KUANTAN: Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Umno memerlukan perubahan drastik dan segera dalam usaha mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada parti itu."Kita akan bincangkan dengan pucuk pimpinan Majlis Tertinggi dan bakal presiden Datuk Seri Najib Tun Razak apabila mengambil alih nanti. "Mungkin ada ideanya dari segi struktur parti, memilih pemimpin, proses pemilihan, program amal kebajikan dan pendekatan baru lain yang boleh diterima baik oleh rakyat," katanya. Beliau menyatakan demikian kepada pemberita di Kampung Balok di sini hari ini selepas melawat keluarga Allahyarham Mohd Zahar Mohd Sohor, 55, anggota jawatankuasa Umno Bahagian Indera Mahkota yang meninggal dunia Jumaat lepas akibat denggi.Beliau ditanya mengenai pelbagai cadangan perubahan kepada Umno selepas prestasi buruk pada pilihan raya umum ke-12 pada Mac tahun lepas dan dua pilihan raya kecil selepas itu.Muhyiddin berkata, memandangkan Umno kini berhadapan cabaran hebat, yang paling penting bagi anggotanya ialah memperkuatkan semangat juang parti dan yakin kepada perjuangan parti."Kita kalah di beberapa tempat dalam pilihan raya umum dan pilihan raya kecil tidak seharusnya kita berasa kita dalam saf yang salah, kalau ada kelemahan, kita perlu tangani," katanya.Ketika diminta mengulas cadangan Pengerusi Lembaga Displin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail semalam agar struktur Umno disusun semula dengan membubarkan kesemua sayap parti itu, Muhyiddin berkata, perkara tidak perlu dilakukan."Keputusan pembentukan sayap ini dah lama dibuat, ada kebaikannya," katanya.Muhyiddin berkata, imej Umno bukanlah seburuk seperti yang digambarkan ketika ini sebaliknya perjuangan parti itu sebenarnya masih berlandaskan perjuangan membela nasib bangsa, agama dan negara."Mungkin kerana penyebaran dalam media begitu rupa, berita baik tidak dikeluarkan. Umno sebenarnya masih cergas membantu masyarakat, (tapi) itu tidak diberi pengiktirafan, cerita tidak elok diperbesarkan."Saya tidak kata kita tidak ada kelemahan, memang ada ahli yang menjejaskan parti seperti terbabit rasuah politik, tapi gambaran keseluruhannya tidaklah sebegitu."Jadi persepsi pemikiran rakyat terhadap Umno perlu diperbetulkan," katanya. BERNAMA