suria

Bahasa Inggeris: GMP serah Ahli Parlimen memorandum

MENTERI Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein (kiri) menerima memorandum daripada Pengerusi Gerakan Mansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) Datuk Dr Hassan Ahmad di Lobi Parlimen hari ini. Turut kelihatan Sasterawan Negara Tan Sri A. Samad Said (kanan). - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Gerakan Mansuhkan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) (GMP) hari ini menyerahkan memorandum bantahan mereka terhadap pelaksanaan dasar PPSMI kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammmuddin Tun Hussein.

Memorandum tersebut diserahkan oleh Pengerusi gerakan itu, Datuk Dr, Hassan Ahmad di lobi Parlimen pagi ini.

Beliau turut menyerahkan memorandum tersebut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili ahli Parlimen pembangkang.

Seramai 20 ahli GMP berarak dari Tugu Negara pada pukul 9.30 pagi tadi ke bangunan Parlimen.

Bagaimanapun, hanya 10 orang yang dibenarkan masuk ke bangunan Parlimen pada pukul 10.15 pagi bagi menyerahkan memorandum itu.

Dalam sidang medianya, Hassan berkata, masalah PPSMI kini menjadi semakin serius sejak ia dilaksanakan enam tahun lalu.

"Pihak kerajaan bertanya, mengapa kini baru mahu dipersoalkan. Kita lihat sejak ia dilaksanakan sejak enam tahun lalu, beratus ribu pelajar di sekolah kebangsaan di luar bandar mengalami masalah untuk memahami Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

"Cuba bayangkan orang Melayu, Cina dan India yang sejak daripada kecil menguasai bahasa ibunda mereka, tiba-tiba masuk darjah satu, mereka disuruh mempelajari ilmu Sains dan Matematik dalam bahasa yang mereka tidak faham.

"Ia seperti menyuruh pelajar di England mempelajari bahasa yang mereka tidak faham. Ini sesuatu yang gila dan tidak betul," katanya.

Sidang media tersebut turut dihadiri oleh beberapa ahli Parlimen daripada pembangkang termasuk Anwar, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Tian Chua, Azmin Ali dan Lim Guang Eng.

Beliau berkata, pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris tidak menjanjikan penguasaan dalam bahasa itu bertambah baik di kalangan pelajar.

"Kalau nak bagus dalam Bahasa Inggeris, belajarlah Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Anda percayakah?" katanya.

Hassan berkata, pihaknya akan menganjurkan perhimpunan raksasa membantah PPSMI yang dijangka akan dihadiri 100,000 orang pada 7 Mac ini di Istana Negara.

"Bagaimanapun, 100,000 orang itu tidak semestinya hanya di depan Istana Negara, mungkin 30,000 berhimpun di Kelantan," katanya.

Sementara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, Pakatan Rakyat memberi sokongan.

"Kita dah jelaskan beberapa kali sebelum ini yang kita tidak sama sekali mahu meminggirkan bahasa Inggeris," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain