Dr. Lim Swee Tin bakal mendeklamasikan puisinya pada malam Demimu Palestin.KUALA LUMPUR:Penderitaan terhadap mangsa perang yang menderita akibat terkena bedilan kekejaman regim Zionis di Palestin yang masuk hari ke-21 hari ini terus mendapat perhatian daripada mereka yang prihatin di negara ini.Selepas melancarkan tabung Dana Kemanusiaan Palestin (DAKAP), Disember lalu syarikat akhbar terkemuka Utusan Malaysia Berhad sekali lagi merasa terpanggil dengan mengadakan sebuah majlis istimewa, 'Malam Puisi Demimu Palestin' yang bakal diadakan pada 23 Januari ini. Menurut Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu Sdn Bhd, Aziz Ishak objektif penganjuran majlis tersebut adalah untuk menterjemahkan rasa kemanusiaan daripada rakyat negara ini terhadap krisis kemanusiaan yang paling tragis berlaku dalam sejarah moden manusia."Majlis ini diadakan sebagai meneruskan usaha untuk mencetuskan semangat di kalangan rakyat Malaysia bagi memainkan peranan memulihkan semangat rakyat Palestin untuk terus hidup dan berjuang."Ia juga sebagai memperlihatkan rasa tanggungjawab dan kasih sayang golongan artis dan karayawan seni terhadap penderitaan mereka yang disampaikan melalui puisi dan lagu-lagu puisi yang bakal dipersembahkan pada malam ini nanti.Jelas Aziz, majlis tersebut juga sebagai satu wadah perjuagan kegiatan kesusasteraan negara dan menjadikan ianya sebagai medium penyampaian maklumat kepada khalayak, selain daripada berita-berita yang diterbitkan oleh mereka."Konsep persembahan pada malam itu nanti adalah berteraskan puisi dengan pengisian kepada persembahan lagu-lagu yang mempunyai nilai-nilai kemanusiaan dan kesejagatan," kata Aziz.Majlis yang bakal berlangsung pada 23 Januari ini turut mendapat kerjasama yang baik daripada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, Kementerian Luar Istana serta pihak Istana Budaya sendiri.Antara tokoh-tokoh kenamaan yang bakal hadir pada dan menyampaikan puisi mereka adalah, Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Menteri Perpaduan, Kebudayaan dan Warisan Malaysia, Datuk Seri Shafie Apdal serta Pengerusi Kumpulan Utusan Malaysia, Tan Sri Hashim Makaruddin.Lebih istimewa majlis ini nanti bakal menggabungkan persembahan puisi dikalangan penggiat sastera dan budaya serta dua orang penerbit filem terkenal di negara ini.Antara penyajak yang bakal mendekelamasikan puisi ciptaan mereka sendiri adalah, sasterawan tersohor negara, Datuk A. Samad Said, Dr Lim Swee Tin, Zaen Kasturi, Puzi Hadi, Shukri Abdullah, Rahimidin Zahari, ASP Rosebaini Kassim, Lt Kolonel Radzi Abdul Hamid.Tidak ketinggalan dua penerbit filem terkenal, Datuk Yusof Haslam serta anaknya Shamsul Yusof, David Teo dan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Freddie Fernandez bakal mendeklamasikan sajak istimewa ciptaan mereka sendiri.Menurut Pengarah Urusan Skop Production Sdn Bhd., Datuk Yusof Haslam beliau merasa terpanggil untuk turut serta dalam majlis berkenaan sebagai tanda sokongannya sebagai penggiat seni menentang keganasan yang dilakukan oleh tentera Zionis kepada warga palestin.“Saya menyanjung tinggi usaha yang dilakukan oleh pihak Utusan Malaysia dan sebagai tanda sokongan terhadap aktiviti menentang keganasan saya dan anak saya Shamsul akan mendeklamasikan puisi istimewa yang dicipta oleh saya dengan bantuan rakan baik saya, saudara Aimi Jarr,” katanya.Menurut Yusof, biarpun pada mulanya agak sukar dia memujuk anaknya, Shamsul untuk turut serta kerana sifat remaja yang kurang berminat dengan persembahan puisi sebegini, namun setelah puas dipujuk anak bujangnya itu akur menerima cabaran yang diberikan."Pada mulanya agak sukar juga. Puas saya pujuk dia. Saya kata cuba dia hayati dan selami penderitaan masyarakat Palestin dan sebagai golongan muda inilah masanya untuk dia menyumbangkan sesuatu ke arah menentang keganasan. Alhamdulillah akhirnya dia setuju."Selain itu, saya juga memang ada menerapkan isu-isu semasa yang berlaku di Tebing Gaza dalam dialog-dialog pelakon dalam drama terbitan saya, iatu Gerak Khas," ujar Yusof.Biarpun pada awalnya, beliau agak terkejut dengan undangan yang diberikan, namun bagi pengarah Urusan Metrowealth Movies Sdn Bhd, David Teoh, berkata beliau tetap akan memberikan komitmen 100 peratus pada majlis itu nanti."Pada mulanya saya terkejut kerana saya tak pandai baca puisi. Saya hampir tak boleh lelapkan mata bila fikir kena tulis puisi sendiri. Kalau fikir pasal terbit filem dan kira untung saya tahu la," ujarnya dalam nada bergurau.Menurut David, beliau tetap merasa terpanggil untuk terlibat dengan usaha murni yang diadakan oleh Utusan Malaysia."Saya anggap ini satu usaha kemanusiaan kerana keganasan dan kekejaman perlu dihapuskan dan ditentang di mana-mana negara sekalipun," katanya serius.Selain persembahan deklamasi puisi majlis Malam Demimu Palestin akan diserikan dengan persembahan artis-artis tersohor negara seperti, sifu M.Nasir, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, Aznil Nawawi, kumpulan Harmoni, Zubir Ali, kumpulan Kopratasa dan Sohaimi Meor Hassan.Bagi mereka yang berminat bolehlah berkunjung ke Laman Santai, Istana Budaya, Jalan Tun Razak Kuala Lumpur pada 23 Januari ini bermula pada jam 8:30 malam dan masuk adalah percuma.Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan majlis dan melahirkan tanda sokongan terhadap penderitaan yang dialami oleh masyakarat di Palestin.