KUALA LUMPUR: Sidang Khas Parlimen mengenai Gaza esok dijangka akan menetapkan pendirian dan inisiatif Malaysia selanjutnya untuk menggerakkan masyarakat antarabangsa berhubung konflik di wilayah itu dan kekejaman Israel ke atas penduduk Palestin di sana.
Anggota Parlimen, kerajaan dan pembangkang, akan membahaskan konflik berdarah itu pada sidang khas yang akan diadakan pada sebelah petang.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan memulakannya dengan membuat ucapan dan disokong oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan membuat ucapan, manakala Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim akan membuat penggulungan di akhir persidangan.
Sidang itu adalah lanjutan dari inisiatif lain Kuala Lumpur untuk menghentikan kekejaman berlanjutan oleh rejim Tel Aviv, yang sejak 27 Dis menyerang penduduk Palestin serta pelbagai kemudahan di wilayah itu dan sekaligus mengancam nyawa 1.5 juta penduduknya.
Penduduk Palestin di wilayah Gaza telah menderita sejak sekian lama akibat pendudukan Israel, yang telah juga mengenakan sekatan selama 18 bulan ke atas kesemua pintu sempadannya.
Sidang khas itu juga penting untuk mencorakkan inisiatif selanjutnya dari Malaysia berikutan penolakan Israel terhadap resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), yang mengundi "menuntut diadakan gencatan senjata segera, berpanjangan dan dipatuhi sepenuhnya, seterusnya membawa kepada pengunduran seluruh tentera Israel dari Gaza".
Bagaimanapun, Amerika Syarikat mengambil pendirian berkecuali pada pengundian itu yang menyaksikan 14 anggota mengundi menyokong resolusi 1860 itu dalam usaha meredakan konflik yang setakat ini menyaksikan lebih 780 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 3,100 cedera.
Sebagai penyokong dan pendokong kuat perjuangan rakyat Palestin sejak negara mencapai kemerdekaan, Malaysia dilihat ramai sebagai mampu membawa lebih banyak pendapat dunia ke arah usaha menyelamatkan rakyat Palestin dari belenggu kekejaman Israel sekarang.
Ini antara lain terbukti dengan persetujuan PBB ke atas permintaan Malaysia dan Brazil untuk mengadakan satu sesi Perhimpunan Agung Khas PBB yang dijadualkan semalam di New York dan permintaan ini telah mendapat sokongan pelbagai pihak lain seperti pertubuhan Asean dan Indonesia.
Tiga hari lepas, Dr Rais berkata Kuala Lumpur telah memberikan kata dua kepada Majlis Keselamatan PBB untuk mengeluarkan resolusi mengutuk serangan Tel Aviv, jika gagal berbuat demikian ia akan menggerakkan "usaha besar-besaran" bagi diadakan sidang khas Perhimpunan Agung PBB.
Perdana Menteri juga turut menghubungi Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon dan Presiden Perhimpunan Agung PBB sekarang, Miguel d'Escoto Brockmann, meminta sesi khas itu diadakan selepas Majlis Keselamatan PBB dilihat gagal mencapai keputusan menghentikan serangan Israel terhadap penduduk Palestin.
Malahan, seperti kata Abdullah semalam, langkah Malaysia ini akhirnya telah mendorong kepada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB di New York yang telah menggesa gencatan senjata dilaksanakan segera di Gaza.
Kerajaan Malaysia telah melahirkan rasa tidak puas hati dengan resolusi Majlis Keselamatan itu kerana ia antara lain tidak menyentuh beberapa elemen penting yang diharapkan majoriti masyarakat antarabangsa seperti tidak menyebut tentang bantuan kemanusiaan serta pembentukan pasukan pengaman antarabangsa.
Malaysia, sejak dulu menolak pendudukan Israel ke atas bumi Palestin, yang menyaksikan konflik itu berpanjangan sejak 1948 dengan pembentukan Israel dan pengusiran jutaan rakyat Palestin dari tanahair mereka.
Konflik terbaru ini menyaksikan rakyat Malaysia bangkit bersama masyarakat antarabangsa lain, yang cintakan keamanan dan keadilan, bagi menggesa keganasan Israel dihentikan segera.
Pelbagai pihak di Malaysia telah melahirkan reaksi mereka mengenai konflik terbaru di Timur Tengah, antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mencadangkan OIC menubuhkan pasukan misi pengaman untuk dihantar ke negara-negara Islam yang mengalami pergolakan seperti Palestin.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula mencadangkan supaya sidang khas Parlimen itu mengemukakan resolusi kepada Perhimpunan Agung PBB bagi diwujudkan tribunal untuk membicarakan kes-kes jenayah perang di kalangan pemimpin Israel.
"Cadangan ini datang daripada seorang peguam hak asasi manusia di AS iaitu Francis Boyle, yang meminta supaya negara-negara membuat resolusi melalui perhimpunan agung supaya ditubuhkan satu tribunal seperti tribunal membicarakan kes-kes yang melibatkan orang Serbia yang membunuh begitu ramai orang Bosnia, " katanya pada satu majlis semalam.
Seruan lain termasuk tindakan memboikot produk Amerika Syarikat dan sekutu utamanya Israel.
Kerajaan Malaysia turut menghulur bantuan kemanusiaan dalam bentuk bekalan makanan dan ubat-ubatan bernilai US$1 juta, yang disalurkan menerusi Mercy Malaysia, selain melancarkan semula Tabung Kemanusiaan oleh Wisma Putra untuk membantu rakyat Palestin.
Pelbagai pertubuhan dan kumpulan lain di negara ini turut melancarkan tabung kutipan untuk membantu rakyat palestin. BERNAMA