BAYAR NAZAR... Ribuan penganut agama Hindu memohon restu daripada Dewa Murugan yang berada di atas pedati di Lebuh Chulia, George Town pagi tadi sempena perayaan Thaipusam yang disambut esok. Mereka membawa dulang yang mengandungi buah, bunga, kelapa dan gaharu untuk dipersembahkan kepada dewa berkenaan. Pedati yang berusia 114 tahun itu akan berarak sejauh 8 kilometer dari Kovil Veedu di Lebuh Penang sebelum tiba di kuil Natthukotai Chettier di Jalan Air Terjun pada pukul 10 malam ini. Sepanjang perarakan pedati itu, kelapa juga akan dipecahkan. - fotoBERNAMA PULAU PINANG: Masyarakat Hindu mula membayar nazar mereka dengan memecah kelapa di sepanjang jalan sejauh 10 kilometer semasa perarakan patung Dewa Murugan dari kuil Kovil Veedum di Lebuh Penang ke Kuil Nattukottai Chettiar di Jalan Kebun Bunga di sini hari ini.Perarakan patung dewa Murugan itu berhenti di hadapan gerai "Thanir Panthal" yang didirikan di sepanjang jalan, tempat penganut Hindu mengambil kesempatan memecah kelapa sebelum perarakan itu melalui jalanjalan berkenaan. Tinjauan Bernama mendapati beratus ribu kelapa dilonggokkan di tepi jalan dan mula dipecahkan oleh penganut Hindu sebagai tanda kesyukuran atas kejayaan mereka dan berdoa untuk kesejahteraan dalam pelbagai bidang termasuk kesihatan, pelajaran serta perniagaan.Orang ramai termasuk pelancong asing tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan upacara berkenaan dan ada antara mereka turut 'menolong' memecahkan buah kelapa yang diletakkan di tepi jalan.Selain itu, penganut Hindu juga membawa "archenai" iaitu talam yang diisi dengan kelapa dan buah-buahan untuk diserahkan kepada sami yang mengikuti perarakan itu untuk melakukan sembahyang.A. Nadason, 42, yang ditemui bersama keluarganya di sekitar Jalan Datuk Keramat berkata tradisi memecah kelapa dilakukan oleh keluarganya sejak turun-temurun sebagai tanda kesyukuran mereka atas kejayaan dalam sesuatu bidang sambil bernazar untuk tahuntahun akan datang."Saya dan keluarga akan bernazar terlebih dahulu untuk kesejahteraan semua ahli keluarga termasuk kesihatan, pelajaran, pekerjaan, perniagaan sebelum melakukan upacara memecah kelapa," katanya yang berniaga makanan di Kedah.Esok, penganut Hindu akan membawa pelbagai jenis kavadi berwarnawarni menaiki 276 anak tangga untuk sampai ke Kuil Arulmigu Balathandayuthabani yang terletak di atas bukit Jalan Kebun Bunga untuk membayar nazar dan mendapat restu daripada dewa Murugan.Pada hari ketiga pula, patung dewa Murugan akan diarak balik dari kuil Nattukottai Chettiar di Jalan Kebun Bunga ke kuil Kovil Veedum di Jalan Penang.Perayaan Thaipusam disambut pada bulan purnama di bulan Thai mengikut kalendar Tamil iaitu antara bulan Januari dan awal Februari.Thaipusam dirayakan sebagai tanda kesyukuran atas kemenangan Dewa Murugan mengembalikan kemakmuran dan kesejahteraan selepas memusnahkan kekejaman melalui panah "Vel" yang diberikan oleh ibunya, Dewi Parvathi. BERNAMA