suria

Bangsawan Aceh dihukum gantung kerana edar ganja

SHAH ALAM: Seorang lelaki daripada golongan bangsawan Aceh, Indonesia hari ini dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini setelah didapati bersalah mengedar ganja seberat 491 gram yang ditemui dalam seluarnya, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad menjatuhkan hukuman itu setelah berpuas hati bahawa pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu melampaui keraguan yang munasabah.

Teuku Nawardin Syamsuar, 32, yang berdiri di kandang tertuduh, kelihatan tenang ketika hukuman dibacakan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Teuku Nawardin diwakili peguam Jagdish Kaur.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Kilang AS Logistics Sdn Bhd, Lot 1614 & 1615, Jalan Teluk Kapas, Rantau Panjang, Klang dekat sini, kirakira 8.45 malam pada 9 Okt 2006.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan memanggil tujuh saksi untuk memberi keterangan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain