suria

Rakyat Singapura masih berbelanja besar di Malaysia

JOHOR BAHARU: Di sebalik berdepan dengan kelembapan ekonomi di tanah air sendiri, rakyat Singapura masih mampu berbelanja besar di Malaysia.

Statistik Karnival Jualan Mega Malaysia 2008 menunjukkan rakyat Singapura berbelanja hampir AS$18.1 juta (AS$1 = RM3.58) melalui transaksi kad kredit.

Ini diikuti oleh rakyat Indonesia dengan sebanyak AS$12 juta dan keadaan itu meningkatkan keyakinan Tourism Malaysia yang Jualan Jimat Malaysia 2008 yang bermula 29 November dan berakhir 4 Januari, akan mencapai kejayaan yang sama, atau lebih baik lagi.

Berucap pada pelancaran Jualan Jimat Malaysia 2008 peringkat negeri di Plaza Pelangi di sini malam tadi, Datuk Idros Mohd, ketua pegawai eksekutif Pempena Sdn Bhd, cabang Shopping Malaysia di bawah Kementerian Pelancongan, berkata Singapura masih menjadi pasaran nombor satu negara.

"Tidak dinafikan kita banyak bergantung kepada penduduk Singapura daripada segi angka kedatangan pelancong. Malahan tahun lepas, kita menerima anggaran 10.5 juta rakyat Singapura.

"Secara tidak langsung, Jualan Jimat Malaysia 2008 disasarkan kepada pasaran Singapura dan Johor Baharu sebagai paling hampir dengan republik itu menjadi tumpuan utama kami.

"Orang kata dalam keadaan kelembapan ekonomi sekarang, membeli-belah adalah yang terakhir yang ingin dilakukan oleh orang ramai. Tetapi bagi saya ada rahmat disebaliknya kepada peruncit Malaysia.

"Keadaan pada masa ini agak sukar dan pengguna lebih berhemah dengan wang mereka. Sebab itu kenapa ia begitu menarik kepada rakyat Singapura untuk datang berbelanja ke Johor Baharu kerana kadar tukaran wang yang menguntungkan mereka," katanya.

Pembukaan Kompleks Imigresen dan Kastam yang baru pada Selasa juga bererti rakyat Singapura akan menikmati perjalanan yang lebih lancar ke bandaraya ini, kata Idros.

Jualan Jimat Malaysia 2008 peringkat kebangsaan dilancarkan oleh Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman Said di Pavillion di Kuala Lumpur pada 29 November dan juga telah dilancarkan di Langkawi, Miri, Kota Kinabalu, Pulau Pinang dan kini Johor Baharu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain