suria

200 orang dakwa ditipu pegawai TEKUN

JOHOR BAHARU: Seramai 200 orang mendakwa ditipu seorang pegawai Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) yang meminta mereka membayar RM100 seorang bagi mempercepatkan permohonan pinjaman mereka pada Jun tahun lalu.

Namun, selepas menunggu enam bulan, mereka berasa telah ditipu pegawai wanita itu dan membuat laporan polis di Balai Polis Taman Pelangi di sini semalam.

"Setiap seorang daripada kami membayar RM100 kepada pegawai wanita ini untuk mendapatkan pinjaman antara RM50,000 and RM70,000 daripada sebuah koperasi," kata seorang pegawal keselamatan, Hisham Samsu, 31, yang mewakili mangsa-mangsa tersebut.

Katanya pinjaman itu hendak mereka gunakan bagi menyertai satu skim pemasaran pelbagai peringkat.

"Sampai sekarang kami masih belum mendapat pinjaman itu walaupun sudah beberapa kali menelefon beliau," katanya.

Hisham berkata pembayaran tersebut dibuat di sebuah restoran di Simpang Renggam pada Jun tahun lalu dan dijanjikan ia akan diluluskan dalam masa sebulan.

Namun ketika ditemui dua bulan kemudiannya, wanita itu berdalih mengatakan pinjaman itu memerlukan masa tiga bulan lagi untuk diluluskan.

Seorang lagi mangsa, Omar Mohamad, 49, berharap masalah itu dapat diselesaikan kerana ramai antara mereka hanya berpendapatan sebanyak RM1,000 sebulan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Datuk Maulizan Bujang ketika dihubungi menyarankan agar mangsa membuat laporan di pejabat Tekun.

"Apabila laporan telah dibuat, siasatan dalaman akan dibuat ke atas kes ini dan jika didapati benar maka tindakan akan diambil ke atas pegawai tersebut," katanya.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan Supt Zainal Baharom mengesahkan laporan itu dan akan membuat siasatan ke atasnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya boleh menghubungi hotline polis di talian 07-2212999 atau balai polis berdekatan. BERNAMA

Artikel Lain