suria

Usul tergempar: Azmin kecewa, punca tragedi diketahui 3 bulan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali kecewa kerana kementerian-kementerian yang terlibat dengan usul berkaitan tragedi tanah runtuh Bukit Antarabangsa hari ini tidak diberi peluang secukupnya untuk memperincikan isu berkenaan.

"Saya berpuas hati dalam konteks Tan Sri Speaker yang tegas membenarkan usul ini dibahaskan tetapi mekanisme perbahasan itu perlu diteliti.

"Semua kementerian yang terlibat tidak diberikan peluang untuk diberikan maklumat terperinci kepada Dewan Rakyat maka kita tidak dapat gambaran jelas apa yang berlaku," katanya kepada media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Usul membincangkan kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa telah difailkan oleh Azmin di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan (2) pada pukul 7.32 pagi semalam.

Yang Dipertua, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menerima usul tersebut untuk dibahaskan pada hari ini dalam masa sejam bermula pukul 4.30 petang kerana memenuhi memenuhi syarat di bawah Peraturan Mesyuarat tersebut iaitu tertentu, berkepentingan ramai dan perlu disegerakan.

Bagaimanapun, ketika Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan membuat ucapan balas kepada usul tersebut, Azmin meminta perbahasan itu dilanjutkan memandangkan ia begitu penting.

Namun, permintaan itu ditolak oleh Timbalan Yang Dipertua, Datuk Ronald Kiandee.

Seramai lapan Ahli Parlimen membahaskan usul tersebut dalam masa 45 minit manakala menteri menjawab dalam masa 15 minit.

Mengulas lanjut, Azmin berkata, banyak isu yang dibangkitkan dalam konteks perbincangan usul tersebut.

"Saya kira semua Ahli Parlimen bermuafakat dalam memastikan tragedi seperti ini tidak berulang tetapi Kementerian Kerja Raya tidak datang, Kementerian Alam Sekitar tidak diberikan peluang.

"Jadi akhirnya usul itu yang penting itu tetapi tidak dibahaskan secara terperinci. Itu agak mendukacitakan," katanya.

Pada sidang media yang sama, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri telah memantau semua projek di kawasan cerun sejak April lalu iaitu selepas Pakatan Rakyat mengambil alih negeri tersebut.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata, ada antara pemaju yang telah diminta menghentikan projek mereka kerana tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.

Beliau berkata, sehingga kini, terdapat 99 projek yang telah diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 33 projek diluluskan dari tempoh tahun 2000 sehingga Januari 2005, manakala dari tempoh Februari 2005 hingga Februari 2008, sebanyak 63 projek diluluskan.

"Daripada jumlah projek yang telah diluluskan, sejumlah 64 projek sedang berjalan, 21 belum mula dan tiga projek terbengkalai serta baki 11 projek di Majlis Perbandaran Sepang lagi tiada maklumat," katanya.

Dalam pada itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, punca kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa akan diketahui dalam masa tiga bulan.

Beliau berkata, satu Jawatankuasa Kumpulan Tanah Runtuh di Bukit Antarabangsa terdiri daripada 10 panel termasuk kementeriannya, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Parit dan Saliran, Pusat Remote Sensing Negara, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Ukur dan Pemetaan, Jabatan Metereologi, Institut Kerja Raya Malaysia dan pakar-pakar geologi dari swasta dan universiti telah digerakkan untuk menyiasat punca berlaku tanah runtuh tersebut.

"Kerajaan masih menyiasat punca dan sebab berlakunya kejadian tanah runtuh tersebut.

"Keutamaan buat masa ini adalah untuk menyelamat nyawa, memindahkan penduduk yang terlibat serta kaji cara untuk menstabil persekitaran tersebut," kata beliau ketika menggulung perbahasan usul tersebut.

"Dari pemerhatian awal, didapati bahawa kejadian tersebut tidak boleh diletakkan ke atas kegiatan pembinaan berdekatan lokasi kejadian.

"Kita tidak boleh menolak kemungkinan hujan yang berpanjangan sebagai salah satu punca kejadian tanah runtuh itu," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia