suria

Wanita dakwa polis berkasar ketika menyiasat rumahnya

IPOH Polis akan menyiasat dan mengambil tindakan ke atas anggotanya jika didapati menyalahi undangundang ketika membuat pemeriksaan ke atas satu keluarga di sebuah rumah di Taman Ehsan di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Supt Ibrahim Abu Bakar berkata, seorang wanita mendakwa telah didatangi oleh tujuh anggota polis termasuk seorang wanita berpakaian biasa ke rumahnya di Taman Ehsan di sini pada pukul 11.30 pagi untuk melakukan siasatan.

Wanita berusia 39 tahun itu mendakwa seorang daripada anggota polis itu bertindak kasar dengan menyuruhnya membuka pintu dan mengugut jika tidak dibuka pintu pagar tersebut akan dipecahkan dan anggota polis berkenaan turut membawa peralatan tajam seperti besi dan alat memotong.

Semasa berada di dalam kawasan rumah itu, anggota polis itu memberitahu ada seseorang membuat laporan bahawa sebuah kereta milik wanita berkenaan tersimpan dadah; mereka lalu membuat pemeriksaan, katanya pada sidang akhbarnya di sini hari ini. Ibrahim berkata setelah selesai dan tiada bahan tersebut ditemui, kesemua anggota polis itu beredar.

Semasa kejadian, wanita berkenaan berada bersama kakak iparnya dan empat orang anak manakala suaminya bekerja.

Wanita itu yang ketakutan serta bimbang kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu kerana kemungkinan anggota polis yang datang itu polis palsu yang menyamar, katanya.

Ibrahim berkata, "Memang ada anggotanya daripada cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK) membuat siasatan ke atas rumah wanita itu selepas menerima laporan.

Bagaimanapun, kita akan menyiasat perkara itu bagi memastikan orang awam berpuas hati, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain