KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Sabah merampas 86 kotak yang mengandungi pelbagai mercun dan bunga api bernilai RM80,000 hasil pemeriksaan ke atas sebuah lori di Kampung Babagon, Penampang, dekat sini Jumaat lepas.Pengarah Kastam Negeri Datuk Yusop Mansor berkata bahagian penguatkuasa jabatan itu turut menahan pemandu kenderaan berkenaan yang berumur 38 tahun dan rakannya yang berumur 18 tahun. Katanya hasil maklumat orang ramai, beberapa pegawai dari bahagian penguatkuasa bergegas ke Kampung Babagon kirakira pukul 2 petang dan menahan kereta yang disyaki membawa barang seludup."Kedua-dua lelaki tempatan itu telah ditahan reman untuk siasatan lanjut berhubung kes itu," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.Yusop berkata kotak mercun dan bunga api seberat 370 kilogram itu dipercayai diseludup masuk ke Sabah dari negara jiran.Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, lori itu sedang dalam perjalanan menuju ke Keningau untuk tujuan menyorok bekalan mercun dan bunga api itu sebelum dijual di pasaran terutama di kawasan pedalaman menjelang sambutan Tahun Baru Cina yang akan datang. BERNAMA