[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membuat laporan polis kedua berhubung pembabitan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang dikatakan memalsukan bukti penyiasatan kes mata lebam beliau pada tahun 1998.Anwar yang juga Ketua Pembangkang tiba di Balai Polis Damansara kira-kira pukul 11:30 pagi tadi bersama peguamnya yang juga Naib Presiden PKR, R. Sivarasa dan berada di dalam balai kira-kira 15 minit. Ketika ditemui media selepas itu, Anwar berkata, beliau amat kesal kerana tiada sebarang tindakan yang diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung laporan pertama yang dibuatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada 1 Julai tahun lalu."Saya kesal kerana setelah hampir lapan bulan laporan dibuat, tiada sebarang tindakan yang diambil SPRM."Selain itu, saya diberitahu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bahawa kertas siasatan tersebut sudah pun berada di Kamar Peguam Negara."Kita merasa ragu akan kebebasan siasatan tersebut kerana Peguam Negara sendiri terbabit sebagai mereka yang berkonspirasi memalsukan bukti," katanya.Anwar berkata, dalam laporan keduanya hari ini, beliau turut menambah maklumat berhubung pembabitan Abdul Gani dan Musa dalam memalsukan laporan polis mengenai penahanan beliau yang dilakukan oleh ACP Koh Hong San pada 21 September 1998."Laporan tersebut menyatakan saya ditahan di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), bukannya kerana kes tuduhan liwat seperti yang dinyatakan oleh Koh beberapa jam sebelumnya di rumah saya."Ini dilakukan kerana mereka bertujuan menyembunyikan kecederaan saya daripada diketahui umum serta memastikan saya tidak perlu dihadapkan ke mahmakah sesegera mungkin," katanya.Beliau berkata, pembabitan Abdul Gani dan Musa dalam konspirasi yang menyebabkan Koh membuat laporan palsu itu juga sekaligus mengesahkan peranan kedua-dua mereka dalam konspirasi laporan polis palsu berhubung tuduhan liwat yang dibuat Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 28 Jun 2008.Anwar seterusnya menggesa tindakan segera diambil berhubung laporan polis pertama yang dibuatnya sebelum ini.Ditanya sama ada beliau akan terus membuat laporan jika tindakan turut tidak diambil terhadap laporan kedua yang dikemukakan hari ini, Anwar berkata, laporan polis adalah saluran yang betul yang boleh digunakannya sebagai seorang rakyat.