suria

Laporan penuh tragedi Bukit Antarabangsa 3 bulan lagi

KUALA LUMPUR: Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Zin Mohamed berkata, laporan penuh punca tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa akan dikeluarkan dalam tempoh tiga bulan lsgi.

Jawatankuasa Kumpulan Kerja Tanah runtuh yang diketuai oleh Cawangan Kejuteraan Cerun (CKC), Jabatan Kerja Raya akan mengenalpasti punca terjadinya tanah runtuh dan akan mengesyorkan beberapa kerja pembaikan.

"Pada ketika ini kawasan tersebut dianggap tidak selamat kerana tahap keselamatannya berada pada tahap yang minimum.

"Namun demikian laporan awal berhubung punca kejadian tanah runtuh ini akan dikeluarkan dalam tempoh sebulan manakala laporan akhir akan diumumkan dalam tempoh tiga bulan," katanya dalam sidang media selepas melawat tapak tanah runtuh di Bukit antarabangsa di sini hari ini.

Jelas beliau, CKC akan tetap memulakan kerja- kerja pembersihan tersebut esok dan kerja- kerja ini dijangka siap dalam masa sebulan memandangkan kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) telah diberhentikan Rabu lalu apabila pihak berkuasa mendapati tiada mangsa ditemui.

"Kerja- kerja pembersihan ini agak rumit dan sukar kerana terdapat takungan air pada cerun yang runtuh yang berpunca darpada hujan lebat yang berterusan sejak beberapa hari lalu," katanya.

Sementara itu, Zin berkata beliau telah mengarahkan JKR untuk membina laluan bagi menggantikan jambatan taktikal yang didirikan oleh pihak tentera serta jambatan Bailey yang akan dijankga siap malam ini.

"Saya telah mengarahkan JKR secara berhati-hati memulakan pembinaan jalan utama tanpa mengetepikan faktor semula jadi bagi mengelakkan sebarang kejadian buruk di masa hadpan.

"JKR juga akan memastikan tahap keselamatan jambatan taktikal yang telah dibina oleh pihak tentera dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau turut meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai tahap keselamatan cerun di kawasan itu.

"Biar pakar-pakar JKR dan agensi terbabit selesaikan dan kajian mereka dahulu. "Selepas itu, barulah kita tahu sama ada kawasa itu selamat atau tidak," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain