan.Hari ini, MAS akan mengadakan dua penerbangan ke Utapo ketika syarikat penerbangan asing cuba mendapatkan hak terhad untuk mendarat dan berlepas bagi membawa ribuan penumpang asing yang terkandas. BERNAMA